Tuesday, 20 January 2015

Jejak Aceh - 10 tahun Pasca Tsunami (Day 1)


Aceh adalah daratan yang paling dekat dengan pusat gempa bumi Lautan Hindi 2004. Setelah gempa, gelombang tsunami melanda sebahagian besar pesisir barat wilayah ini. Sekitar 170.000 orang mati atau hilang akibat bencana tersebut. Bencana ini juga mendorong termeterainya perjanjian damai antara pemerintah Republik Indonesia dan Gerakan Aceh Merdeka (GAM).

 Kini wilayah Aceh aman, tidak seperti keadaan sebelum tsunami yang sentiasa bergolak. Ianya seolah-olah  Allah mencabut satu nikmat tetapi diganti dengan nikmat baru yang lebih baik. Benar sekali Firman Allah yang bermaksud:

"Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan  Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan."  
                                                                                                          (surah Alam Nasyrah ayat 5-6)

Allah Ta'ala memberitahu bahawa bersama kesulitan itu terdapat kemudahan.
Ibnu Jarir meriwayatkan dari al-Hassan, sabda Rasulullah SAW,


Saya, suami serta 4 orang anak ke Aceh pada 2 Jun 2014 sempena cuti sekolah. Percutian ini telah dirancang sejak awal tahun 2014 kerana merebut peluang tambang murah yang ditawarkan oleh syarikat penerbangan Air Asia. Kebetulan tahun 2014 merupakan tahun yang ke sepuluh selepas peristiwa tsunami 2004..

Kami sangat teruja dengan lawatan ini kerana berpeluang melihat dengan lebih dekat kesan-kesan tsunami yang ditinggalkan. Semasa di Banda Aceh kami menginap di hotel Rumoh PMI ( Palang Merah Indonesia). Hotelnya selesa dengan harga yang berpatutan. Layanannya juga baik. Bayaran hotel termasuk menjemput dari airport ketika sampai dan juga menghantar ketika pulang. Ini sangat memudahkan urusan perjalanan kita. Sarapan pagi juga disediakan.

Sebenarnya kami tidak tahu bayaran hotel termasuk servis mengambil dan menghantar ke airport. Ketika kami keluar dari pintu Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Iskandar Muda, kami terus ternampak seseorang mengangkat pelekat mempamerkan nama suami. Rupa-rupanya pihak hotel telah menghantar salah seorang pekerjanya untuk menjemput kami. Namun kami sudah menempah kereta sewa berserta pemandunya sekali untuk menjemput kami di airport semasa di Malaysia lagi. Jadi pada hari itu ada dua orang yang menjemput kami.

Sultan Iskandar Muda International Airport, Banda Aceh
Ayuh kita berputar-putar di Banda Aceh!

Day 1- 2/6/14

Semasa berada di Banda Aceh kami menyewa sebuah kereta Innova bersama supirnya, Pak Iskandar dengan harga Rp 550,000 sehari (12 jam). Sebelum cek-in ke hotel kami meminta Pak Iskandar membawa kami pergi makan tengahari. Dia membawa kami ke sebuah restoran yang sering menjadi tumpuan para pelancong....Rumah Makan Specific Aceh, Bundaran Lambaro. Bil makan hari itu berjumlah Rp274,000. Supir kami ni suka makan sekali....jadi bertambahlah bajet kami!


Tidak perlu memesan lauk yang hendak dimakan. Semua jenis lauk yang ada di restoran akan diletak  atas meja. Memang penuhlah meja.
 Sentuh mana yang nak dimakan sahaja kerana itu yang akan dibayar.....yang tidak disentuh akan diambil balik. Inilah gaya menghidang di semua kedai makan mereka
Bil makan pertama di Aceh.....Rp274,000
Selepas makan barulah kami ke hotel Rumoh PMI untuk menghantar barang sebelum keluar semula meneruskan agenda lawatan keluarga.

