Tuesday, 12 May 2009

Bermacam-macam Gila



Semalam  Mahkamah Tinggi telah memutuskan Nizar adalah MB Perak yang sah. Pada  tanggal 6 Februari 2009 yang lalu telah tercatat dalam sejarah politik Malaysia sebagai Hari berlakunya rampasan kuasa di negeri Perak Darul Ridzuan. BN telah melakukan silap mata, "kejap ada kejap tak ada". Ini semua adalah gara-gara ingin berkuasa semula dan tidak sabar untuk menanti pilihanraya yang akan datang.

Pada 7 Mei yang lepas Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak telah diadakan dan kita melihat bagaimana manusia yang "gila" kuasa ini menggunakan segala kuasa yang ada memperalatkan polis untuk melaksanakan impian mereka. Memang benar sekali apabila manusia sudah mabuk dia hilang pertimbangan untuk melakukan sesuatu yang normal. Mereka akan membuat perkara yang tidak rasional walaupun mereka tahu yang ia adalah salah. Nafsu mengatasi akal fikiran.

Saya bukanlah minat menulis pasal politik tetapi saya amat berminat apa yang berlaku di Perak kerana itu negeri 'teman' yang berasal dari Ipoh. Semasa berlaku "rampasan kuasa " hari itu risau juga pasal ahli-ahli keluarga yang berada di Ipoh. Perasaan inilah yang dimainkan oleh BN terhadap rakyat yang ingin melakukan perubahan.

Sebenarnya saya ingin menceritakan tentang manusia yang mempunyai berbagai-bagai ragam dan fe'el. Apabila kita terlalu asyik dengan sesuatu, ini boleh membuat kita menjadi seolah-olah "gila" atau "mabuk". Contohnya mabuk cinta, gila talak, gila kuasa, gila duit, gila perempuan, gila judi dan bermacam-macam lagi.

Ketika saya bekerja sebagai "cleaner" semasa menemani suami buat PhD di UK, ada seorang  teman sekerja (keturunan Inggeris) merungut pasal salah seorang lagi teman lain (rakyat British tetapi keturunan India Afrika) yang "money crazy" katanya. Ada sahaja kerja extra dia akan ambil. Kemudian waktu cuti sekolah (kami kerja di sekolah) dia akan bawa kerja yang sepatutnya dibuat di rumah, ke tempat kerja, kerana waktu itu tidak banyak kerja yang kena dibuat "urgent" tetapi tidak bermakna tidak ada......curi tulanglah tuu!.... Dia sebenarnya mengambil upah menjahit (sub-con) dari sebuah kilang baju yang dibuat di rumahnya.

Sebuah hadis riwayat Abu Dawud dan Akhmad mengingatkan kita yang ertinya :

Makanlah, minumlah, berpakaianlah, dan bersedekahlah dengan tidak berlebih-lebihan dan tidak pula bermegah-megah.

Setiap yang berlebihan atau keterlaluan itu boleh mendatangkan keburukan. Makan berlebihan juga boleh menjejaskan kesihatan dan tidak ambil makanan yang secukupnya juga akan memberi kesan kepada kesihatan. Oleh itu bersederhanalah dalam setiap amalan kita.



Monday, 27 April 2009

Genap setahun memblog



Bulan April 2009 genap setahun  lamanya saya 'memblog'. Ketika mula membangunkan blog saya bertekad untuk menulis sekurang-kurangnya satu artikel dalam sebulan. Ini bertujuan untuk memastikan blog saya itu terus 'hidup'. Untuk memulakan sesuatu projek memang mudah tetapi untuk  "maintain" , menjadi satu masalah kepada kebanyakan manusia. Ia memerlukan komitmen dan disiplin diri.

Namun apabila saya melihat kepada "archives" yang dipaparkan pada "sidebar", saya dapati ada satu bulan (November) yang tidak ada sebarang "post". Jadi saya cuba mengingati kembali kenapa saya 'termiss' bulan itu. Bila dingati semula itulah masanya rumah saya dipecah masuk di mana kami telah kehilangan dua buah laptop dan dua biji talipon. Selama sebulan kami tidak mempunyai komputer dan 'broadband' kami terbiar tidak terguna walaupun berbayar. Saya sangat menyesali akan kehilangan laptop peribadi saya itu kerana ia adalah pembelian hasil daripada titik peluh saya bekerja sebagai "cleaner" semasa saya menemani suami buat Phd di UK. Ada 'sentimental value' pada laptop itu. Sehingga sekarang masih belum terganti laptop yang hilang itu.

