Showing posts with label cut nyak dien. Show all posts
Showing posts with label cut nyak dien. Show all posts

Thursday, 19 February 2015

Jejak Aceh - 10 Tahun Pasca Tsunami (Day 2 - part 2)


Day 1 - 2/6/2014
Destinasi lawatan di hari pertama:

1 Masjid Raya Baiturrahman
2 Kapal PLTD Apung
3 Kapal Apung Lampulo
4 Makam Syiah Kuala


Day 2 - 3/6/2014
Destinasi lawatan pada hari kedua:

1 Taman Sari Gunongan
2 Masjid Teuku Omar
3 Muzium Rumah Cut Nyak Dien
4 Pantai Lampuuk Lhoknga
5 Masjid Rahmatullah Lampuuk
6 Masjid Baiturrahim Ulee Lheue
7 Pelabuhan Ulee Lheue
8 Kuburan Massal Ulee Lheue
9 Lapangan Blang Padang
10 Muzium Aceh
11 Pasar Aceh

Peta pelancong.....jalan menuju ke  Pantai Lampuuk
Selepas beredar dari Muzium Tsunami kami ke rumah Cut Nyak Dhien. Dalam perjalanan kami melencong sebentar ke Masjid Baitul Musyahadah atau lebih dikenali sebagai Masjid Teuku Umar , yang terletak di Seutui, Banda Aceh. Masjid ini dibina pada tahun 1989 dan dirasmi penggunaannya pada tahun 1993.

 Ia sebuah masjid yang unik dengan ciri-ciri orang Aceh. Masjid ini dapatlah dianggap satu-satunya masjid yang mempunyai citra budaya Aceh yang asli. Senbina kubahnya memakai replika topi khas Teuku Umar (suami Cut Nyak Dien), tokoh pejuang kemerdekaan Aceh semasa penjajahan Belanda dan salah seorang pahlawan yang gigih berjuang untuk kemerdekaan Bangsa Indonesia.



Kami hanya melihat di luar masjid sahaja ..... menikmati keindahan senibinanya
Kubah yang unik sekali .....
sehingga  ada orang luar menyangka masjid ini sebuah candi
Kubah masjid ini berbentuk Kupiah Meukeutop. Kupiah adalah bahasa Aceh yang maksudnya topi. Teuku Umar menggunakan kupiah ini sebagai pakaian hariannya, tetapi kini Kupiah Meukeutop merupakan sebahagian dari pakaian adat Aceh. Setiap acara majlis perkahwinan yang menggunakan adat Aceh, para Linto Baro (pengantin lelaki) biasanya akan memakai Kupiah Meuketob bersama pakaian adat Aceh.

Topi Meukeutop...... pakaian harian dan pakaian adat
Kupiah Meuketob ini lambang kegigihan dan keberanian pahlawan Aceh semasa penjajahan dahulu. Ia juga melambangkan kebesaran raja-raja Aceh pada masa itu.

Kami tidak masuk ke dalam masjid kerana kesuntukan masa. Sebenarnya hanya mahu melihat kubahnya yang unik...... lain daripada yang lain. Selepas ini kami teruskan perjalanan menuju ke rumah Cut Nyak Dien  di Desa Lampisang, Kabupaten Aceh Besar, searah dengan Pantai Lhok Nga. Jalan ini juga menuju ke Pantai Lampuuk yang akan menjadi destinasi kami yang seterusnya.

Yuk, kita ke Muzium Rumah Cut Nyak Dien terlebih dahulu. Lokasinya lebih kurang 20 minit sahaja dari pusat kota Banda Aceh.
Salah satu potret yang tergantung dalam rumah muzium
Potret-potret itu merupakan reproduksi dari dokumentasi asli yang disimpan di Leiden, Belanda. Ada sesetengah pihak yang mempertikaikan kesahihan potret Cut Nyak Dien yang tidak berapa sesuai dengan gambaran sosok wanita itu sendiri. Mengikut sejarah, ketika kecil beliau mendapat pendidikan agama yang secukupnya daripada kedua orangtuanya. Secara umumnya wanita Aceh mempunyai sikap yang cekal dan berani kerana terbentuk dari pengaruh Islam yang kuat.