Kereta sewa Innova serta supirnya
Lebih kurang jam 3.30 ptg kami ke Masjid Raya Baiturrahman untuk menunaikan solat Zohor. Kami hanya melakukan solat qasar tanpa jamak sepertimana biasa kerana supir kami ingin menunggu di situ sehingga masuknya waktu Asar.. Jadi kami pun mengambil keputusan untuk solat Asar berjemaah bersama warga Banda Aceh.

gambar google - Masjid Raya Baiturrahman sejurus selepas tsunami

Sebelum masuk masjid kami sempat bergambar di perkarangan masjid. Kawasan luar masjid ini dihias dengan lanskap yang menarik dan ia menjadi tempat rekreasi wargakota.

Masjid Raya Baiturrahman
Perkarangan masjid dijadikan tempat bersiar-siar wargakota
Masjid Raya Baiturrahman - sebuah masjid besar yang terletak di tengah-tengah kota Banda Aceh. Ia menjadi simbol penting agama dan kebudayaan orang Aceh, terutamanya kerana masjid ini terlepas daripada kemusnahan besar yang berlaku di Aceh semasa tsunami tahun 2004.
Masjid ini telah direka oleh seorang ahli seni bina Itali sewaktu dibawah pentadbiran kolonial Belanda, sebagai tanda perdamaian berikutan kemusnahan masjid lama oleh Belanda semasa berlakunya Perang Aceh. Pembinaan masjid bermula pada tahun 1879 dan selesai pada tahun 1881.

Rekabentuk kebanyakan masjid di Aceh berbeza sedikit dari Malaysia. Masjid-masjid di sini tiada pintu .... kelihatan seperti ruang terbuka. Ruang solat wanitanya juga terbuka. Hanya ada tirai yang membahagikan saf lelaki, dan saf wanita.

Di tepi masjid ini ada sebuah sekolah agama kanak-kanak. Ketika menunggu masuk waktu solat asar, keadaan dalam masjid sangat meriah dengan aksi anak-anak ini yang juga sedang menunggu untuk solat berjemaah. Kemeriahannya bagaikan suasana selepas solat Raya di Malaysia.

Jom masuk dalam masjid.....




Seronoknya beraksi dalam masjid
Meriahnya suasana dalam masjid
Bujang senang.....sempat 'take a nap'


Tepat jam 4.05 ptg azan Asar berkumandang. Selepas solat kami teruskan lawatan putar-putar Banda Aceh. Destinasi seterusnya adalah lawatan ke kapal PLTD.Apung1

PLTD Apung 1 is an electric generator ship in Banda AcehSumatra,Indonesia that has become a tourist attraction. The 2,600 ton vessel had been in the sea and was flung 2 to 3 km inland by the 2004 Indian Ocean earthquake and tsunami. It was owned by PLN, the local power generating company, and crashed upon two homes when it landed, killing those inside. Visitors can climb to the top of the ship.
This boat was given to Aceh during the Aceh conflict between the government and GAM (Gerakan Aceh Merdeka). In 2012-2013 this boat was renovated and now has 2 towers, a monument, a flying walk & jogging area and a fountain.
Kapal PLTD (Pembangkit Listrik Tenaga Diesel) Apung terletak di Desa Punge, Blancut, Banda Aceh. Sesuai namanya, kapal ini merupakan sumber tenaga letrik bagi wilayah Ulee Lheue – tempat kapal ini ditambatkan sebelum terjadinya tsunami. Kapal dengan panjang 63 meter ini mampu menghasilkan kuasaa sebesar 10,5 megawatt. Dengan luas mencapai 1.900 meter persegi dan berat 2.600 ton, tiada siapa yang menyangka kapal ini dapat bergerak hingga ke tengah kota Banda Aceh. Ia telah diseret bersama gelombang besar setinggi 9 meter bergeser ke daratan dan akhirnya terdampar di tengah-tengah kawasan penempatan, tidak jauh dari Museum Tsunami. Dari 11 orang awak dan beberapa penduduk yang berada di atas kapal ketika tsunami terjadi, hanya seorang yang terselamat. Kedudukan kapal yang begitu jauh dari tempat asalnya menunjukkan kedahsyatan kekuatan gelombang yang menimpa Serambi Makkah kala itu.