Berbalik kepada keadaan kami yang tidak boleh 'berinternet' selama lebih kurang sebulan itu, anak bongsu saya bagaikan 'mati kutu' . Dia merengek-rengek sepanjang bulan itu dengan pertanyaan, "Bila nak beli komputer baru..... rugi jer internet tak boleh guna", katanya. Ada satu tahap di mana dia mogok tidak mahu becakap dengan kami kerana tidak melayani permintaannya. Untuk  'menyejukkannya', suami terpaksa membawa dia ke pejabatnya pada satu hujung minggu agar dia boleh menggunakan komputer pejabat sambil suami buat kerja pejabatnya yang tidak pernah habis.

Apabila ditanya nak buat  apa melayari internet, mungkin ada kerja sekolah atau lain-lain.  " Saja!" , jawabnya ringkas. Melihatkan keadaannya sepanjang tidak boleh 'berinternet' itu saya berkata -kata dalam hati, "Teruknya budak ini, macam orang ketagih!" . Itulah kesannya internet pada generasi anak-anak ini. Anak saya baru berumur 11 tahun pada masa itu, tetapi dia telah diperkenalkan kepada komputer sejak kecil lagi dan mengenali dunia internet pula sejak berumur 5 tahun. Tambahan pula dia mula menjejak kaki ke sekolah semasa di UK, dan di sana penggunaan komputer serta internet sangat meluas di sekolah-sekolah.

Apa-apa juga dalam kehidupan ini jika dibuat secara berlebihan akan membahayakan diri, memberi kesan yang negatif dan tidak produktif.

Lihatlah pada hadis-hadis Nabi yang memesan kepada kita supaya bersikap sederhana dalam urusan hidup kita.

“Orang yang mencapai kejayaannya ialah orang yang bertindak di atas prinsip Islam dan hidup secara sederhana. (HR. Ahmad Tirmidzi, Ibnu Majah, dikutip oleh mishkat, Edisi Urdu, Opcit Vol II, hal 245, No. 4934)

“Barang yang sedikit tetapi cukup (untuk memenuhi keperluan hidup) adalah lebih baik daripada banyak (tetapi menjadikan mereka lupa diri) dan menyesatkanya (dari jalan hidup yang sederhana). (Abu Naeem, Dikutip oleh Mishkat, Opcit. Vol II, hal. 348, No. 4962).





Thursday, 23 April 2009

Seloka: Remaja Hanya SE"X"



Ramai sekali orang melatah,
Enaknya remaja semua dilapah,
Membujur lalu melintang patah,
Aku kini tualah sudah.


Janganlah kalian tersalah anggap,
Akan usia dan badan tegap,
Hingga bercakap tergagap-gagap,
Angkuh dan ego tak boleh cakap.

Namun remaja cuba teliti,
Yang mana betul lagi bererti,
Antara nafsu dan ikut hati,
Semuanya palsu menyesal nanti.

Ego kita jangan turuti,
Kalau diturut kesallah nanti,
Allah dah kurnia “aqal dan hati”,
Lekaslah guna sebelum mati.

Ingatlah Allah dan juga Nabi,
Remaja bukan hanya sekali,
Esok di akhirat sekali lagi,
Maka segeralah cuba insafi.

Apakah remaja untuk di tiau?,
Jadi samseng dan kutu rayau,
Atau lepak tegur tak hirau,
Hingga negara pun kacau bilau!.

Akibat khayal makan pil tidur,
Nayalah diri kerana terlanjur,
Yang tahu hanya untuk berhibur,
Akhirnya tertidur di atas kubur,

Sibuk kenapa gila nak cuba,
Entah kenapa nasihat tak guna,
Kalau dadah memangnya tuba,
Akhirnya hidup merana jua.

Lalang dan semak tempat sembunyi
Ingin nikmati gam yang dibeli,
Ramailah hancur dan hilang budi,
Emak dan ayah tak dipeduli.

Malam dan siang tiada bezanya,
Anak derhaka entah di mana,
Jangan cuba hendak ditanya,
Ayah dan ibu pun ditengkingnya.

Hancurlah sudah hati siibu,
Ayahpun bingung hati berbuku,
Namun sianak berhati batu,
Yang dibuat apa dimahu.

Agaknya ini salah siapa?
Salah ibukah yang mengandungnya
Entah ayah yang manjakannya?
Kerana terlanjur begini jadinya?

Atau kerajaan yang memerintah?
Longgok hiburan untuk diratah,
Itu sebabnya remaja melatah,
Ramai terkorban hatinya patah.

