Tuesday, 19 January 2010

Syubhahkah menyertai Facebook?

Perkataan syubhah itu sendiri berasal daripada perkataan bahasa Arab yang bererti samar iaitu tidak jelas. Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya Halal dan Haram dalam Islam mendefinasikan perkara syubhah ini sebagai suatu perenggan di tengah-tengah halal( yang terang) dan haram (yang jelas), yang masih samar-samar dan mengelirukan manusia, yakni masih samar-samar samada ia halal ataupun haram.

Beliau menjelaskan cara yang paling afdal ialah dengan meninggalkan perkara-perkara yang syubhah ini bagi mengelakkan diri daripada terjerumus kepada perkara-perkara yang memang nyata haramnya. Ini termasuk dalam kaedah saddul-zara'i iaitu menutup pintu-pintu kerosakan.

Dalam perkara ini, Rasulullah SAW. telah bersabda yang bermaksud:

"Yang halal itu sudah jelas, dan yang haram pun sudah jelas. Dan di antara kedua-duanya itu ada beberapa perkara yang masih samar-samar (syubhah).

(riwayat Imam Bukhari, Muslim dan Tirmizi)

ULASAN Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

Soalan:

Ustaz, syubhahkah menyertai Facebook? Saya terbaca artikel yang menyatakan pemiliknya, Mark Zucherberg menyumbangkan dana melalui penggunaan Facebook ini dari seluruh dunia kepada bangsanya, Yahudi. Mohon penjelasan ustaz?

Jawapan:

Soalan ini terlalu kerap dilontar kepada saya dan begitu banyak juga ditulis oleh pelbagai individu di forum juga blog. Dalam menentukan keputusan dan hukum menyertai Facebook, menurut pendapat saya, ada beberapa isu yang perlu diperhati:

1. Bolehkah menggunakan produk ciptaan Yahudi? Kesimpulannya, dibenarkan untuk umat Islam membeli, menjual, mengguna pakai produk ciptaan bukan Islam termasuk Yahudi selagi mana ia dalam ruang lingkup yang halal. Nabi Muhammad SAW juga diriwayatkan dalam hadis sahih berurusan dan membuat transaksi jual beli juga cagaran dengan seorang Yahudi iaitu:

“Sesungguhnya Nabi SAW membeli makanan daripada seorang Yahudi dengan pembayaran secara bertangguh, dan mencagarkan baju besi baginda.”

( Riwayat al-Bukhari, no 2326, 2/841).


2. Apa maksud penyoal dengan ayat 'menyumbang kepada bangsa Yahudi'? Jual beli Muslim dengan seorang Yahudi hingga memberikan keuntungan kewangan kepada dirinya tidak bermasalah sama sekali di sisi Islam, malah Rasulullah SAW dan sahabat banyak yang berjual beli dengan Yahudi di Madinah. Cuma persoalannya adakah ia bermaksud menyumbang kepada keganasan Yahudi Zionis? Sejauh mana kebenaran dakwaan itu? Adakah sebarang bukti jelas atau hanya bersandarkan kepada latar belakang peribadi si pengasas?

3. Adakah penyaluran dana kepada individu Yahudi atau khas ditujukan kepada proses penjajahan tanah Palestin? Begini, jika ternyata daripada sumber yang sahih, jelas lagi pasti, sesuatu transaksi jual beli kita memberikan keuntungan kepada organisasi Yahudi yang hasil pendapatannya digunakan untuk proses penjajahan haram, keganasan dan serangan ke atas umat Islam, barulah hukum HARUS berubah menjadi HARAM menurut sepakat ulama. Dalam konteks Facebook, ia masih kekal tidak jelas kerana hampir semua penulisan yang membantah Facebook tidak menyertakan bukti jelas berkaitan hal itu. Semuanya membuat andaian itu dan ini sedangkan andaian semata-mata tidak boleh mengubah hukum asal keharusan kepada haram. Ia sekadar mengajak kita untuk berhati-hati dan peka. Malah majoriti pengguna Facebook tidak melakukan sebarang transaksi kewangan dengan syarikat itu kecuali yang menyertai skim ditawarkan (ini memerlukan perbincangan berasingan).