Kini kapal yang terdampar itu telah dijadikan sebagai salah satu monumen yang memperingati peristiwa yang dahsyat ini dan pada masa yang sama menjadi salah satu tempat menarik yang dikunjungi para pelancong dari dalam dan luar negara. Ada satu kisah menarik mengenai kapal ini yang diceritakan oleh penduduk setempat. Ketika kapal atau tongkang ini  terapung-apung mengikuti gelombang menuju ke kota, benda berat ini selalu bertukar arah apabila ia hampir melanggar masjid-masjid yang dilewatinya. Kata mereka,

"Kalau ditarik garis lurus dari Uleelhe ke Punge Blangcut, tongkang itu seharusnya menabrak Masjid Babuljannah di Kampung Punge. Tapi herannya, beberapa puluh meter sebelumnya, dia berbelok arah ke selatan, sehingga tak jadi menabrak masjid itu".

gambar Google

Lokasi ini menjadi tempat yang sangat popular di kalangan pelancong. Oleh kerana itu ia juga menjadi tumpuan penjaja-penjaja yang sangat mendesak agar pelancong membeli barangan jualan mereka. Kami telah 'dipaksa' dengan pujuk-rayu membeli sekeping cd pasal tsunami pada hari itu. Sehingga kini kami masih belum menonton cd berkenaan.

Sebaik melangkah masuk kami juga terus disapa oleh seseorang yang sebenarnya  seorang tourist guide. Tanpa memperkenalkan diri dan mendapat persetujuan, dia terus menjalankan tugasnya ....... terpinga-pinga kami cuba meneka siapa dia sebenarnya. Di akhir lawatan dia meminta upah atau .tip. Kami bagi sedikit kerana tidak meminta pun perkhidmatannya tetapi dia merengek untuk ditambah lagi. Mengikut ceritanya dia memerlukan duit yang banyak kerana anaknya kini terlantar di hospital kerana sakit yang kronik......same old trick! Kami tidak melayannya!



Tidak jauh dari kapal itu, dibina  monumen peringatan yang tertera tarikh dan waktu kejadian dari musibah yang juga menimpa beberapa negara selain Indonesia. Di sekeliling monumen, dibina dinding dengan relief menyerupai gelombang air bah.





8.55.......26 Disember 2004
Relief yang  menyerupai gelombang air
Jom naik kapal!





Big bos bersama bapak Fifwadi (tourist guide yang tidak diundang)

Selesai lawatan di sini, kami  pergi melawat sebuah lagi kapal yang terdampar tinggalan tsunami, Kapal Apung Lampulo. Kapal ini terletak tidak jauh dari pelabuhan perikanan, hanya sekitar 1 kilometer dari dermaga. atau tepatnya di jalan Tanjung, Kampung Lampulo, daerah Kuta Alam, Banda Aceh. Kapal Lampulo merupakan kapal nelayan yang sering digunakan oleh masyarakat Lampulo di Banda Aceh untuk  ke laut.

Ketika terjadinya bencana tsunami, salah sebuah kapal Lampulo milik nelayan ini terseret ke daratan sejauh sekitar 3 kilometer dan sampai akhirnya terdampar di atas bumbung rumah salah seorang penduduk. Sangat menghairankan, kapal seberat  65 ton dengan panjang badan kapal 25 meter itu  boleh berada di situ. Kapal yang terseret dan terombang ambing ini menjadi tempat perlindungan penduduk di situ. Mereka naik dan masuk ke dalam kapal sehingga menyelamatkan mereka dari bencana gelombang tsunami. Diceritakan seramai 59 orang telah berlindung dalam kapal ini.

gamabar Google - Kapal Lampulo sejurus selepas tsunami

Keluarga yang terselamat masih tinggal di rumah yang beratapkan kapal
Sebenarnya kapal ini mendarat di atas bumbung rumah sebuah keluarga yang turut berlindung dalam kapal. Itulah kenapa sampai sekarang ini keluarga tersebut yang rumahnya tertimpa kapal ini dengan ikhlas menjaga kapal ini dan masih tinggal di rumah yang sama. Ini karena kapal apung Lampulo ini sudah banyak memberi jasa terhadap kehidupan mereka dan penduduk sekitar kampung Lampulo. Dengan kehadiran pelancong-pelancong di sana, telah menambah sumber ekonomi penduduk sekitar.