Entahlah siapa hendak dituding,
Melihat semua menambah runsing,
Akibat gejala sosial meruncing,
Jelasnya dirilah termakan pancing.

Apalah gunanya tuding menuding,
Hanya menambah fikiran pusing,
Ada baiknya bawa berunding,
Nak mengatasi ikhlas yang penting.

Yang diperdebat hanya remaja!,
Apakah yang lain tak buat dosa?,
Saham mereka tidak dikira?,
Eloknya semua mesti disita.

Kalau dikira apa kurangnya,
Angkara mereka yang dah dewasa,
Lihatlah bukti dimedia massa,
Ironisnya haruan makan anaknya.

Remaja janganlah nak naik marah,
Eloklah terima berhati fasrah,
Memfokus kalian tidaklah salah,
Agaknya di situlah punca masalah.

Jelasnya semua dah serba salah,
Akibat melanggar perintah Allah,
Hadis dan Quran letak di sebelah,
Akhirnya negara ditimpa masalah.

Nak selesaikan segala masalah,
Yakinlah agama dah tunjuk arah,
Ayuh rujuklah segera kitabullah,
Selesaikan masalah usah berbalah.

Eloklah diteropong ke dalam diri,
Kuman dan virus dah serang hati,
Ambillah ubat dengan teliti,
Lekaslah rawat sebelum mati.

Ingatlah sekelian para remaja,
Remaja bukan sekali saja,
Esok di akhirat fikirkan juga,
Mahukah menjadi ahli neraka?

Andainya tidak segeralah taubat,
Janganlah hanya asyik tau buat,
Ayuh, segeralah mencari ubat,
Hampiri masjid buatlah ibadat.

Ayuhlah segera berbuat bakti,
Nak buat apa nanti menanti,
Yang degil biarkan di atas titi,
Andai terjatuh menyesal nanti.

Sayangilah diri dan keluarga,
Eloklah akhlak sentiasa dijaga,
Kelak menjadi penghuni syurga,
Allah dah janji jangan curiga.

LilLahi Ta’alalah amalan kita,
Iltizam mengamal ajaran agama,
Ramaikan masjid kita bersama,
Enak bersama ‘alim ulama.

Marilah bersihkan jiwa dan raga,
Ajaran agama sentiasa dijaga,
Janganlah malu mulalah segera,
Amalan kita bawa ke syurga.

Hati tak usah memikir cerca,
Amalan baik pemberat neraca,
Namun pelajaran teruslah baca,
Yang berjaya ceria di depan kaca.

Ayuhlah perjuangkan segala cita,
Semua menyokong tanpa cerita,
Elaklah dahulu ingin bercinta,
Kelak merana lain pula cerita.

Apa diburu sicantik jelita,
Lepas ijazah lainlah cerita,
Impian semua akan tercipta,
Rajinlah usaha mencapai cita.

Emak dan ayah tentu gembira,
Melihat anak menurut kata,
Akan dikabul segala pinta,
Jangan persia harapan mereka.

Akhirkata inilah sahaja,
Berpisah sementara menyuci jiwa,
Yang membaca diharap ceria,
Esok lusa bertemu jua.

Sekian terima(lah) kasih)

Azhari(s)

Telah dihasilkan
pada: 30 Ogos 2003.

Petikan dari: December 12, 2007 ambuyatelbinangkit


Tuesday, 7 April 2009

...hanya kerana sebiji epal!




Cari Pasangan

Mari-marilah
Dengarlah ini kisah silam oh kawan
Sangatlah berguna
Moga hidup aman bahagia

Di malam pertama jumpa mertua
Tersintak si jejaka di beritakan
Isterinya tidak sempurna rupa
Anggota zahirnya lumpuh semua
Tiada upaya mengurus diri


Terkejut si jejaka penuh persoalan di hatinya
Mungkinkah sudah jodoh itulah isterinya
Ibanya rasa hati
Namun tetap redha pada takdir



Asalkan punya iman itulah paling penting
Saat-sata berjumpa
Terpesona memandang
Benarkah isterinya Menawan sungguh cantik


Reff :
Cari-cari... carilah
Pasangan hidup betul-betul oh kawan
Bahagia berseri
Rumah tangga akan harmoni


Terhurai dijawablah oleh mertua
Zahirnya tak sempurna kiasan saja
Memberi makna sucinya diri
Wanita sholehah terpelihara


Terharu si jejaka tunduk bersyukur
Jangan mudah percaya harta pangkat dan rupa
Indahnya di mata berawaslah
Rasul sudah bersabda insan punya agama
Akhlaknya mulia fahamilah


Pertama kali saya mendengar lirik lagu nasyid  di atas, hati saya tertanya-tanya apakah cerita sebenarnya di sebalik lirik lagu ini. Lagu ini dinyanyikan oleh kumpulan Rabbani.