Jika ada pula yang mengarahkan saya membuat kajian dan mencari bukti itu sebelum memberi pandangan berkenaan status hukum, boleh saya katakan, kajian sudah dibuat dan kami gagal menemui bukti untuk menyokong andaian pihak yang membuat andaian. Jika dikatakan: “Bukti bertulis tentulah dirahsiakan oleh pengurusan Facebook dan mereka memberikan sumbangan secara senyap,” maka jawapannya, Islam tidak memberatkan kita untuk membuat andaian dalam hal seumpama itu. Jika andaian sedemikian masih ingin digunakan, kelak ia mengakibatkan kesukaran berat (mashaqqah) buat seluruh umat Islam pada banyak perkara juga aktiviti lain.

Ini kerana, larangan dan andaian juga akan terpakai buat semua penjual bukan Islam iaitu yang beragama Hindu, Kristian, Buddha dan sebagainya. Penjual terbabit juga boleh diandaikan menyumbang kepada gerakan melawan Islam secara senyap, akhirnya, kita terperangkap dengan kekerasan fatwa kita sendiri hingga bermusuh dengan semua tanpa bukti jelas. Oleh itu, selagi tidak disertakan dan tidak mampu dihadirkan bukti bertulis, selagi itulah hukumnya adalah HARUS untuk berjual beli dengan penjual atau syarikat milik Yahudi. Jika berjual beli pun dibenarkan, apatah lagi sekadar membuka akaun Facebook. Cuma mungkin keharusan berurusan dengan barangan Yahudi, boleh menjadi makruh atau syubhah di ketika wujudnya peperangan dan serangan ke atas umat Islam. Ini memerlukan penelitian satu persatu.

4. Hak peribadi pengguna Facebook dijajah? Ini mungkin ada benarnya, selepas saya menghabiskan bacaan polisi hak peribadi yang terkandung di dalam web Facebook, ia memberi gambaran bahawa gambar, maklumat dan segala yang terkandung di dalam Facebook kita boleh wujud juga di akaun Facebook orang lain yang dikongsi dan saya yakin pihak Facebook juga mempunyai simpanan data terbabit. Walaupun begitu, ia sekali lagi tidak cukup kuat untuk sampai menjadikan penggunaan Facebook sebagai haram. Apa yang perlu adalah kawalan dan had.

KESIMPULAN

Saya tidak berhasrat untuk menyenaraikan satu persatu baik dan buruk penggunaan Facebook, cuma apa yang ingin saya nyatakan sebagai kesimpulan adalah seperti berikut:

1. Hukum membuka akaun dan menggunakan Facebook adalah HARUS selagi tidak terbukti ia menggunakan pengaruh dan keuntungannya untuk menyerang Islam atas nama Facebook sama ada melalui dana kepada Yahudi, Amerika Syarikat dan lainnya.

2. Bagi mereka yang masih tidak selesa dengan latar belakang pengasas dan syarikat Facebook, mereka dinasihatkan TIDAK MEMBUKA DAN MENYERTAI FACEBOOK. Mereka boleh terus memberi nasihat kepada pengguna Facebook supaya sentiasa berhati-hati namun tidak boleh dengan sewenangnya menuduh pengguna facebook melakukan perkara haram.

3. Bagi mereka yang ingin mengambil sikap lebih berhati-hati mereka disarankan:

a. Memanipulasi akaun Facebook untuk manfaat Islam melebihi kepentingan peribadi. Ruang yang ada wajar digunakan untuk mempromosi kefahaman Islam melalui tulisan, video, audio dan sebagainya.

b. Hadkan dan kurangkan perbincangan soal remeh temeh peribadi yang membuang masa diri dan orang lain.

c. Tidak sehingga berkongsi terlalu banyak gambar peribadi (khususnya bagi wanita) sejak zaman kanak-kanak tanpa had kerana ia bakal membawa mudarat berbanding manfaat, kerana ia akan kekal di Facebook orang yang dikongsi dan juga syarikat facebook itu sendiri.