Ketika Belanda datang menyerang Aceh, kaum wanitanya juga menyahut panggilan jihad. Keputusan diambil berlandaskan hukum-hukum Islam yang bersumberkan al-Quran, sunnah, Ijma' dan Qias. Perhatikan kata-kata semangat yang beliau lemparkan dengan lantang selepas Masjid Baiturrahman dibakar oleh Belanda.

"Hai sekelian mukmin yang bernama orang Aceh! Lihatlah! Saksikan sendiri dengan matamu masjid kita dibakarnya! Mereka menentang Allah, tempatmu beribadah dibakarnya! Nama Allah dicemarkan! Camkan itu! Janganlah kita melupakan budi si kaphe yang serupa itu! Masih adakah orang Aceh yang suka mengampuni dosa si kaphe serupa? Masih adakah orang Aceh yang suka menjadi budak Belanda?" (Petrik Matanasi (ed), 2008:25)

 Ketika mendapat berita suami keduanya, Teuku Umar syahid di Meulaboh pada 1899, beliau tetap sabar dan tabah, serta memarahi anaknya yang menangisi kematian ayahnya dengan berkata:

"Wanita Aceh pantang menitiskan airmata untuk seseorang yang mati syahid"

Mengikut sejarah lagi, Cut Nyak Dien fasih berbahasa Arab dan beliau juga seorang hafizah. Ketika tinggal di Sumedang, Jawa Barat di hujung hayatnya, beliau tetap berjuang dalm bidang agama dengan mengajar anak-anak di sana mengaji walaupun dalam keadaan hampir buta. Ini kerana beliau dapat menghafal al -Quran.

Gambar Google
Mungkin potret ini lebih sesuai dengan sosok Cut Nyak Dien
Cut Nyak Dien (1848 - 1908) adalah seorang pahlawan wanita dari Aceh yang gagah berjuang melawan Belanda pada masa Perang Aceh. Perjuangan panjangnya melawan pemerintahan kolonial Belanda menjadi salah satu kisah yang epik dan paling diingati dalam sejarah perjuangan kemerdekaan Indonesia.

 Beliau berjuang menentang penjajahan Belanda di samping dua orang suami yang juga merupakan pejuang kebebasan. Suaminya yang pertama, Teuku Ibrahim Lamnga meninggal pada tahun 1878 semasa bertempur melawan Belanda. Kemudian beliau berkahwin pula dengan Teuku Umar pada tahun 1880, yang juga gugur ketika bertempur melawan Belanda di Meulaboh pada tahun 1899. Ini menyebabkan beliau berjuang bersendirian dengan pasukan kecilnya di Meulaboh sehingga beliau tertangkap. Walaupun beliau gigih melawan Belanda mempertahankan tanah tumpah darahnya Aceh, tetapi akhirnya beliau meninggal di Jawa Barat kerana dibuang daerah oleh Belanda. Makamnya berada di Gunung Puyuh, Sumedang, Jawa Barat.

gambar Google - Rumah Panggung
Desa Lampisang, Peukan Bada, Aceh Besar
Inilah rupa  rumahnya dari luar ...... depan rumah
Berada di selasar dan tangganya....pada masa dahulu kedudukan tangga ini
sentiasa berubah-ubah untuk mengelirukan musuh
Sebenarnya rumah ini adalah replika rumah asal kerana pada tahun 1896, ketika terjadinya perang Aceh, rumah ini dibakar oleh pemerintah Belanda hingga meninggalkan asasnya sahaja. Asas inilah yang akhirnya diselamatkan oleh pemerintah Indonesia pada tahun 1981 dan dibina kembali rumah ini serupa dengan bangunan asalnya. Di rumah itu Cut Nyak Dien pernah hidup bersama suami tercinta Teuku Umar. .

Sedikit maklumat rumah asal:
Rumah panggung bercat hitam, memanjang dan menghadap ke utara. Tinggi tiang-tiang penyangga mencapai dua meter. Atapnya dari daun nipah kering. Lantai dan dinding dari kayu ulin atau kayu besi. Pokok-pokok nangka jadi tiang penyangga. Ia dibina pada tahun 1873 dan kemudian dibakar oleh Belanda pada tahun 1896.