Kebetulan baru-baru ini saya terjumpa cerita kisah seorang ulamak yang hampir serupa seperti di atas dan saya yakin ia adalah kisah silam yang dimaksudkan.

Ia adalah kisah seorang  pemuda yang bernama Tsabit iaitu bapa kepada Imam besar Abu Hanifah. Dalam kisah  ini Tsabit telah diuji dan "diperangkap" oleh pemilik kebun epal untuk berkahwin dengan anak perempuannya. Peristiwa ini semuanya bermula dari hanya sebiji epal yang dijumpai oleh Tsabit ketika dia begitu lapar, lalu terus memakannya tanpa meminta keizinan dari pemiliknya.

Mesej yang ingin disampaikan sangatlah besar dari sudut kualiti seorang insan.

Teruskanlah membaca ceritanya agar ia menjadi iktibar bagi kita yang masih hidup.

Friday, 27 March 2009

DARI MANA, KE MANA DAN UNTUK APA?



ksppjanak
Afnan (anak saya) and Gang:
peoplepeople1people2

Tahun 2008 - asyik bermain video game di mana saja dia berada.

Tahun 2020 -  apakah pula hobinya nanti?

Tahun  2100 - di mana agaknya dia berada, di alam ghaib atau masih di alam nyata?


3 soalan yang perlu ditanya oleh setiap insan yang bergelar manusia:

1. Dari mana saya datang?

2. Ke manakah akhirnya akan saya pergi?

3. Untuk apakah saya hidup di atas bumi ini?

Jikalau ketiga-tiga persoalan ini mampu dijawab oleh anda maka dengan sendirinya anda akan dapat melihat dengan jelas hala tuju dan jalan yang perlu diambil dalam kita menjalani kehidupan di dunia yang fana ini.

smiling-monkey1Asal Usul Manusia

Benarkah manusia berasal dari kera? Mengikut teori Darwinisme, nenek-moyang manusia dan kera itu adalah sama. Dengan makna lain, pada satu masa dahulu moyang kita adalah seekor kera dan lama kelamaan melalui proses evolusi kera itu bertukar menjadi manusia hari ini. MasyaAllah! Ini satu andaian yang amat jelek. Tidak tergamak saya menggolongkan nenek- moyang saya sebagai kera.

Darwinisme bersandar pada prasangka dan propaganda sahaja, bukan pada penemuan ilmiah. Bukti terakhir yang meruntuhkan pernyataan teori evolusi tentang asal usul manusia adalah fosil baru Sahelantrophus tchadensis yang digali di kota Chad, Afrika Tengah pada musim panas 2002. Fosil ini seolah-olah ‘meletakkan kucing di antara merpati’ bagi dunia Darwinisme. Dalam sebuah artikel yang memberitakan penemuan ini, jurnal terkemuka Nature mengakui bahawa "Tengkorak yang baru ditemui boleh menenggelamkan gagasan kita selama ini tentang evolusi manusia."

Kenyataan  ini dibuat kerana meskipun fosil yang dibicarakan berumur 7 juta tahun, ia memiliki struktur yang lebih "mirip-manusia" (menurut kriteria yang selama ini digunakan evolusionis) dibandingkan dengan spesis kera Australopithecus berumur 5 juta tahun yang dianggap sebagai "nenek- moyang tertua manusia." Ini menunjukkan bahawa hubungan evolusi yang dibina antara spesis kera dan manusia yang didasarkan pada kriteria "kemiripan dengan manusia" musnah, satu hubungan yang sangat subjektif dan penuh perkiraan, dan adalah rekaan belaka.

Manusia Piltdown adalah satu lagi  teori rekaan kumpulan Darwinisme.

.

tengkorak

Selama 40 tahun, manusia Piltdown diterima sebagai petunjuk terbesar bagi evolusi manusia. Para pakar fosil evolusionis menyatakan telah menemukan banyak ciri peralihan pada tengkorak ini. Tidak berapa lama kemudian diketahui bahawa fosil itu sebuah pemalsuan.

Dalam analisa teliti oleh Joseph Weiner, pemalsuan ini diungkap ke depan umum pada tahun 1953.

