Saturday 25 June 2011

Sayang Sarawak

Sayang Sarawak adalah kek lapis Sarawak yang terbaru semasa saya ke sana pada 15 April lepas, sehari sebelum pilihanraya negeri itu. Harganya sebiji RM20.00 dan rasanya sangat sedap.

Yumm ...... kek lapis "sayang sarawak"

Sebenarnya ini adalah kali pertama saya kembali ke Sarawak setelah meninggalkannya  lebih kurang 17 tahun yang lalu. Selama 3 tahun  saya dan keluarga tinggal di Kuching kerana mengikuti suami yang dihantar bertugas di sana.

Sebelum balik bertugas ke Semenanjung, kami telah membuat satu perjalanan jauh dengan kereta dari Kucing ke Miri sehingga ke seberang Brunei. Ketika itu jalan yang dilalui masih dalam pembinaan ...... kami terpaksa melalui jalan batu kelikir sebahagian besar daripada perjalanan itu.


Apabila saya dan suami bercadang untuk ke Sarawak bersama baru-baru ini, kami telah merancang untuk melakukan "revisit" dengan melalui jalan yang sama. Kami telah menyewa sebuah kereta wira selama 4 hari dan mengulangi perjalanan yang kami ambil 17 tahun dulu. Namun disebabkan kesuntukan masa, kami hanya  sampai ke Bintulu. Keadaan jalanrayanya kini jauh lebih baik daripada  dulu.

Langkah Bermula

Kami tiba di bandaraya Kuching   tengahari Jumaat, di mana besoknya orang-orang Sarawak akan sibuk menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi. Suami saya mengajar di Politeknik Kuching pada hari Sabtu dan pagi Ahad. Oleh kerana itu kami hanya memulakan  ekspedisi ke Bintulu pada petang Ahad. Ketika di sini kami bermalam di The Lime Tree hotel. Walaupun hotel ini kecil tetapi makanannya sedap dan WIFI percuma. Hotel ini agak jauh sedikit daripada Kuching waterfront ..... yang dekat dengan harga yang berpatutan, semuanya fully booked disebabkan pilhanraya itu.

Dari Kuching kami terus ke bandar Sri Aman dan tiba di sana lewat petang. Kami membeli nasi goreng bungkus untuk dimakan dalam perjalanan seterusnya iaitu ke Sarikei. Kami sampai ke sini lebih kurang pukul 9 malam. Kami bermalam di Hotel 808, sebuah hotel murah tetapi ada WIFI  percuma. Sarikei adalah tempat di mana nenas Sarawak banyak didapati. Tanda mercu bandar ini melambangkannya, iaitu buah nenas.
Tanda mercu Sarikei ...... lihat nenas Sarawak gergasi
Bintulu

Pagi Isnin selepas sarapan kami meneruskan perjalanan ke Bintulu. Kami lalu bandar Sibu tetapi tidak menyinggah kerana tidak tahu mana hendak dituju. Sibu adalah bandar kedua tebesar di Sarawak. Kami tersesat juga ketika mencari jalan keluar. Dalam perjalanan seterusnya kami berhenti di sebuah pekan kecil yang bernama  Selangau untuk makan tengahari, Akhirnya kami tiba di Bintulu pada petang Isnin dan check-in di  Riverview Inn. Hotel ini mengadap ke Sungai Kemena yang  menjadi terminal bot expres , feri dan lain-lain pengangkutan air. Di sini juga disediakan talian WIFI percuma.
Salah satu servis pengangkutan yang menggunakan sungai di Bintulu

Pada sebelah malam kami dijemput makan malam oleh seorang kenalan lama suami ke rumahnya. Kebetulan kawannya itu adalah juga salah seorang calon dalam pilihanraya yang baru lepas ....... jadi dalam pertemuan itu banyak bercerita pasal politik.

Pada keesokan harinya (selasa pagi) kami mencuba menaiki salah sebuah Bot Penambang ke seberang sungai iaitu ke Kampong Jepak. Kampong ini jikalau melalui jalan darat agak jauh, lebih kurang 22 km daripada bandar Bintulu, tetapi melalui sungai hanya 5 min sahaja. Tambangnya hanya 50 sen sahaja. Tiada apa yang istimewa di kampong ini kerana pihak kerajaan tidak menjadikannya sebagai tempat tarikan pelancong. Ia hanyalah sebuah kampong nelayan yang menghasilkan produk laut seperti belacan, cencaluk, budu, udang gergau kering yang cantik dan ikan kering, dengan  menggunakan kaedah tradisional. Hasil produknya dijual di Pasar Tamu di bandar Bintulu.

Kampong Jepak ..... dari Sungai Kemena
udang gergau yang sedang dikeringkan ...... sedap dimakan bersama sambal belacan
Jalan-jalan makan angin di Kg Jepak
Hasil utama Sarawak ....... balak diangkut ke kilang melalui jalan air

Sebelum meninggalkan Bintulu kami ada membeli beberapa barangan kraftangan dan juga baju, selain daripada produk laut. Setelah membuat perbandingan harga dengan yang di Kuching, kami dapati barangan kraftangan di sini lebih murah tetapi kain dan pakaian lebih mahal. Mungkin peniaga mendapat stok  terus dari pengeluar  hasil tangan.