Jom masuk!

Rumah replika:

Rumah Cut Nyak Dien mempunyai keluasan 25m x 17m, beratap daun rumbia dan dibuat daripada kayu, seperti kebanyakan rumah adat Aceh. Bangunan muzium ini terdiri dari tiga bahagian, iaitu ruang tamu, ruang tuan rumah serta ruang keluarga. 

Ruang dalam cukup luas.  Untuk masuk kerumah ini, naik melalui tangga utama pada selasar yang luasnya 4 x 4 meter. Selasar ini menghubungkan 2 serambi depan - sebelah kiri dan sebelah kanan, Di ruang  ini juga ada dipamerkan salsilah keluarga Cut Nyak Dien.

Serambi depan sebelah kanan bentuk memanjang yang dipergunakan untuk para tetamu lelaki dan kini sebagai tempat koleksi foto-foto lama. Di sini pengunjung dapat melihat potret tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan dan foto-foto bersejarah ketika pasukan marsose atau tentara Belanda menyerbu kampung dan gagal menangkap Teuku Umar. Potret pasukan Teuku Umar yang merosakkan rel keretapi milik Belanda juga dipamer di dinding.

Penjaga rumah yang mengaku dari keturunan keluarga Teuku Umar
 menceritakan dengan panjang  lebar tentang salasilah keluarga Cut Nyak Dien
Ruang Tamu lelaki , ..... kini menjadi galeri foto-foto lama
Pada bahagian tengah serambi depan ada 2 anak tangga; naik kita akan berjumpa sebuah lorong. Di kiri kanan lorong terdapat 2 bilik tidur untuk dayang-dayang Cut Nyak Dien pada masa itu. Melalui lorong ini dan turun 2 anak tangga kita akan sampai ke serambi belakang yang digunakan untuk tetamu perempuan masa itu. Sama seperti serambi depan, ruang ini juga berisi foto-foto dokumentasi detik-detik perjuangan rakyat Aceh melawan penjajahan.


Bilik tidur Dayang-dayang Cut Nyak Dien
gambar Google - Ruang tamu perempuan....
.kini dijadikan galeri foto-foto bersejarah
Serambi depan sebelah kiri juga bentuknya memanjang dan ia adalah ruang untuk sendiri. Dari ruangan ini juga ada tangga naik ke lorong yang menghubungkan ke bilik tidur Cut Nyak Dien dan turun 2 anak tangga ada ruangan makan yang berhubung terus ke selasar serambi belakang. Seterusnya kita memasuki ruang dapur dan di sini juga terdapat sebuah bilik tidur untuk pembantunya Cut Nyak Dien, Di sekeliling ruang makan terdapat almari kaca yang menyimpan berbagai jenis senjata tradisional Aceh seperti tombak, parang dan rencong. Senjata-senjata ini dijumpai dalam tanah, tepat di bawah rumah, ketika ianya dalam proses pembinaan semula.

Ruang Sidang........di sini para pejuang bersidang dan melakar strategi peperangan
Ruang Sendiri (serambi depan sebelah kiri).....kini dijadikan ruang pengunjung 
mencoret tanda lawatan di Buku Pelawat di akhir lawatan
Ruang makan dikelilingi almari kaca yang mempamerkan senjata lama ...
.terdapat juga hiasan perabot seperti meja makan di sini

Bilik tidur pembantu bersebelahan ruang makan

Bilik tidur Cut Nyak Dien
Dalam setiap ruangan ada benda-benda milik Cut Nyak Dien yang masih terpelihara dengan baik. Tidak pasti samada barang-barang ini juga replika atau asli. Bilik Cut Nyak Dien berada di sebelah kiri rumah, diapit ruang tamu utama dan ruang sidang. Lapisan kain kelabu di katil Cut Nyak Dien, dikatakan sebahagian masih asli.