Tengkorak tersebut adalah milik manusia berumur 500 tahun, dan tulang rahangnya berasal dari kera yang baru saja mati! Giginya telah disusun secara khusus dalam susunan tertentu dan ditambahkan pada rahang tersebut, dan permukaan geraham telah dihaluskan supaya menyerupai geraham manusia. Kemudian semua potongan ini diwarnai dengan potasium dikromat untuk memberi kesan tua pada mereka. Warna ini mulai menghilang ketika dimasukkan ke dalam larutan asam.

Islam menolak  sama sekali teori evolusi Darwinisme ini. Manusia juga tidak wujud dengan sendirinya seperti yang dicanangkan oleh kumpulan "Naturalis". Siapakah yang mencipta manusia? Namun yang pasti manusia tidak mencipta dirinya sendiri. Dalam Al-Quran banyak ayat-ayat yang menyebut tentang kejadian manusia yang menjadi dalil bahawa Allahlah pencipta alam ini dan isi kandungannya termasuk manusia.

Firman Allah SWT dalam surah Al-A'raf  ayat 11 yang bermaksud:

" Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu (Adam), lalu Kami bentuk tubuhmu, kemudian Kami katakan kepada para malaikat: "Bersujudlah kamu kepada Adam"; maka mereka pun bersujud kecuali iblis. Dia tidak termasuk mereka yang bersujud."

Asal manusia adalah daripada Adam dan Hawa. Allah telah mencipta Hawa dari tulang rusuk Adam sepertimana yang disebut dalam Al-Quran surah An-Nisaa' ayat 1 yang bermaksud:

" Hai sekelian manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu  yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu, dan daripadanya Allah  menciptakan isterinya; dan daripada keduanya Allah memperkembang biakkan laki-laki dan perempuan yang banyak..."

Tujuan Hidup dalam Islam

Kenapa kita hidup - satu soalan yang sering kali diajukan oleh manusia kepada diri mereka sendiri ketika bersendirian. Sering kali juga kita dengar manusia bertanya sesama sendiri dua persoalan:

1. Adakah kita makan untuk hidup?

2. Atau, adakah kita hidup untuk makan?

Persoalan ini dijawab dengan jelas dalam Al- Quran, surah Muhammad ayat 12 yang bermaksud,

"Dan (sebaliknya) orang yang kafir menikmati kesenangan di dunia serta mereka makan dan minum sebagaimana binatang-binatang ternak makan dan minum, sedang nerakalah menjadi tempat tinggal mereka."

Selagi manusia tidak mengenal diri mereka sendiri, mereka tidak akan menemui jawapan kepada persoalan itu. Sebagai seorang Islam kita kena faham bahawa manusia dicipta oleh Allah SWT dengan fitrah Islam. Apa yang dimaksudkan di sini ialah setiap perjalanan anggota tubuh badan manusia adalah menurut apa yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Dia tidak bernafas dan tidak merasakan hajatnya akan air, makanan, tidur dan panas  melainkan mengikut undang-undang tabi'i , yakni penentuan Allah SWT. Ini berlaku kepada sesiapa jua pun, tidak kira yang beragama Islam ataupun sebaliknya.

Apabila Allah SWT mencipta manusia, kita juga dibekalkan dengan akal dan fikiran. Berbeza dengan binatang di mana  ianya hanya diberi otak tanpa akal. Oleh kerana itu manusia tidak boleh makan dan minum serta menjalani aktiviti kehidupan yang lain sebagaimana seekor binatang. Dengan akal fikiran ini juga manusia diberi kebebasan untuk memilih cara kehidupannya. Namun begitu Allah SWT tidaklah membiarkan manusia membuat pilihan tanpa ada pedoman dan bimbingan.

Allah SWT berfirman dalam surah Al- Baqarah ayat 38 yang bermaksud,

"Kami berfirman: 'Turunlah kamu semua dari syurga itu! Kemudian jika datang petunjuk-Ku kepadamu, maka barangsiapa yang mengikuti petunjuk-Ku, nescaya tidak ada kekhuatiran ke atas mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati' " .

Allah SWT mengutus Ar-Rasul SAW sebagai pembimbing manusia berpandukan Al-Quran Al- Karim.

Terpulanglah kepada manusia itu sendiri samada hendak menerima cara hidup yang ditunjuki Allah SWT melalui Al-Quran dan As- Sunnah ataupun menolaknya sama sekali dan menciptakan satu susunan kehidupan sendiri mengikut tempo kehendak hawa nafsunya sendiri.