Belacan Bintulu  pula memang terkenal tetapi agak mahal. Di pasar tamunya saya ada membeli seketul kecil (berat 200g) dengan harga RM10. Kalau beli yang 500g dapatlah RM20 ..... jadinya sekilo RM40. Belacan yang saya beli itu diusahakan di Kg Assyakirin Fasa 1. Kampong ini berdekatan dengan Masjid Assyakirin agaknya. Sebelum kami meneruskan perjalanan pulang pada petang itu, kami sempat menziarahi masjid ini.
Masjid Assyakirin Bintulu

Perjalanan Pulang

Kami mulakan perjalanan pulang ke Kuching pada petang selasa selepas makan tengahari. Sebelum meninggalkan Bintulu kami sama-sama mengeluh dengan berkata, "Kesian orang Bintulu ......... terlalu sedikit perkembangan yang berlaku dibandingkan dengan bandar Sibu dan Kuching, yang membangun begitu pesat."

Hasil buminya lumayan .......minyak banyak, balak pun banyak. Ketika berhenti untuk solat Zohor-Asar di sebuah perhentian seperti R&R, kami terserempak dengan beberapa buah lori,  sarat dengan muatan balak yang juga berhenti rehat di situ.
Balak......hasil kekayaan Sarawak ........ kali ini diangkut melalui jalan darat
.
Dari Bintulu kami terus menuju ke bandar Sri Aman untuk bermalam di sana sebelum menyambung perjalanan ke Kuching pada keesokan paginya.  Kami bermalam di Good View Inn. Di sini juga ada disediakan WIFI percuma walaupun ianya dikategorikan sebagai budget hotel. Keadaan ini amat berbeza dengan hotel-hotel di KL di mana jarang sekali ada disediakan talian WIFI percuma walaupun  hotel yang besar-besar dan mahal!

Di sepanjang perjalanan ke Sri Aman kami menemui begitu banyak Rumah Panjang. Ada yang sudah hampir roboh, ada yang masih dalam pembinaan dan ada yang nampak baru.
Salah satu Rumah Panjang yang banyak terdapat di sepanjang jalan
Sungai Batang Lupar - bahagiannya yg terlebar terletak di Sri Aman .... kelihatan berkabus di waktu pagi

2 ekor burung merpati menjadi landmark Bandar Sri Aman .......foto diambiil ketika kereta sedang bergerak
Sebelum kami sampai ke Kuching kami singgah di bandar Serian. Kalau dahulu kami selalu ke Serian untuk membeli tikar rotan Sarawak kerana di sana lebih murah dari di Kuching. Pekan Serian hanyalah 45 minit dpd bandar Kuching. Namun kini ketika putar-putar mengelilngi pekan itu tidak pula kelihatan sebarang tikar.
Gambar kenangan menyinggah di Serian
Kuching

Flight balik  pada petang Rabu. Jadi sebelum pulang ke semenanjung kami sempat membeli belah di sepanjang Jalan Main Bazaar - Jalan Gambir, Kuching. Apakah yang dibawa pulang? .......macam-macam ....dari batu mata kucing, kraftangan, makanan, pakaian, hingga ke gambir Sarawak yang terkenal tuh!

Begitu banyak sekali perubahan yang berlaku di Kuching. Saya yang sangat lemah dalam bab "orienteering" ini, tidak dapat mengenali mana-mana jua landmark yang "familiar". Selepas membeli belah kami pun pusing-pusinglah sekejap di bandar Kuching dan juga di kawasan tempat tinggal lama, Petrajaya di Kuching Utara. Kami juga ke Kampong Gersik yang terletak di seberang sungai. Kalau naik bot penambang hanya mengambil masa 5 minit untuk sampai tetapi dengan berkereta , lebih kurang 15 minit baru sampai. Kami ke sana untuk membeli kek lapis sarawak yang dibuat di situ.

Bot Penambang di Kuching waterfront ....... masih dalam perancangan ketika kami tinggalkan Kuching 17 tahun lepas
 Favourite spot ....... pelancong bergilir-gilir bergambar di sini

Dewan Undangan  Negeri Sarawak (DUN) ...... menarik dan unik design bangunan ini
nostalgia ..... mengimbau balik kehidupan kami di sini selama 3 tahun .... jln Perupok tempat tinggal kami ..... SK Gita sekolah anak

Sebelum kami ke lapangan terbang pada petang itu, kami sempat menziarahi sorang sahabat lama yang tinggal di Bintulu tetapi kebetulan pada ketika itu beliau menziarahi ibunya yang sakit di Kuching. Rumah ibunya di Taman Sejoli, tidak jauh dari SK Gita. Kami lalu dihadapan sekolah ini tetapi suasananya amat berbeza dari zaman sekolah anak saya.

Begitulah berakhirnya percutian kami di Sarawak. Masih banyak lagi tempat yang belum kami sampai. Walaubagaimanapun lawatan ini mengembalikan nostalgia kehidupan di sana selama 3 tahun.

Sebenarnya kami suka mengembara. Selepas ini kami bercita-cita untuk berkereta merentasi 3 negeri pula ....... Sabah, Brunei, Sarawak. Bila ada kesempatan, insyAllah kami akan cuba laksanakannya.

Saturday 21 May 2011

Salman al Farisi - Gabenor yang Tidak Ambil Gaji

Nama panggilannya adalah Abu Abdillah dan digelari dengan " Salman Al-Khair". Salman dihormati sebagai seorang yang luas ilmu pengetahuan dan bijaksana. Tentang Salman, Nabi pernah mengatakan,

''Syurga merindukan tiga orang, yakni Ali bin Abi Thalib, Ammar bin Yasir, dan Salman Al-Farisi.''

Sementara Ali bin Abi Thalib pernah berkata,

''Siapa orang yang kamu miliki yang seperti Lukman Al-Hakim? Ia diberi pengetahuan tentang syariat terdahulu dan syariat yang turun kemudian; ia membaca dan mempelajari kitab suci yang terdahulu dan kitab suci yang turun paling akhir. Ilmunya bak lautan yang tidak pernah kering.''