d. Tidak memasukkan perincian peribadi yang sensitif khususnya seperti akaun bank, taraf kesihatan dan sebagainya. Cukuplah sekadar menyertakan nama, tarikh lahir dan pendidikan.

e. Tidak terbabit dengan permainan dan aplikasi yang dijangka bercanggah dengan Islam seperti kuiz ramalan nasib. Sama ada atas dasar 'main-main' atau sebagainya.

f. Tidak mempercayai tilik moden seperti rahsia tarikh kelahiran dan sepertinya yang terkandung dalam aplikasi percuma Facebook. Sama ada atas dasar 'main-main' atau sebagainya.

g- Menyedari bahawa maklumat kita di Facebook boleh menjadi pangkalan data pihak asing untuk memantau kehidupan dan maklumat peribadi kita jika tidak dikawal. Pangkalan data sebegini sebenarnya amat bernilai dan sukar ada satu organisasi di dunia ini yang mampu menyimpan maklumat manusia sebagaimana Facebook. Hatta, parti politik masing-masing pun tidak mempunyai maklumat ahlinya yang sebegitu terkini sebagaimana Facebook. Justeru, maklumat sebegini amat banyak gunanya untuk sebarang tujuan kejahatan dan ketamakan. Jika itu semua dapat dijaga dan disedari, saya kira mengguna Facebook adalah kekal dalam hukum HARUS atau DIBENARKAN, malah jika ia lebih banyak digunakan untuk kemaslahatan Islam, ia DIGALAKKAN. Jika terdapat unsur syubhah sekalipun, ia diatasi oleh manfaat yang disebarkan melalui Facebook itu.

Coretan dari koleksi emel


Saturday, 9 January 2010

Mesir oh Mesir - Pembelot Gaza

Mesir sebuah negeri yang penuh dengan sejarah Islam dan kisah para anbiya. Pelancong berpusu-pusu ke negara itu untuk melihat kesan-kesan sejarah yang ditinggalkan. Kehebatannya hanya bergantung pada kisah silam. Namun pada hari ini tindakan-tindakan yang diambil hanya  menjadikannya sebuah negara yang dicemuh oleh sebilangan penduduk dunia ..... baik yang kafir maupun yang Islam.

Lihatlah tindakan yang diambil terhadap konvoi bantuan ke Gaza yang sepatutnya tiba pada hujung tahun 2009 tetapi disebabkan kerenah negeri Mesir, ia hanya tiba tengah malam semalam. Di bawah ini adalah surat dari VPM (Viva Palestina Malaysia):

Dear all,

The convoy of hope from London to Gaza has been attacked. Members injured & hospitalised, also arrested, including a Malaysian student. This was because the convoy members protested against the Egyptian government's refusal to allow some 50 trucks into Gaza. Bear in mind that the convoy complied with all of Egypt's demands before this.

I spoke to Mr George Galloway via telephone Wed, 6th Jan at 7.36 am (M'sian time) & he said there was "massive violence" by the Egyptian police. Stones were thrown, beatings, tear gas. Some members have been hospitalised & some arrested. Those arrested include a Malaysian student studying in the UK. Currently 10 Turkish MPs are negotiating with top Egyptian officials. Egypt has just proven to the world that there is indeed a siege on Gaza.

Viva Palestina Malaysia is very concerned for our fellow Malaysians & all the rest in the convoy. Malaysia has 9 vehicles carrying aid to the people of Gaza.

VPM will be handing over a memorandum to the Egyptian ambassador this afternoon expressing our outrage at this latest incident and demanding that the Egyptian government ensures the safety of the convoy and the quick delivery of badly needed aid.

VPM calls on all our friends to join us this afternoon when we hand over the memo and bring about a conclusion to this journey which began a month ago over thousands of miles.





Pihak Mesir telah melarang  konvoi memasuki  port Nuweiba untuk ke Rafah sebelum memasuki Gaza.



Mereka terpaksa berpatah balik ke Syria mencari jalan alternatif untuk sampai ke Rafah. Tindakan Mesir ini telah menjadikannya sekutu besar Israil dalam usahanya menceroboh Gaza dan menjadikan ia satu kawasan penjara yang terbesar di dunia.