Walau bagaimanapun dalam Islam, hidup ini mempunyai tujuan sebagaimana yang disebut dalam Al- Quran surah Adz-Dzariat ayat 45-58 yang bermaksud,

"Dan Aku tidak jadikan jin dan manusia melainkan supaya menyembah Aku. Aku tidak kehendaki suatu pemberian apapun dari mereka; dan Aku tidak kehendaki mereka memberi makan kepada-Ku; Sesungguhnya Allah, Dialah Pemberi Rezeki, Yang mempunyai kekuasaan, Yang sangat teguh."

tawaf1Menyembah Allah SWT itulah tujuan hidup. Menyembah Allah SWT bererti memusatkan penyembahan kepada Allah SWT semata-mata.  Apa yang dimaksudkan di sini ialah manusia perlu menjalani kehidupan hariannya samada dalam aspek fizikal  atau rohani, individu maupun bermasyarakat, sesuai dengan kehendak Allah. Dalam ertikata lain , di setiap kehidupan seorang hamba Allah itu, baik yang berupa "ibadah" terhadap Ilahi atau yang berupa"mu'amalah" ( amal perbuatan sesama manusia ), semua itu dilakukan dalam rangka penyembahan kepada Allah SWT.

Semuanya dilakukan dengan niat mencari keredhaan Allah SWT semata-mata sepertimana firman Allah SWT dalam surah Al-Lail ayat 20-21 yang bermaksud,

"Kerana hendak mencari keridhaan Tuhannya Yang Maha Tinggi; dan Tuhannya yang ridha kepadanya."


Kematian dan Peristiwa Selepasnya
firaun
Kenapa kita mati- dan apakah yang menantikan kita selepas kematian? Inilah persoalan penting dalam menentukan hala tuju kehidupan manusia. Manusia merasakan seolah-olah seperti baru kelmarin zaman kanak-kanaknya, dan hari ini dia telah menjadi seorang lelaki atau perempuan dewasa. Besok, dia akan mati dan berpisah dengan isteri, anak-cucu, sahabat, harta, pangkat dan kuasanya. Tidak ada seorang pun yang dapat menghalangnya daripada berpisah dengan kehidupan ini.

Paling lama manusia hidup di dunia ini pun selama 100 tahun dan selepas itu dia akan berada di alam ghaib (mati) untuk kali kedua sebagaimana 100 tahun sebelumnya dia juga berada di alam ghaib (tidak wujud di dunia). Apakah yang menanti manusia selepas kematiannya? Semua perkara tersebut tidak mungkin diketahui melainkan melalui Penciptanya yang menghidupkannya, mematikannya, menghantarnya ke dunia dan mengeluarkannya dari situ. Kesudahan hidup manusia tidak akan diketahui jika Allah Taala tidak memberi hidayah-Nya kepada kita.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Jumuah ayat 8 yang bermaksud,

"Katakanlah (wahai Muhammad): ' Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, ia tetap akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah  yang maha mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia memberitahu  kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya).' "

Menyembah Allah SWT bukan bererti meninggalkan hidup duniawi. Malah mertabat manusia di dunia adalah "khalifatun fil ardh", yakni khalifah di dunia ini.

Maksud dari Al-Quran surah Al-Qasyasy:77

"Dan carilah dalam (kurnia) yang Allah beri kepada kamu itu (kejayaan) negeri akhirat, tetapi janganlah engkau lupakan bahagianmu dari dunia ini; dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepada kamu, dan janganlah engkau membuat bencana di bumi ini kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada  orang-orang  yang membuat bencana."

Walau bagaimanapun nikmat kehidupan duniawi bukanlah tujuan hidup ini.

Al-Quran  surah Al-Angkabut ayat 64 mengatakan, yang bermaksud,

" Dan hidup di atas dunia ini, tidak lain melainkan gurau dan permainan; tetapi sesungguhnya hidup akhirat itulah hidup sebenar hidup, kalau mereka mengetahui."

Jadi hasil-hasil dari kegiatan di bumi ini bukanlah tujuan yang hakiki. Ianya hanyalah ibarat tanah tempat kita bercucuk tanam dan hasilnya dituai kemudian hari untuk dijadikan bekalan di akhirat nanti . . . . . . menuju ke kehidupan yang sebenar-benarnya, iaitu kehidupan akhirat.

Hidup "immaterial" adalah kelanjutan dari hidup "material" ini; hidup yang puncak kebahagiaannya terletak dalam "pertemuan" dengan Allah Azza wa Jalla.