Beliau adalah orang yang pertama menterjemah al Quran ke bahasa asing (Parsi). Beliau juga yang memberi idea untuk membina parit di sekeliling kota Madinah ketika perang Khandak.

Salman datang dari keluarga yang kaya -raya sebelum memeluk Islam. Dia sanggup meninggalkan kehidupan yang serba mewah , dan menjadi hamba abdi semata-semata kerana ingin mencari kebenaran. Kegigihannya mencari hidayah telah diceritakan dalam satu hadis:

Dari Abdullah bin Abbas Radliyallahu 'Anhuma berkata, "Salman al-Farisi Radliyallahu 'Anhu menceritakan biografinya kepadaku dari mulutnya sendiri. Kata Salman, "Saya pemuda Parsi, penduduk kota Isfahan, berasal dari desa Jayyan. Bapaku pemimpin Desa. Orang terkaya dan berkedudukan tinggi di situ. Aku adalah insan yang paling disayangi ayah sejak dilahirkan. Kasih sayang beliau semakin bertambah seiring dengan peningkatan usiaku, sehingga kerana teramat sayang, aku dijaga di rumah seperti anak gadis.

Aku mengabdikan diri dalam Agama Majusi (yang dianut ayah dan bangsaku).  Aku ditugaskan untuk menjaga api penyembahan kami supaya api tersebut sentiasa menyala.

Ayahku memiliki kebun yang luas, dengan hasil yang banyak Kerana itu beliau menetap di sana untuk mengawasi dan memungut hasilnya. Pada suatu hari bapa pulang ke desa untuk menyelesaikan suatu urusan penting. Beliau berkata kepadaku, "Hai anakku! Bapa sekarang sangat sibuk. Kerana itu pergilah engkau mengurus kebun kita hari ini menggantikan Bapa.''

Aku pergi ke kebun kami. Dalam perjalanan ke sana aku melalui sebuah gereja Nasrani. Aku mendengar suara mereka sedang sembahyang. Suara itu sangat menarik perhatianku.

Sebenarnya aku belum mengerti apa-apa tentang agama Nasrani dan agama-agama lain. Kerana selama ini aku dikurung bapa di rumah, tidak boleh bergaul dengan siapapun. Maka ketika aku mendengar suara mereka, aku tertarik untuk masuk ke gereja itu  dan mengetahui apa yang sedang mereka lakukan. Aku kagum dengan cara mereka bersembahyang dan ingin menyertainya.

Kataku, "Demi Allah! ini lebih bagus daripada agama kami."Aku tidak berganjak dari gereja itu sehinggalah petang. Sehingga aku terlupa untuk ke kebun.

Aku bertanya kepada mereka, "Dari mana asal agama ini?"

"Dari Syam (Syria)," jawab mereka.

Setelah hari senja, barulah aku pulang. Bapa bertanyakan urusan kebun yang ditugaskan beliau kepadaku.

Jawabku, "Wahai, Bapa! Aku bertemu dengan orang sedang sembahyang di gereja. Aku kagum melihat mereka sembahyang. Belum pernah aku melihat cara orang sembahyang seperti itu. Kerana itu aku berada di gereja mereka sampai petang."

Bapa menasihati akan perbuatanku itu. Katanya, "Hai, anakku! Agama Nasrani itu bukan agama yang baik. Agamamu dan agama nenek moyangmu (Majusi) lebih baik dari agama Nasrani itu!"

Jawabku, "Tidak! Demi Allah! Sesungguhnya agama merekalah yang lebih baik dari agama kita."

Bapa khuatir dengan ucapanku itu. Dia takut kalau aku murtad dari agama Majusi yang kami anuti. Kerana itu dia mengurungku dan membelenggu kakiku dengan rantai.

Ketika aku beroleh kesempatan, kukirim surat kepada orang-orang Nasrani minta tolong kepada mereka untuk memaklumkan kepadaku andai ada kafilah yang  akan ke Syam supaya memberitahu kepadaku. Tidak berapa lama kemudian, datang kepada mereka satu kafilah yang hendak pergi ke Syam. Mereka memberitahu kepadaku.

Maka aku berusaha untuk membebaskan diri daripada rantai yang membelengu diriku dan melarikan diri bersama kafilah tersebut ke Syam.

Sampai di sana aku bertanya kepada mereka, "Siapa kepala agama Nasrani di sini?"

"Uskup yang menjaga "jawab mereka.

Aku pergi menemui Uskup seraya berkata kepadanya, "Aku tertarik masuk agama Nasrani. Aku bersedia menadi pelayan anda sambil belajar agama dan sembahyang bersama-sama anda."

'Masuklah!" kata Uskup.
Aku masuk, dan membaktikan diri kepadanya sebagai pelayan.

Setelah beberapa lama aku berbakti kepadanya, tahulah aku Uskup itu orang jahat. Dia menganjurkan jama'ahnya bersedekah dan mendorong umatnya beramal pahala. Bila sedekah mereka telah terkumpul, disimpannya saja dalam perbendaharaannya dan tidak dibahagi-bahagikannya kepada fakir miskin sehingga kekayaannya telah berkumpul sebanyak tujuh peti emas.

Aku sangat membencinya kerana perbuatannya yang mengambil kesempatan untuk mengumpul harta dengan duit sedekah kaumnya. tidak lama kemudian dia meninggal. Orang-orang Nasrani berkumpul hendak menguburkannya.