Sunday, 3 January 2010

Kesibukan yang Melalaikan

Alhamdulillah, hari ini saya dapat menatap dan menulis dalam blog saya. Hampir dua bulan saya tidak  mempedulikannya dan sekali lagi saya gagal menulis sebarang artikel dalam bulan November. Jikalau tahun lepas disebabkan saya kehilangan laptop saya tetapi pada kali ini ianya adalah kerana gara-gara kesibukan mempersiapkan majlis perkahwinan anak lelaki saya pada tanggal 6 Disember baru-baru ini.

Alangkah indahnya jikalau kenduri majlis pernikahan itu dibuat secara kecil-kecilan sahaja. Tidaklah ia memenatkan dan menyukarkan persediaannya. Saya dan suami mengambil masa selama 2 minggu untuk  mengembalikan semula tenaga kami yang hilang disebabkan keletihan semasa persiapan dan mengendali  majlis itu. Suami saya terpaksa pergi bertugas ke KL hujung minggu berikutnya menyebabkan dia terus demam sekembali dari KL. Mungkin terlalu penat!

Kami hanya membuat satu majlis yang sederhana saja besarnya dan mudah dengan tujuan mengurangkan kos perbelanjaan dan juga  kerja-kerja persediaannya. Contohnya saya tidak menyediakan buah tangan pada tetamu dalam bentuk "goody bag"  atau "berkat" (nasi dan lauk bungkus) seperti kelazimannya di kawasan tempat tinggal kami, tetapi hanya sekadar sebiji "cup cake" dalam raga comel. Namun tindakan kami itu menjadi satu persoalan kepada rakan-rakan, jiran dan saudara-mara.


Sibuk! Itulah jawapan yang paling mudah untuk kita jadikan sebagai alasan mengelak dari menerima sebarang tugasan. Kesibukan hanyalah suatu yang "relative". Ada orang yang berada dalam situasi atau keadaan yang sama, tetapi yang seorang sibuk dan yang seorang lagi tidak. Saya ada menonton sebuah rancangan di TV yang cuba membersihkan rumah yang sangatlah kotor. Apabila ditanya tuannya mengapa dia membiarkan rumahnya dalam keadaan begiitu, dia kata, dia tiada masa membersihkannya sedangkan dia tidak bekerja di luar. Apabila ditanya apa yang dibuat sepanjang hari, katanya, dia menonton TV - program kegemarannya ditunjukkan satu lepas satu sehingga rasa tidak mahu berginjak dari tempat duduknya.

Memang benar sekali pendapat yang mengatakan kesibukan boleh melalaikan kita. Semua orang sibuk tetapi orang yang pandai menguruskan masanya dan tahu mengutamakan tanggungjawabnya , tidak akan menyedaripun kesibukannya itu. Kita jangan sesekali menjadikan sibuk itu sebagai jalan mudah mengelak dari sebarang tanggunjawab kita. Disebabkan sikap inilah ramai di kalangan masyarakat kita yang mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anak dan juga masyarakat setempat.

Kerja tertangguh kerana tidak bersungguh!

Selepas menulis bahagian artikel di atas di waktu pagi 30 Disember tahun lepas, saya menangguhnya untuk disambung pada waktu petang. Akhirnya saya tidak menyambung terus kerana sibuk dengan kerja-kerja rumah menyebabkan saya terlupa terus niat di hati. Akibatnya saya tidak berjaya menulis sebarang artikel di bulan Disember juga. Rasanya bukanlah terlalu sibuk sangat sampai tidak ada ruang untuk menyiap dan mengemas apa yang telah dicoret. Namun itulah hakikatnya keadaan  manusia jikalau tidak ada kesungguhan..............semua kerja tidak menjadi dan tidak siap.

