Baru-baru ini kita disibukkan dengan berita tentang 3 orang wanita dan 4 lelaki disebat kerana berzina. Berikutan itu terdengarlah suara-suara sumbang yang menentang hukuman yang telah dijatuhkan ka atas pezina-pezina itu. Selain dari mereka yang bukan Islam yang menyuarakan rasa kurang senang di atas tindakan yang telah diambil, ada juga di kalangan orang Islam sendiri yang menentang hukum sebat ini. Termasuk yang menentangnya adalah para pemimpin negara.
Apakah benar andaian-andaian setengah pihak yang mengatakan hukum Islam itu kejam? Kebanyakan mereka yang mengiakannya bukanlah dari kalangan yang pakar hukum. Bahkan sebahagian daripada mereka itu pun bukan dari kalangan penganut agama Islam. Mereka mengatakan demikian hanya berpandukan kepada akal fikiran mereka sahaja.
Sekali lagi saya bertanya, benarkah hukum Islam itu kejam? Apakah hukum yang dibuat oleh manusia itu lebih adil dan berperikemanusiaan? Siapakah kita untuk menilainya sedangkan diri kita ini sendiripun "tuhan Allah" yang menciptanya. Apabila Allah menurunkan Adam dan Hawa ke mukabumi, Allah juga menurunkan peraturan-peraturan hidup yang lengkap untuk keturunannya. Jika Allah yang mencipta manusia, maka sudah pastilah undang-undang atau peraturan hidup yang ditetapkan ke atas manusia sememangnya sesuai dengan keperluan manusia itu sendiri. Secara logiknya tidak timbul persoalan samada hukum-hukum Islam itu kejam atau tidak. Manusia hanya boleh menilai sesuatu perkara hanya berdasarkan pengetahuan dan ilmu yang cetek kerana akal fikirannya yang terbatas, sedangkan ilmu Allah itu tiada batasan. Firman Allah :
أَلَمْ تَعْلَمْ أَنَّ اللَّهَ يَعْلَمُ مَا فِى السَّمَآءِ وَالاٌّرْضِ إِنَّ ذلِكَ فِى كِتَـبٍ إِنَّ ذلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرٌ
Bukankah engkau telah mengetahui bahawasanya Allah mengetahui segala yang ada di langit dan di bumi? Sesungguhnya yang demikian itu ada tertulis di dalam Kitab (Lauh Mahfuz); sesungguhnya hal itu amatlah mudah bagi Allah. ( surah Al-Hajj: 70)
Kembali semula kepada persoalan hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah SWT kepada sesuatu kesalahan. Contohnya dalam pembicaraan kita sekarang ialah hukuman untuk mereka yang berzina. Apakah bentuk hukuman yang sebenarnya?
Zina Sebagai Satu kesalahan
Sungguhpun perbuatan zina telah ditetapkan sebagai satu kesalahan yang boleh dikenakan hukuman sejak tahun ketiga Hijriah tetapi penetapan tersebut belum menjadi undang-undang pemerintah. Pada masa itu zina masih bersifat sebagai kejahatan keluarga atau masyarakat biasa. Oleh kerana itu pihak keluargalah yang menghukumnya. Hal ini diterangkan oleh firman Allah:
وَاللَـتِى يَأْتِينَ الْفَـحِشَةَ مِن نِّسَآئِكُمْ فَاسْتَشْهِدُواْ عَلَيْهِنَّ أَرْبَعةً مِّنْكُمْ فَإِن شَهِدُواْ فَأَمْسِكُوهُنَّ فِى الْبُيُوتِ حَتَّى يَتَوَفَّاهُنَّ الْمَوْتُ أَوْ يَجْعَلَ اللَّهُ لَهُنَّ سَبِيلاً - وَاللَّذَانَ يَأْتِيَـنِهَا مِنكُمْ فَـَاذُوهُمَا فَإِن تَابَا وَأَصْلَحَا فَأَعْرِضُواْ عَنْهُمَآ إِنَّ اللَّهَ كَانَ تَوَّاباً رَّحِيماً
Dan sesiapa yang melakukan perbuatan keji (zina) di antara perempuan-perempuan kamu, maka carilah empat orang lelaki di antara kamu yang menjadi saksi terhadap perbuatan mereka. Kemudian kalau keterangan-keterangan saksi itu mengesahkan perbuatan tersebut, maka kurunglah mereka (perempuan yang berzina itu) dalam rumah hingga mereka sampai ajal matinya, atau hingga Allah mengadakan untuk mereka jalan keluar (dari hukuman itu).
Dan (mana-mana) dua orang di antara kamu yang melakukan perbuatan yang keji itu, (setelah sabit kesalahannya) maka hendaklah kamu menyakiti keduanya; kemudian jika mereka bertaubat dan memperbaiki keadaan diri mereka (yang buruk itu), maka biarkanlah mereka; kerana sesungguhnya Allah adalah sentiasa Menerima taubat, lagi Maha Luas rahmatNya.