Aku berkata kepada mereka, 'Pendeta kalian ini orang jahat. Dianjurkannya kalian bersedekah dan digembirakannya kalian dengan pahala yang akan kalian peroleh. Tapi bila kalian berikan sedekah kepadanya disimpannya saja untuk dirinya, tidak satupun yang diberikannya kepada fakir miskin."

Tanya mereka, "Bagaimana kamu tahu demikian?"

Jawabku, "Akan kutunjukkan kepada kalian simpanannya."

Kata mereka, "Ya, tunjukkanlah kepada kami!"

Maka kuperlihatkan kepada mereka simpanannya yang terdiri dan tujuh peti, penuh berisi emas dan perak. Setelah mereka saksikan semuanya, mereka berkata, "Demi Allah! Jangan dikuburkan dia!"

Lalu mereka salib jenazah uskup itu, kemudian mereka lempari dengan batu. Sesudah itu mereka angkat pendeta lain sebagai penggantinya. Akupun mengabdikan diri kepadanya. Belum pernah kulihat orang yang lebih zuhud daripadanya. Dia sangat membenci dunia tetapi sangat cinta kepada akhirat. Dia rajin beribadat siang malam. Kerana itu aku sangat menyukainya, dan lama tinggal bersamanya.

Ketika ajalnya sudah dekat, aku bertanya kepadanya, "Wahai guru! Kepada siapa guru mempercayakanku seandainya guru meninggal. Dan dengan siapa aku harus berguru sepeninggalan guru?"

Jawabnya, "Hai, anakku! Tidak seorang pun yang aku tahu, melainkan seorang pendeta di Mosul, yang belum merubah dan menukar-nukar ajaran-ajaran agama yang murni. Hubungi dia di sana!"

Maka tatkala guruku itu sudah meninggal, aku pergi mencari pendeta yang tinggal di Mosul. Kepadanya kuceritakan pengalamanku dan pesan guruku yang sudah meninggal itu.

Kata pendeta Mosul, "Tinggallah bersama saya."

Aku tinggal bersamanya. Ternyata dia pendeta yang baik. Ketika dia hampir meninggal, aku berkata kepada nya, "Sebagaimana guru ketahui, mungkin ajal guru sudah dekat. Kepada siapa guru mempercayai seandainya  guru sudah tiada?"

Jawabnya, "Hai, anakku! Demi Allah! Aku tak tahu orang yang seperti kami, kecuali seorang pendeta di Nasibin. Hubungilah dia!"

Ketika pendeta Mosul itu sudah meninggal, aku pergi menemui pendeta di Nasibin. Kepadanya kuceritakan pengalamanku serta pesan pendeta Mosul.
Kata pendeta Nasibin, "Tinggallah bersama kami!"

Setelah aku tinggal di sana, ternyata pendeta Nasibin itu memang baik. Aku mengabdi dan belajar dengannya sehinggalah beliau wafat. Setelah ajalnya sudah dekat, aku berkata kepadanya, "Guru sudah tahu perihalku maka kepada siapa harusku berguru seandainya guru meninggal?"

Jawabnya, "Hai, anakku! Aku tidak tahu lagi pendeta yang masih memegang teguh agamanya, kecuali seorang pendeta yang tinggal di Amuria. Hubungilah dia!"

Aku pergi menghubungi pendeta di Amuria itu. Maka kuceritakan kepadanya pengalamanku.

Katanya, "Tinggallah bersama kami!
Dengan petunjuknya, aku tinggal di sana sambil mengembala kambing dan sapi. Setelah guruku sudah dekat pula ajalnya, aku berkata kepadanya, "Guru sudah tahu urusanku. Maka kepada siapakah lagi aku akan anda percayai seandainya  guru meninggal dan apakah yang harus kuperbuat?"

Katanya, "Hai, anakku! Setahuku tidak ada lagi di muka bumi ini orang yang berpegang teguh dengan agama yang murni seperti kami. Tetapi sudah hampir tiba masanya, di tanah Arab akan muncul seorang Nabi yang diutus Allah membawa agama Nabi Ibrahim.

Kemudian dia akan berpindah ke negeri yang banyak pohon kurma di sana, terletak antara dua bukit berbatu hitam. Nabi itu mempunyai ciri-ciri yang jelas. Dia mahu menerima dan memakan hadiah, tetapi tidak mahu menerima dan memakan sedekah. Di antara kedua bahunya terdapat tanda kenabian. Jika engkau sanggup pergilah ke negeri itu dan temuilah dia!"

Setelah pendeta Amuria itu wafat, aku masih tinggal di Amuria, sehingga pada suatu waktu segerombolan saudagar Arab dan kabilah "Kalb" lewat di sana. Aku berkata kepada mereka, "Jika kalian mahu membawaku ke negeri Arab, aku berikan kepada kalian semua sapi dan kambing-kambingku."

Jawab mereka, "Baiklah! Kami bawa engkau ke sana."
Maka kuberikan kepada mereka sapi dan kambing peliharaanku semuanya. Aku dibawanya bersama-sama mereka. Sesampainya kami di Wadil Qura aku ditipu oleh mereka. Aku dijual kepada seorang Yahudi. Maka dengan terpaksa aku pergi dengan Yahudi itu dan berkhidmat kepadanya sebagai hamba. Pada suatu hari anak saudara majikanku datang mengunjunginya, iaitu Yahudi Bani Quraizhah, lalu aku dibelinya daripada majikanku.