Itulah sebabnya Islam menganjurkan supaya kita bersegera dalam beramal ...... jangan ditangguh-tangguh.
Hadis Nabi yang bermaksud:

Jabir r.a. berkata : Pada hari perang Uhud, ada seorang bertanya kepada Nabi s.a.w. : Bagaimana pendapat mu kalau saya terbunuh dalam perang ini? Jawab Nabi s.a.w. : Di surga.  Maka segera orang itu membuang beberapa biji kurma yang masih ada dalam tangannya dan sedang dimakan, kemudian dia maju berperang, sehingga terbunuh.          (Bukhari, Muslim)

Bersegeralah kamu mengerjakan amal-amal saleh sebelum datang fitnah-fitnah seperti gumpalan malam yang pekat, seseorang berpagi hari dalam keadaan mukmin, lalu di petang harinya menjadi kafir, dan di petang hari ia dalam keadaam mukmin, lalu di pagi harinya menjadi kafir; dia menjual agamanya dengan harta duniawi."

(Riwayat Muslim dan Turmudzi ).

"Bersegeralah kamu mengerjakan amal-amal (saleh) sebelum datang tujuh perkara, (iaitu) tiadalah yang kamu tunggu melainkan hanya kemiskinan yang kamu lupakan; kaya yang membuat kamu melampaui batas; penyakit yang merosak diri kamu; lupa yang membuat kamu seperti anak kecil; maut yang mendadak; datangnya Dajjal, dia adalah sejahat-jahat orang yang sedang kamu tunggu; atau datangnya kiamat, dan kiamat itu lebih dahsyat dan lebih pahit."                    
 ( Riwayat Turmudzi dan Hakim)



Thursday, 22 October 2009

Gempa Bumi Padang - Bala' atau Ujian?

Setiap musibah yang Allah timpakan kepada kita selalunya adalah sebagai peringatan atau setidak-tidaknya sebagai ujian sejauh manakah iman kita terhadap Allah yang Maha Esa.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

Alif laam miim. Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.” (Al-Ankabut: 1-3)

Kebesaran Allah itu kita boleh lihat di mana-mana saja dalam fenomena alam sejagat kerana alam ini (serta isi-isinya) adalah milik Allah yang Maha Besar. Dia berhak melakukan apa saja yang dikira wajar sebagai peringatan kepada  manusia yang semakin jauh meninggalkan hukum-hukum Allah, yang semakin angkuh dan terus menerus membuat kerosakan di atas mukabumi ini.

Al-Quran surah Ar-Rum ayat 41-42 mengatakan , yang bermaksud:

Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar). Katakanlah: “Adakan perjalanan di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang dahulu. Kebanyakan dari mereka itu adalah orang-orang yang mempersekutukan (Allah).”

Allah menggunakan fenomena alam untuk mengajak manusia supaya kembali mengesakan Allah ...... selalu memikir-mikirkan tentang kejadian langit dan bumi, siang dan malam, bulan dan bintang dan berbagai-bagai lagi ciptaan Allah yang tidak terhitung oleh manusia. Allah juga menggunakan fenomena alam sebagai peringatan kepada kita dalam bentuk azab ....... gempa bumi, ribut taufan, tanah runtuh, banjir, gunung berapi dan berbagai-bagai lagi cara Allah yang tersendiri.

Orang-orang yang beriman akan selalu mengaitkan malapetaka yang berlaku sebagai azab atau bala' daripada Allah SWT sepertimana yang selalu disebut dalam kalam Allah. Namun bagi mereka yang angkuh dan tidak percaya, akan hanya menganggapnya sebagai fenomena alam semulajadi.

kemusnahan jiwa dan harta sebagai tanda peringatan daripada Allah SWT
kemusnahan jiwa dan harta sebagai tanda peringatan daripada Allah SWT

Gempa bumi di Padang adalah satu contoh yang sangat menarik untuk dikaitkan dengan ayat-ayat  al Quran. Para pengkaji Al Quran telah menemui kaitan rapat antara ayat, surah dan masa berlaku gempa bumi.

Gempa bumi di Padang berlaku pada 30 September dan masanya adalah  seperti di bawah:

Gempa di Tasik berlaku pada pukul 15.04 (3.04 pm)

Cuba perhatikan dari al Quran surah 15 (al Hijr) ayat 4

وَمَآ أَهْلَكْنَا مِن قَرْيَةٍ إِلاَّ وَلَهَا كِتَـبٌ مَّعْلُومٌ

"Dan Kami tiada membinasakan sesuatu negeri pun, melainkan ada baginya ketentuan masa yang telah di"tetapkan."