(An Nisa:15-16)
Dari ayat 15 surah ini nampak bahawa hukum zina masih bersifat sementara dan mengisyaratkan akan tiba hukum zina yang lebih pasti dan tetap.
Dua setengah tahun kemudian turunlah ayat-ayat yang terdapat dalam surah An Nuur yang menghukumi zina secara tetap, dan seterusnya dijadikan undang-undang negara Islam.
Hukuman Berzina dalam Islam
Firman Allah dalam surah An Nur ayat 2,
الزَّانِيَةُ وَالزَّانِى فَاجْلِدُواْ كُلَّ وَاحِدٍ مِّنْهُمَا مِاْئَةَ جَلْدَةٍ وَلاَ تَأْخُذْكُمْ بِهِمَا رَأْفَةٌ فِى دِينِ اللَّهِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الاٌّخِرِ وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَآئِفَةٌ مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ
Permpuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman
Banyak yang perlu kita fahami sebelum kita mengambil ayat ini sebagai dalil hukuman zina. Ada beberapa sudut yang perlu dijelaskan di sini iaitu masalah perundangan, sejarah dan tata kesusilaan yang bila tidak diperinci akan menimbulkan kebingungan dalam memahami undang-undang hukum Allah dan berbagai masalah kehidupan keluarga.
Masyarakat yang masih dekat dengan perasaan fitrah manusia masih memandang zina sebagai perbuatan yang memudaratkan, yang harus mendapat hukuman berat pada si pelaku. Sungguhpun demikian sikap mereka dalam menghadapi perzinaan sedikit demi sedikit luluh dan sesuai dengan alur kebudayaan yang mempengaruhi masyarakat.
Sejarah telah menunjukkan bagaimana kaum Yahudi dan Nasrani telah meminda-minda hukuman zina yang telah ditetapkan dalam kitab-kitab mereka. Mereka telah meringankan hukumannya dengan alasan tersendiri. Mereka telah mengambil undang-undang Mesir Kuno, Babilona, Ashor dan Hindu, sebagai rujukan apabila merubah hukum yang asal.
Undang-undang Islam menetapkan pezina mesti dihukum dan hukuman yang lebih berat dijatuhkan terhadap mereka yang telah berkeluarga. Dalam pandangan peraturan Islam, bila perbuatan zina dibiarkan begitu saja tanpa tali pengekang maka anak yang lahir dari hasil zina tidak akan dapat diketahui asal-usul keterunannya. Oleh kerana itulah hubungan lelaki dan perempuan hendaknya terbatas pada hubungan yang bersifat masih dapat dipertanggungjawabkan dengan peraturan. Hubungan yang terbatas ini tidak akan dapat terwujud selagi kita tidak menghalang tersebarnya unsur-unsur yang menggalakkan pergaulan bebas dalam masyarakat.
|
Pergaulan bebas seperti ini boleh membawa kepada perbuatan maksiat seperti zina dan seterusnya menjadi gejala sosial dalam masyarakat seperti pembuangan bayi hasil hubungan di luar nikah |
Dalam Islam kesalahan berzina mempunyai hukuman yang berbeza di antara pezina yang sudah dan belum bernikah. Bagi yang belum bernikah mereka dijatuhkan hukuman disebat sebanyak 100 kali. Manakala bagi mereka yang sudah berkahwin direjam sehingga mati.
Walaupun hukuman ini nampak kejam tetapi keputusan untuk melaksanakannya tidakah boleh diambil sewenang-wenangnya. Sebelum sebarang hukuman dijatuhkan keterangan yang pasti dan jelas perlu di dapati samada dari pengakuan pezina atau para saksi, sungguhpun perbuatannya telah tersebar luas.
Mungkin ramai di antara kita yang tidak tahu bahawa Undang-undang hukum Islam tidak mengharuskan terdakwa mengakui perbuatannya. Orang yang melihat perbuatannya pun tidak diharuskan melapor kepada pihak pengadilan (hakim, penegak hukum). Namun bila perkara sampai kepada hakim maka hakim tidak boleh memaafkan terdakwa apabila telah terbukti nyata. Lain halnya bila belum terbukti maka hakim diizinkan memaafkan dan membebaskan terdakwa.
Rasulullah SAW bersabda:
"Barangsiapa melaporkan hal-hal kotor maka hendaknya dia menutup-nutupinya kerana Allah. Apabila telah jelas bagi kami maka akan kami hukumi dengan Kitabullah."
Dalam hadis yang diriwayatkan Abi Daud, dikisahkan Maa'iz Al Asmami telah berzina dengan seorang budak (hamba) wanita. Kemudian dia telah disuruh oleh bapa angkatnya Hazzal bin Na'im untuk mengadap Rasulullah SAW dan mengakui perbuatannya, dengan harapan hukumannya akan diringankan. Sebaliknya Rasulullah SAW telah menghukum rejam Ma'iz dan terhadap Hazzal, Rasulullah berkata,
"Sekiranya engkau menutup-nutupi masalahnya dengan kebesaranmu tentu hal itu baik bagimu"
Rujukan daripada buku: KEJAMKAH HUKUM ISLAM oleh Abdul A'la Almaududi