Aku berpindah  ke Yastrib dengan majikanku yang baru ini. Di sana aku melihat banyak pohon kurma seperti yang diceritakan guruku, Pendeta Amuria. Aku yakin itulah kota yang dimaksud guruku itu. Aku tinggal di kota itu bersama majikanku yang baru.

Ketika itu Nabi yang baru diutus sudah muncul. Tetapi baginda masih berada di Makkah menyeru kaumnya. Namun begitu aku belum mendengar apa-apa tentang kehadiran serta da'wah yang baginda sebarkan kerana aku terlalu sibuk dengan tugasku sebagai hamba.

Tidak berapa lama kemudian, Rasulullah saw. berpindah ke Yastrib. Demi Allah! Ketika itu aku sedang berada di puncak pohon kurma melaksanakan tugas yang diperintahkan majikanku. Dan majikanku itu duduk di bawah pohon. Tiba-tiba datang anak saudaranya mengatakan, "Biar mampus Bani Qaiah!( kabilah Aus dan Khazraj) Demi Allah! Sekarang mereka berkumpul di Quba' menyambut kedatangan lelaki dari Makkah yang mendakwa dirinya Nabi."

Mendengar ucapannya itu badanku terasa panas dingin seperti demam, sehingga aku menggigil kerananya. Aku kuatir akan jatuh dan tubuhku akan menimpa majikanku. Aku segera turun dari puncak ponon, lalu bertanya kepada tamu itu, "Apa kabar anda? Cubalah khabarkan kembali kepadaku!"

Majikanku marah dan memukulku seraya berkata, "Ini bukan urusanmu! Kerjakan tugasmu kembali!"

Keesokannya aku mengambil buah kurma seberapa banyak yang mampu kukumpulkan. Lalu kubawa ke hadapan Rasulullah saw..

Kataku "Aku tahu tuan orang soleh. Tuan datang bersama-sama sahabat  tuan sebagai perantau. Inilah sedikit kurma dariku untuk sedekahkan kepada tuan. Aku lihat tuanlah yang lebih berhak menerimanya daripada yang lain-lain." Lalu aku hulurkan kurma itu ke hadapannya.

Baginda berkata kepada para sahabatnya, "silakan kalian makan,...!" Tetapi baginda tidak menyentuh sedikit pun makanan itu apalagi untuk memakannya.

Aku berkata dalam hati, "Inilah satu di antara ciri cirinya!"

Kemudian aku pergi meninggalkannya dan kukumpulkan pula sedikit demi sedikit kurma yang terdaya kukumpulkan. Ketika Rasulullah saw. pindah dari Quba' ke Madinah, kubawa kurma itu kepada baginda.

Kataku, "Aku lihat tuan tidak mahu memakan sedekah. Sekarang kubawakan sedikit kurma, sebagai hadiah untuk tuan."

Rasulullah saw. memakan buah kurma yang kuhadiahkan kepadanya. Dan baginda mempersilakan pula para sahabatnya makan bersama-sama dengannya. Kataku dalam hati, "ini ciri kedua!"

Kemudian kudatangi baginda di Baqi', ketika baginda menghantar jenazah sahabat baginda untuk dimakamkan di sana. Aku melihat baginda memakai dua helai kain. Setelah aku memberi salam kepada baginda, aku berjalan mengekorinya sambil melihat ke belakang baginda untuk melihat tanda kenabian yang dikatakan guruku.

Agaknya baginda mengetahui maksudku. Maka dijatuhkannya kain yang menyelimuti belakangnya, sehingga aku melihat dengan jelas tanda kenabiannya.

Barulah aku yakin, dia adalah Nabi yang baru diutus itu. Aku terus memeluk bagindanya, lalu kuciumi dia sambil menangis.

Tanya Rasulullah, "Bagaimana khabar Anda?"

Maka kuceritakan kepada beliau seluruh kisah pengalamanku. Beliau kagum dan menganjurkan supaya aku menceritakan pula pengalamanku itu kepada para sahabat baginda. Lalu kuceritakan pula kepada mereka. Mereka sangat kagum dan gembira mendengar kisah pengalamanku.

Berbahagilah Salman Al-Farisy yang telah berjuang mencari agama yang hak di setiap tempat. Berbahagialah Salman yang telah menemukan agama yang hak, lalu dia iman dengan agama itu dan memegang teguh agama yang diimaninya itu. Berbahagialah Salman pada hari kematiannya, dan pada hari dia dibangkitkan kembali kelak.

Salman sibuk bekerja sebagai hamba. Dan kerana inilah yang menyebabkan Salman terhalang mengikuti perang Badar dan Uhud. "Rasulullah saw. suatu hari bersabda kepadaku, "Mintalah kepada majikanmu untuk bebas, wahai Salman!" Maka majikanku membebaskan aku dengan tebusan 300 pohon kurma yang harus aku tanam untuknya dan 40 uqiyah.

Kemudian Rasulullah saw. mengumpulkan para sahabat dan bersabda, "Berilah bantuan kepada saudara kalian ini." Mereka pun membantuku dengan memberi pohon (tunas) kurma. Seorang sahabat ada yang memberiku 30 pohon, atau 20 pohon, ada yang 15 pohon, dan ada yang 10 pohon, setiap orang sahabat memberiku pohon kurma sesuai dengan kadar kemampuan mereka, sehingga terkumpul benar-benar 300 pohon.

Setelah terkumpul Rasulullah saw. bersabda kepadaku, "Berangkatlah wahai Salman dan tanamlah
pohon kurma itu untuk majikanmu, jika telah selesai datanglah kemari aku akan meletakkannya di tanganku."