Gempa di Padang pula berlaku pada pukul 17.16 (5.16 pm)

Kita lihat lagi al Quran serta maknanya surah 17 (al Israa') ayat 16

وَإِذَآ أَرَدْنَآ أَن نُّهْلِكَ قَرْيَةً أَمَرْنَا مُتْرَفِيهَا فَفَسَقُواْ فِيهَا فَحَقَّ عَلَيْهَا الْقَوْلُ فَدَمَّرْنَاهَا تَدْمِيرًا

"Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah) tetapi mereka melakukan kedurhakaan dalam negeri itu, maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya."

Diikuti dengan gempa susulan pada pukul 17.58  (5.58 pm)

Mari kita terus mentadabur surah 17 ini ayat 58 pula di mana  Allah memberi amaran bahawa setiap kaum yang ingkar pasti mendapat hukuman.

وَإِن مِّن قَرْيَةٍ إِلاَّ نَحْنُ مُهْلِكُوهَا قَبْلَ يَوْمِ الْقِيَـمَةِ أَوْ مُعَذِّبُوهَا عَذَابًا شَدِيدًا كَانَ ذلِك فِى الْكِتَـبِ

مَسْطُورًا

"Tak ada suatu negeri pun (yang durhaka penduduknya), melainkan Kami membinasakannya sebelum hari kiamat atau Kami azab (penduduknya) dengan azab yang sangat keras. Yang demikian itu telah tertulis di dalam kitab(Lauh Mahfuzh)."

Gempa bumi di Jambi pula berlaku  pada 1 Oktober


Seterusnya gempa di Jambi yang berlaku pada pukul 8.52 am

Sekali lagi  kita cuba memahami peringatan Allah dalam surah 8 (al Anfal) ayat 52

كَدَأْبِ ءَالِ فِرْعَوْنَ وَالَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ كَفَرُواْ بِآيَـتِ اللَّهِ فَأَخَذَهُمُ اللَّهُ بِذُنُوبِهِمْ إِنَّ اللَّهَ قَوِىٌّ شَدِيدُ

الْعِقَابِ

"(keadaan mereka) serupa dengan keadaaan Firaun dan pengikut-pengikutnya serta orang-orang yang sebelumnya. Mereka mengingkari ayat Allah, maka Allah menyiksa mereka disebabkan dosa-dosanya.  Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Amat Keras siksaanNya.

2009103gempa padang2Apakah kita mampu untuk mengelak diri dari kemusnahan yang sedemikian apabila Allah telah menetapkannya?

Apa lagi yang boleh dibanggakan .... rumah mewah yang telah dibina sekian lama, kini telah roboh, anak-anak yang menawan hati, telah mati dihimpit runtuhan, suami dan isteri yang selama ini menjadi tempat bergantung dan mengadu, kini telah pergi untuk selamanya, sanak saudara, karib kerabat, semuanya sudah tidak ada lagi, semua sudah musnah. Begitulah hakikat dunia, tidak ada yang kekal padanya.

Namun bagi mereka yang sedar dan insaf akan kebesaran Ilahi,  azab yang dilalui tidaklah seberapa jika dibandingkan dengan keadaan di Hari Kiamat nanti. Firman Allah yang bermaksud:

"Hari kiamat. Apakah hari kiamat itu? Dan tahukah kamu apa hari kiamat itu?  Pada hari itu manusia seperti kupu-kupu  yang beterbangan. Dan gunung-gunung seperti bulu yang dihambur-hamburkan. Maka adapun orang yang berat timbangan kebaikannya. Maka dia berada dalam kehidupan yang memuaskan (senang). Dan adapun orang yang ringan timbangan kebaikannya. Maka tempat kembalinya adalah neraka Hawiyah. Dan tahukah kamu apakah neraka hawiyah itu? Yaitu api yang sangat panas."

(QS Al-Qari`ah[101] : 1- 11)

Dan ingatlah Allah akan sentiasa melihat kita. Dari masa ke semasa kita diberi peringatan agar tidak menyeleweng dari ajaranNya.