Pada ruangan dapur di sisi sebelah kanan ada anjung  yang menuju ke perigi yang tinggi cincinnya 3 meter dan  mendalam sejauh 10 meter. Binaan perigi setinggi ini dibuat untuk menghindari lemparan racun ke dalam perigi dari pihak penjajah maupun masyarakat yang kurang simpati. Menurut penjaga rumah, perigi itu digunakan Cut Nyak Dien dalam keperluan air harian beliau. Perigi ini adalah asli dan ia telah ada semenjak rumah Cut Nyak Dien dibina Belanda dahulu, tetapi bukan Belanda yang membinanya. Pada masa dahulu perigi ini juga ada penutupnya.

gambar Google - Perigi tinggi ..... dilihat dari luar

Perigi dilihat dari ruang dapur
Ketika tsunami datang, rumah Cut Nyak Dien jadi tempat berlindung sekitar 800 warga;  orang dewasa dan anak-anak. Air tidak  sampai mencecah lantai; hanya beberapa sentimeter di bawah paras lantai. Rumah ini juga tidak mengalami sebarang kerosakan.

Lebih kurang 20 minit kemudian kami tinggalkan muzium ini.Tidak jauh dari lokasi muzium ada deretan penjual kuih-muih tradisional khas Aceh. Sebelum meneruskan perjalanan ke Pantai Lampuuk, kami singgah di sini untuk berbelanja terlebih dahulu. Antara makanan pelik yang dibeli ialah keropok kulit sapi. Kami belum pernah jumpa keropok ini djual di Malaysia.....mungkin ada tetapi tidak terjumpa. Apa-apapun saya membelinya hari itu kerana ingin cuba merasanya.

Kulit kerbau/sapi yang diproses jadi keropok
Akhirnya kami tiba di Pantai Lampuuk dalam pukul 11.30 pagi tetapi hari itu cuaca sangat panas......terasa seperti sudah tengahari. Ia adalah antara pantai terindah di Aceh.

Pantai ini terletak di Desa Meunasah Masjid, kecamatan Lhoknga, Kabupaten Aceh Besar, sekitar 15 kilometer dari Banda Aceh. Semasa terjadinya tsunami, pantai ini rosak teruk. Hotel-hotel di tepi pantai dan penempatan penduduk di sekitarnya hancur dilanda gelombang besar. Pantai Lampuuk antara kawasan yang paling teruk terkena tsunami. Akibat musibah itu, sebahagian besar warganya terkorban dan hanya satu bangunan yang masih berdiri, iaitu Masjid Rahmatullah Lampuuk,
 
Kisah selanjutnya di sini.....

Lebih kurang pukul 1.45 pm kami bertolak balik ke Banda Aceh. Niat di hati sebelum balik hendak mengajak supir mencari Taman Tepi Laut Lhoknga  yang dikatakan sangat cantik. Memandangkan supir kami (pemilik innova sebenarnya) sangat berkira orangnya, saya batalkan sahaja niat  itu. Oleh kerana supir ini memandu keretanya sendiri, dia cuba menjimatkan penggunaan benzin (minyak) dengan memilih jalan tertentu sahaja. Datang ke Lhoknga ini pun sudah jauh, katanya. Bayaran kereta sewa di sini termasuk pemandu dan minyak.

Taman Tepi Laut.... maklumat yang terdapat dalam brosur
Dalam perjalanan pulang ke Banda Aceh, kami melencong ke Ulee Lheue, Kecamatan Meuraxa. Di sini juga terdapat sebuah lagi masjid yang selamat dari bantaian gelombang tsunami walaupun berada kurang dari 100 meter dari bibir pantai Ulee Lheue. Bangunan di sekitarnya semua habis rata menyembah bumi atau dihanyutkan gelombang besar. Kawasan ini juga adalah antara yang paling teruk terkena tsunami. Lebih separuh dari penduduknya yang berjumlah 6,000 terkorban dan 4 buah desa hilang selepas tsunami.

 Masjid Baiturrahim namanya. Masjid ini menjadi salah satu dari sebilangan kecil bangunan yang masih kokoh berdiri di kawasan Ulee Lheue ketika musibah itu terjadi. Walaupun ada beberapa masjid lain yang juga bertahan dari bencana tersebut, namun Masjid Baiturrahim menyimpan nilai sejarah yang lebih mendalam kerana usianya yang panjang.