Aku pun menanamnya dengan dibantu para sahabat. Setelah selesai aku menghadap Rasulullah saw. dan memberitahukan perihalku, Kemudian Rasulullah saw. keluar bersamaku menuju kebun yang aku tanami itu. Kami dekatkan pohon (tunas) kurma itu kepada baginda dan Rasulullah  saw. pun meletakkannya di tangan baginda. Maka, demi jiwa Salman yang berada di tanganNya, tidak ada sebatang pohon pun yang mati.

Untuk tebusan pohon kurma sudah dipenuhi, aku masih mempunyai tanggungan wang sebesar 40 uqiyah. Kemudian Rasulullah  saw. membawa emas sebesar telur ayam hasil dari rampasan perang. Lantas baginda bersabda,  "Apa yang telah dilakukan Salman al-Farisi?"

Kemudian aku dipanggil baginda, lalu baginda bersabda,  "Ambillah emas ini, gunakan untuk melengkapi tebusanmu wahai Salman!"

"Wahai Rasulullah saw., bagaimana status emas ini bagiku? Soalku inginkan kepastian daripada baginda.

Rasulullah menjawab, "Ambil saja! Insya Allah, Allah Subhanahu wa Ta'ala akan memberi kebaikan kepadanya." Kemudian aku menimbang emas itu. Demi jiwa Salman yang berada di tanganNya, berat ukuran emas itu 40 uqiyah. Kemudian aku penuhi tebusan yang harus aku serahkan kepada majikanku, dan aku dimerdekakan.

Setelah itu aku turut serta bersama Rasulullah saw. dalam perang Khandaq, dan sejak itu tidak ada satu peperangan yang tidak aku ikuti.'

(HR. Ahmad, 5/441; ath-Thabrani dalam al-Kabir(6/222); lbnu Sa'ad dalamath-Thabagat, 4/75; al-Balhaqi dalam al-kubra, 10/323.)

Beliau dilantik sebagai gabenor di Al-Madain yang terletak berdekatan Baghdad. Salman mendapat gaji sebanyak lima ribu dirham. Semua wang tersebut disedekahkannya kepada fakir miskin. Beliau menyara hidup dengan bekerja sendiri. Bila beberapa orang datang ke Madain dan melihat beliau bekerja di sebuah kebun kurma, mereka berkata:
“Tuan adalah amir di sini dan rezeki tuan sudah dijamin, tetapi tuan masih melakukan pekerjaan ini!”
“Aku suka memakan hasil dari kerjaku sendiri,” jawabnya.Satu hari ketika sedang berjalan di sebatang jalan, dia didatangi seorang lalaki dari Syiria menanggung sebakul buah tin dan kurma dalam keadaan sukar dan lelah. Lelaki itu tidak mengenali Salman, lalu meminta Salman turut membawa bakul buah itu bersama ke tempat yang dituju. Salman dengan rela hati melakukanya.

Dalam perjalanan itu, laki bersama Salman yang merengkuh membawa buah-buah itu bertembung dengan satu rombongan. Salman memberi salam. Rupanya rombongan itu mengenali Salman sebagai Amir.

Maka guguplah lelaki yang meminta Salman membawa buah-buahnya. Lalu lelaki itu pun meminta maaf dan meminta semula bakul-bakul yang dibawa oleh Salman.

Salman segera menjawab: “ Tidak, biar aku  hantar sampai ke rumahmu.”

Salman seorang yang zuhud dan gemar hidup secara susah. Beliau tidak suka tinggal di bawah bumbung, sebaliknya hanya berlindung di bawah pokok atau di tepi dinding. Beliau hanya mempunyai sehelai baju luar.

Suatu hari seorang lelaki telah berkeras untuk mendirikannya sebuah rumah dari lebihan bangunan. Salman bertanya kepada tukang rumahnya:

“ Bagaimana bentuk yang kamu hendak dirikan rumah ini?”


Tukang rumah itu sememangnya tahu Salman orang yang sederhana dan bukan dari orang yang suka bermewah-mewah, lalu dikatakan kepada Salman:

“ Janganlah tuan bimbang, rumah yang akan saya lakukan ini, hanya untuk berteduh ketika panas dan berlindung ketika hujan. Jika tuan berdiri, kepala tuan akan menyentuhi langit bumbung dan jika tuan berbaring, kaki tuan akan terhantuk kepada dinding.”

Dengan selamba Salman berkata:

“ Betul tu, begitulah yang saya mahu.”

Friday 29 April 2011

Abu Zar Al-Ghifari - seorang Aalim yang Tidak Layak Memimpin

Dalam sejarah Islam Abu Zar Al-Ghifari dikenali sebagai sahabat yang paling bersikap terbuka dan berterus terang. Beliau sangat tegas dalam menyatakan kebenaran, tanpa ragu-ragu kepada sesiapa saja  tanpa mengira mereka adalah kawan atau sebaliknya. Jiwanya suci, bersih dan kehidupannya amat mudah.

Abu Zar tidak suka kepada kehidupan yang bermewah-mewah. Semasa pemerintahan Khalifah Othman,  masyarakat Islam mula suka mengumpul harta dan menjalani kehidupan yang mewah dan bermegah-megah. Keadaan ini sangat meresahkan Abu Zar kerana ianya bertentangan dengan prinsip kehidupannya yang sangat sederhana. Ini menyebabkan beliau banyak mengkritik cara pemerintahan Khalifah Othman, dan seterusnya mewujudkan suasana tegang antara beliau dan pemerintah. Akhirnya beliau diminta oleh Khalifah Othman untuk tinggal di kawasan terpencil bernama Rubza di luar kota Madinah bagi mengelak gangguan berterusan daripadanya.