Saturday, 10 October 2009

Puasa Enam

Hari ini sudah 21 hari kita masuk  ke bulan Syawal. Di sana sini dalam kuliah al- Islam orang akan menanyakan tentang hukum bagaimana cara sebenar-benarnya menunaikan ibadat puasa enam di bulan ini .......... ada yang kata kena selesaikan puasa ganti yang wajib dahulu sebelum memulakan berpuasa enam ....... ada juga yang kata tidak perlu tetapi boleh dibuat serentak dengan meniatkan puasa wajib qadha terlebih dahulu sebelun niat berpuasa sunat Syawal .......  dan ada juga yang berpendapat boleh  puasa sunat Syawal sahaja, sementara puasa qadha boleh dibuat di kemudian hari, pada waktu bila-bila saja.

Dilema ini hanya berlaku bagi wanita sahaja. Bagi orang lelaki jikalau perlu menggantikan puasa wajib tidak ada yang berselisih pendapat. Puasa wajib mesti digantikan terlebih dahulu sebelum  berpuasa enam. Wanita diberikan kelonggaran berdasarkan  berbagai halangan kesihatan yang terpaksa mereka lalui dalam melaksanakan ibadah berpuasa. Namun bagi yang berkemampuan boleh saja melangsaikan yang wajib sebelum meneruskan yang sunat.

Diriwayatkan dari Abu Ayyub r.a.

Bahwasanya Rasulullah saw. bersabda: "Barangsiapa shaum(berpuasa) pada bulan Ramadan, kemudian diikuti dengan shaum (sunah) enam hari pada bulan Syawal, seolah-olah ia shaum sepanjang tahun.” (HR.Muslim).

Dari hadis ini tidaklah bermakna puasa enam hari itu mesti dilakukan berturut-turut, tetapi ianya boleh dilaksanakan enam hari di sepanjang bulan Syawal.

sigh

Bagi saya yang kurang berkemampuan saya memilih untuk melakukannya dengan berniat serentak, iaitu niat menkadhakan puasa Ramadhan dan diikuti niat untuk berpuasa sunat bulan Syawal. Jikalau saya ingin menunaikan yang wajib dahulu memang saya tidak berkemampuan di sudut kesihatan. Setiap tahun saya terpaksa menggantikan puasa lebih kurang seminggu. jika ditambah enam hari Syawal, bermakna saya kena berpuasa sebanyak 13 hari di bulan Syawal. Jumlah hari yang saya boleh berpuasa di bulan Syawal hanyalah lebih kurang 21 hari saja. Tolak lagi hari yang digunakan untuk berhari raya, tinggallah berbelas hari saja untuk menunaikan puasa yang sebanyak 13 hari (sekurang-kurangnya ..... kadang-kadang lebih) itu.

Saya perhatikan ada di kalangan masyarakat Malaysia yang sudah memulakan berpuasa enam pada hari yang kedua Hari Raya dan melakukannya berturut-turut. Mereka akan menolak sebarang undangan jamuan Hari Raya. Mereka juga tidak pergi menziarahi ahli keluarga yang lain kerana ingin menghabiskan puasa enam itu terlebih dahulu. Ini adalah amalan yang kurang tepat kerana kita digalakkan menerima undangan seperti yang disebut dalam hadis di bawah,

Dari Ibnu Umar r.a katanya:
Rasulullah s.a.w pernah bersabda:" Apabila seseorang daripada kamu dijemput ke majlis kenduri maka hendaklah kamu menghadirinya."
(Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2574,Bab Wajib Memenuhi Jemputan Orang Ke Majlis Kenduri)

Hari ini pun saya masih ada jemputan ke Majlis Hari Raya dan saya masih ada 1 hari lagi untuk menghabiskan puasa enam. Ianya tertangguh disebabkan masalah kesihatan. InsyaAllah saya akan menyambungnya esok untuk menggenapkan 6 hari ...... barulah puasa itu dikira sebagai "Puasa enam".

Bagi yang masih menjalankan ibadah puasa enam ....... selamat berpuasa! Bagi mereka yang masih belum .... selamat mencuba!