Masjid Baiturrahim merupakan peninggalan Kesultanan Aceh. Masjid ini didirikan sekitar abad ke-17 Masehi, semasa Sultan Iskandar Muda (1607-1636 M) memimpin Kerajaan Aceh Darussalam. Ia dikenali sebagai Masjid Jami' Ulee Lheue (dibaca “olele” dalam dialek Belanda) ketika itu. Selepas  Masjid Baiturrahman dibakar oleh pasukan Belanda pada tahun 1873, warga Banda Aceh beramai-ramai telah melaksanakan Solat Jumaat di masjid ini. Kemungkinan ketika itulah “baiturrahim” menjadi nama masjid ini.

gambar Google - Masjid Baiturrahim terkini
Saksi bisu sejarah Aceh sejak masa perang melawan Belanda hingga bencana tsunami



Kami tidak masuk ke dalam masjid....
.hanya melihat-lihat dari luar sahaja
 Masjid awal dibina atas dayausaha masyarakat sendiri di atas tanah yang diwakafkan oleh Teuku Hamzah, seorang Hulubalang di Ulee Lheue. Pada mulanya masjid ini hanya diperbuat daripada kayu dengan senibina khas Hindu. Kedudukan bangunannya di samping masjid sekarang, atau tepatnya di tapak menara masjid. Masjid yang ada sekarang telah melalui beberapa fasa pembaikan dan pembesaran sejak zaman Belanda menguasai Aceh lagi.

Ketika Belanda pertama kali memasuki Aceh melalui Pantai Ceureumen (cermin) Ulee Lheue, Masjid Baiturrahim menjadi salah satu pusat penentangan rakyat Aceh. Setelah menguasai Ulee Lheue, Belanda kemudian menjadikan kawasan ini sebagai bandar pelabuhan, tempat kapal pengangkut rempah-rempah berlabuh.

Masjid Baiturrahim di persimpangan jalan ke Banda Aceh dan pelabuhan
Pada tahun 1922 apabila masjid asal yang diperbuat daripada kayu ini rosak, pihak Belanda telah membantu membangunkan sebuah masjid yang lebih tahan lama. Masjid baharu ini menggunakan gaya senibina Eropah. Ia tidak menggunakan bahan besi atau tulang penyangga. Sebaliknya dibina dengan hanya menggunakan susunan batu-bata dan simen. Kayu yang digunakan pula dibawa daripada India. Namun 10 tahun kemudian masjid ini diubahsuai bahagian depannya kerana dikatakan ia kelihatan seperti gereja.

gambar Google - Masjid Baiturrahim.....1929
(bahagian depan yang mirip gereja)
Pada tahun 1983 Banda Aceh mengalami gempabumi yang sangat kuat sehingga menyebabkan kubah masjid ini runtuh. Masjid kemudian dibaiki tetapi tanpa kubahnya. 10 tahun kemudian masjid ini diubahsuai sekali lagi secara besar-besaran - 60 peratus daripadanya bangunan baru. Bahagian depannya masih asli pasca gempabumi 1983 sehingga sekarang. Tsunami 2004 telah merosakkan hanya 20 peratus daripada struktur bangunan masjid.

Gambar Google - Masjid Baiturrahim sejurus selepas tsunami
Ramai penduduk cuba menyelamatkan diri dengan memenuhi tingkat satu dan dua masjid ketika tsunami melanda. Namun apakan daya, maut mengintai..... mereka satu-satu diseret arus ke luar dan hilang ditelan kepekatan air bah. Hanya sembilan orang yang berjaya naik ke atap dan terselamat.

Meskipun bangunan masjid tanpa rangka besi atau tulang penyangga, ia tetap berdiri teguh di tengah “ladang pembantaian”. SubhanAllah....tiada siapa yang dapat menyangkal kuasa yang maha Agung dan maha Mengetahui dalam mengatur urusan hidup makhluk ciptaanNya. Firman Allah yang bermaksud,

 Sesungguhnya keadaan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya: "Jadilah!" maka terjadilah ia.
                                                                                                                     (surah Yasin:82)

Selepas meninggalkan masjid kami singgah sebentar di pelabuhan Ulee Lheue, kononnya hendak membeli tiket feri untuk perjalanan pagi esok ke Pulau Weh. Malangnya kami tidak dibenarkan membeli awal. Pagi esok baharu kaunter tiket dibuka.....siapa cepat dia dapat!