Pernah suatu ketika Abu Zar meminta jawatan dalam kerajaan daripada Rasulullah SAW, tetapi telah ditolak. Mengapa?

Ini jawapan Rasulullah SAW:

“Aku lihat kamu  adalah seorang yang lemah (tidak berupaya) melaksanakan tugas dengan baik, aku menyayangimu seperti aku sayangi diriku sendiri.” (Riwayat Abu Daud)

Dalam riwayat yang lain, Rasulullah SAW telah bersabda:

Ya Abu Zar, aku lihat engkau seorang yang lemah dan aku suka engkau mendapatkan sesuatu yang aku sendiri menyukainya. Janganlah engkau memimpin dua orang dan janganlah engkau mengurus harta anak yatim.”    (Riwayat Muslim)

Abu Zar adalah sahabat nabi yang pernah pengsan kerana takutkan Allah

Kelemahan Abu Zar ini amat jelas pada Rasulullah SAW. Malah baginda telah meramalkan semasa perang Tabuk bahawa Abu Zar  nanti akan meninggal seorang diri dan dibangkitkan juga seorang diri. Kelemahannya ialah dalam keterampilan bermasyarakat sehingga menyebabkan dia dibuang daerah. Sebagaimana yang diramalkan oleh Rasulullah SAW, Abu Zar memang meninggal seorang diri dengan hanya ditemani oleh isteri dan anak perempuannya. Jenazahnya telah diuruskan oleh beberapa orang pengembara dari Iraq, juga seperti yang telah diramalkan oleh Rasulullah SAW.

Ada beberapa orang lagi di kalangan para sahabat yang telah meminta jawatan daripada Rasulullah SAW tetapi telah ditolak.

Daripada Abd Rahman bin Samurah, Rasulullah SAW bersabda:

Wahai ‘Abd ar-Rahman! Jangan engkau meminta jawatan pemimpin. Sesungguhnya jika engkau diberikannya dengan permintaan maka engkau dibebankan (tidak ditolong). Sekiranya engkau diberikannya tanpa permintaan maka engkau dibantu (oleh Allah) –

(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim, Abu Dawud, Tirmizi, Nasaie dan Ahmad)

Ini bermakna tidak semua orang mampu jadi pemimpin walaupun ilmunya banyak. Banyak faktor yang perlu diambil kira apabila kita memilih pemimpin. Syarat utama untuk dilantik sebagai seorang pemimpin adalah kelayakan, iaitu mempunyai ilmu, kekuatan fizikal, keterampilan bermasyarakat, wibawa, akhlak mulia, mahir berkomunikasi, bakat dan takwa kepada Allah.

Imam Ahmad Ibnu Hanbal ketika ditanya tentang dua orang yang dicalonkan untuk memimpin satu pasukan di mana yang pertama kuat tetapi bergelumang dengan dosa, manakala yang kedua, kuat agamanya tetapi lemah perwatakan dirinya dalam memimpin, maka beliau menjawab:

“Orang pertama, dosanya ditanggung sendiri sedangkan kekuatannya dapat menbina keutuhan negara dan kepentingan umat. Manakala orang kedua yang kuat memegang teguh ajaran agamanya hanya memberikan manafaat untuk dirinya sahaja, sedangkankan kelemahannya menjadi petaka bagi orang yang dipimpinnya.”

Ini kerana kepentingan untuk orang ramai lebih diutamakan daripada kekurangan akhlak dan moralitinya.

Sunday 10 April 2011

Kenangan - Pusing-pusing di Kota Alex

DARI 25 Januari hingga 13 Februari 2011 berlaku revolusi kebangkitan rakyat Mesir terhadap kerajaan yang memerintah. Tiap-tiap hari mereka berdemo menentang rejim Mubarak di beberapa bandar besar. Tiap-tiap  hari pula kita melihat beritanya di kaca TV dan internet. Pada masa itulah saya terkenangkan lawatan kami ke Mesir selama lebih kurang 8 hari pada tahun 2008.

Demo anti-kerajaan di Alex pada 11 Feb 2011

Kami hanya melawat bandar Kaherah (Cairo) dan Iskandariah (Alexandria) atau lebih dikenali dengan panggilan Alex. Kebanyakan masa kami berada di Alex, sebuah bandar yang sangat cantik yang mendapat jolokan "The Pearl of the Mediterranean". Alex adalah bandar kedua terbesar di Mesir dan pelabuhannya yang terbesar.

Marhaban.....mengalu-alukan pelancong di Mumtazah
Pada tahun itu suami  kena menghadiri seminar di Alex. Jadi dia telah mengambil kesempatan itu dengan membawa saya bersama dan menjadikannya sebagai percutian kami. Selama 5 malam di Alex kami telah menginap di Windsor Palace Hotel Alexandria, sebuah bangunan tua yang terletak di tepi laut.

"Marhaban bi-dhuyuf al-Iskandariah"

Selamat datang kepada tetamu-tetamu Iskandariah atau Alexandria.
 o
Inilah tempat penginapan kami selama 5 malam....Windsor Palace Hotel
Tiap-tiap pagi kami bersarapan di dewan makannya yang terletak di tingkat enam hotel itu. Pemandangan dari situ sangat cantik sekali ...... laut Mediteranian yang biru  kelihatan begitu tenang , sejuk mata memandang .....meminggiri pantai sejauh 32 km bandar Alex.

pemandangan daripada atas hotel
Antara tempat menarik yang kami kunjungi seperti kubu Sultan Qaitbay (Fort Qaitbey), Masjid Mursi Abdul Abbas, Universiti Alexandria, Amphitheatre, Bibliotheca Alexandrina (Library of Alexandria) dan Montazah Garden. Kami hanya menggunakan kenderaan awam (selain berjalan kaki) ketika pusing-pusing di  kota Alex. Semua jenis kenderaan kami mencuba ......... teksi, van 'putih', bas dan juga tram.