Jadual perjalanan feri  dan  harga tiket

Pelabuhan Ulee Lheue
Sebelum keluar dari kecematan Meuraxa, kami singgah pula di Kuburan Massal Ulee Lheue, atau Makam Berjamaah, yang berada tidak jauh dari pelabuhan. Lebih tepat lokasinya ialah di no. 30, Jalan Pocut Baren, iaitu di tapak bekas bangunan RSUD (Rumah Sakit Umum Daerah) Meuraxa. Tanah perkuburan ini  menampung sekitar 14.264 Syuhada Tsunami, yang dikuburkan dalam satu liang tanpa nisan. Hanya terdapat tiang penanda dari besi yang memberitahu di mana lokasi kubur orang dewasa dan kubur anak- anak.

Penanda kubur orang dewasa....
kelihatan di belakang saki-baki bangunan RSUD
Makam ini merupakan yang kedua terbesar selepas makam di Siron Lambaro, di mana sekitar 47.000 jenazah dikebumikan. Di tempat seperti inilah korban tsunami yang tidak diketahui identitinya dimakamkan. Tanpa nisan dan binaan. Hanya ada prasasti yang terpancang dengan tulisan ayat Al- Quran dan bilangan jumlah korban yang disemayamkan.

Prasasti (Batu Bersurat) 
"Surat" ditulis dalam bahasa Aceh
Kandungannya bermakna lebih kurang seperti ini

"Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cobaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan"     (Al-Anbiya : 35)

Dengan Rahmat Allah Ta’ala,

Di tempat ini telah disemayamkan + 14.264 jiwa yang syahid dalam bencana gempa dan tsunami pada waktu pagi hari ahad. 14 hari bulan Dzulqaidah 1425 Hijriah. 26 Desember 2004.

Pintu Gerbang ke tanah perkuburan
Ketika pengunjung memasuki kompleks pemakaman massal ini, kita akan melalui pintu gerbang yang terdiri dari lima pintu besi dalam satu rangkaian. Pada setiap bilah pintu gerbang ini terdapat petikan tulisan yang di ambil dari Al-quran, juga dari surah Al-Anbiya ayat 35.

Apabila tulisan ini dirangkumkan, maka akan terbentuklah kalimat :

"Tiap yang berjiwa pasti akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cobaan. Dan hanya kepada kamilah kamu dikembalikan." 
                                                                                                                           (Al-Anbiya, 35)

Ini bukanlah satu-satunya lokasi kuburan massal yang terdapat di Aceh. Selain kuburan massal Ulee Lheue ini yang berada di Banda Aceh, terdapat sebuah kuburan massal lain di Lhoknga yang berada di Aceh Besar dan sebuah lagi di Siron, kecamatan Ingin Jaya, Aceh Besar, iaitu di Jalan Bandara Sultan Iskandar Muda.

Kami hanya berada sebentar sahaja di sini. Kemudian kami meneruskan perjalanan ke pusat Banda Aceh. Destinasi seterusnya adalah   Lapangan Blang Padang. Jumpa lagi di lain entri!



Jejak Aceh - 10 Tahun Pasca Tsunami (Day 2 - part 1)

Jejak Aceh - Pantai Lampuuk- Masjid Rahmatullah Lhoknga

Jejak Aceh - 10 Tahun Pasca Tsunami (Day 2 - Part 3)

Jejak Aceh - 10 Tahun Pasca Tsunami (Day 3)

Jejak Aceh - Perpustakaan Kuno Tanoh Abee

Jejak Aceh - 10 tahun Pasca Tsunami ( Day 4 )

Jejak Aceh - 10 tahun Pasca Tsunami ( Day 5 )

Jejak Aceh - 10 tahun Pasca Tsunami ( Day 6 )

Hujung Dunia - KM 0 (Zero) Sabang