Berposing di depan Fort Qaitbey ......
 keseluruhan bangunannya dibuat daripada batu-bata putih

Pemandangan  dari atas Fort Qaitbey
Dari kubu kami hanya berjalan kaki ke Masjid Mursi Abdul Abbas. Dalam perjalanan kami bersiar-siar di tepi pantai yang berdekatan kerana kami mengarah ke laluan yang sama. Sambil menikmati keindahan lautan biru seluas mata memandang, kami juga sempat membeli barangan suvenir dari gerai-gerai jualan yang banyak terdapat di sepanjang pantai..

Masjid Abdul Abbas .......perkarangannya dipenuhi dengan peminta-peminta sedekah

hmmm......cantik kaan laut di belakang?
Haa......kacak bos dengan topi yang baru dibeli.....di belakang kubu Oaitbey dari  jauh
Selepas meninggalkan pantai kami berjalan-jalan di bandar mencari makan dahulu sebelum ke masjid kerana terasa lapar. Cari punya cari terjumpalah gerai simple di tepi jalan. Ia menjual sejenis roti seperti piza. Kami makan di situ sahaja. Kemungkinan kebiasaannya orang beli 'takeaway' kerana kelihatan banyak kotak yang tersusun dan tempat duduk yang sedikit sahaja

Di sinilah kami makan.........
Jarang dapat bergambar bersama......tak ingat siapa yang tolong ambil?
Mungkin pakcik jual roti tuh
Agak menarik di Mesir ini terdapat peninggalan sejarah dari orang Rom, iaitu  Amphitheatre atau Roman Theatre yang terdapat di Alex. Ia adalah sebuah gelanggang terbuka yang berada di tengah-tengah dan dikelilingi tempat duduk penonoton, yang boleh memuatkan seramai lebih kurang 700-800 orang. Kawasan ini sebenarnya adalah muzium terbuka di mana kita boleh berjalan-jalan sambil melihat, menyentuh dan membaca maklumat-maklumat yang terdapat di situ.

Alexandria train station......Amphitheatre berdekatan  kawasan ini

Ketika berada dalam runtuhan binaan Amphitheatre

......antara bahan yang dipamerkan

Amphitheatre di belakang kami.....struktur yang kelihatan berada di level bawah
Ada lagi satu binaan tinggalan orang Rom yang terletak di El-Shukafa di kawasan Karunz, iaitu Pompey's Pilar dan Catacombs tetapi pintu pagarnya sudah ditutup ketika kami sampai kerana waktu lawatan sudah habis ( antara pukul 4-5 ptg). Jadi kami lihat apa yang dapat dilihat dari luar sahaja.




greetings.....kerana ini kawasan pelancong



Lagi satu tempat yang sangat menarik yang sempat dilawati di Alex ialah  Montazah Garden dan Montazah Palace. Ia terletak di satu kawasan berbukit batu yang menganjur ke laut Mediteranian .........sangat cantik dengan taman bunga yang dijaga rapi dan kebun tamar yang subur.

 Kawasannya sangat luas dan agak penat juga berjalan dari pintu masuk dan  bersiar-siar di dalam taman. Di dalam taman ini juga terdapat Istana Sultan Farouk, raja terakhir Mesir. Semasa pemerintahan Mubarak istana ini dijadikan sebagai "Rumah tetamu Presiden"



Kebun kurma yang terdapat dalam taman ........ kebanyakan pokoknya sedang berbuah dengan lebat

Montazah Palace ........tidak dibenarkan masuk, hanya boleh dilihat dari luar

Di bandar Alex ini juga terdapat sebuah perpustakaan yang baru dan  moden (dirasmikan pada  2002). Ia lebih dikenali dengan nama Bibliotheca Alexendrina atau dalam bahasa Arab Makatabat al-Iskandariah atau dalam bahasa Inggeris Library of Alexandria. Ianya bukan sekadar sebuah perpustakaan yang boleh memuatkan berjuta-juta buku sahaja, tetapi ia sebenarnya  adalah sebuah pusat mencari dan menyampaikan  ilmu. Di bawah satu bumbung terdapat beberapa buah perpustakaan yang khusus, planetarium, muzium, galeri seni dan lain-lain. Bentuk bangunannya juga adalah unik.


Di luar perpustakaan tetapi bahagian atas ....... ada kolam dan kelihatan bumbungnya yang unik

Pemandangan dari atas bumbung

Ini adalah antara bahan-bahan yang dipamerkan

Ini ruang membaca.....berlapis-lapis

....... lihat pada cahaya yang diterima melalui bumbungnya


Antara karya seni yang dipamerkan di galeri seni

Last but not least ialah lawatan kami ke Universiti Alexandria, di mana suami ada temujanji dengan pihak universiti. Ia sebuah universiti lama yang telah wujud sejak 1938. Pada hari itu Kami telah pergi khusus ke bahagian Fakulti Kejuruteraan. Ia merupakan universiti yang kedua terbesar di Mesir.

Bangunannya tersergam ......

Suasana dalam bangunan universiti

Suami bersama colleague

Suami bersama kakitangan universiti di salah sebuah bengkel elektrik ...

Papantanda  universiti ........bergambar sebagai kenangan

Related Post:

Mesir Bumi Anbiya'

Jaula ke Mesir