Siapa menyangka, 2 buah kapal yang begitu berat mampu diseret sejauh 2 hingga 3 kilometer ke darat. SubhanAllah ..... tapi itulah hakikatnya. Kekuasaan Allah mengatasi segala kemustahilan.





Berhampiran kedudukan kapal terdapat kedai yang dimiliki penduduk setempat
Ibu' ini menceritakan bagaimana mereka berjaya menyelamatkan diri
dengan menaiki kapal tersebut
Selepas melihat 2 buah kapal yang tersadai akibat kesan arus tsunami yang mengganas, kami beralih pula ke sebuah tempat tinggalan sejarah Aceh yang terkenal iaitu Makam Syiah Kuala. Adapun nama sebenar Syiah Kuala adalah Sheikh Abdul Rauf al-Fansuri. Beliau dikatakan lahir tahun 1591 Masihi dan mangkat pada usia 105 tahun, pada 1696 Masihi.

Bangunan utama yang menempatkan makam-makam lama
Papantanda yang menceritakan Syeikh Kuala menjadi kadhi ketika pemerintahan 'Ratu Aceh'
Seperti disebut pada papan-tanda dalam gambar di atasi, Sheikh Abdul Rauf hidup lama untk menasihati 4 orang ratu perempuan yang memerintah Aceh berturut-turut. Sejarah mencatatkan, selepas itu naik seorang Sayyid dari Mekah menjadi Sultan Aceh setelah fatwa dari Mekah yang menyebut orang perempuan tidak boleh memerintah mula berkuat-kuasa. Ini berlaku hanya selepas Syeikh meninggal walaupun fatwa itu telah lama dikeluarkan.

Syeikh Abdul Rauf bin Ali al-Fansuri termasuk dalam golongan ulama dunia Melayu yang produktif dalam bidang karangan dalam bahasa Melayu. Beliau adalah oang pertama yang menterjemah al-Quran ke dalam bahasa Melayu, yang diberi nama Tafsir al-Baidhawi Melayu, 

Rumah penjaga makam
Mengikut cerita, kawasan makam ini turut dipukul ombak ganas setinggi 6 meter. Sekitarnya hancur terus dan pagar besi yang pernah mengelilingi makam bengkang-bengkok akibat pukulan arus deras.
Diceritakan juga, bencana itu berlaku akibat segolongan manusia telah melakukan maksiat di hadapan makam pada malam sebelum tsunami berlaku iaitu pada 25 Disember, malam Krismas. Ketika itu Aceh masih lagi dikuasai pihak tentera dari Jakarta. Jadi ada di kalangan mereka yang beragama Kristian. Pada malam itu mungkin ada yang telah melakukan maksiat apabila sudah minum arak dan bercampur laki-laki dan perempuan di sebuah kawasan yang sangat dihormati warga tempatan.



Kubur-kubur lama yang terdapat dalam bangunan tidak terjejas akibat tsunami
Agak malang di bumi yang bertuah ini, yang mendapat jolokan nama 'Serambi Mekah', masih ada  yang mengamalkan amalan-amalan syirik dan kurafat yang bertentangan dengan hukum syarak. Rakyat Aceh sebahagiannya masih mengamalkan kepercayaan tahyul dan khurafat, terlalu mendewa-dewakan alim ulamak sehinggakan ada yang memasang hajat, bernazar, di kubur-kubur keramat. Inilah yang berlaku di kuburan Syiah Kuala.

gambar Google - Amalan menunaikan nazar dan hajat di kuburan 'keramat' Syiah Kuala
.......mengambil wuduk, ada yang mandi sambil memasang hajat
Kami habiskan lawatan hari pertama di makam ini. Dari sini Pak Iskandar telah membawa kami ke kedai kopi untuk mencuba kopi Aceh yang terkenal kerana kenakannya.

Minum petang.......kopi Aceh bersama roti dan kuih
Sebelah malamnya pula kami dibawa makan sate Matang untuk dinner, Sate ini berbeza sedikit dari sate Malaysia. Sate Matang tidak dimakan dengan ketupat tetapi dimakan bersama nasi dan kuah kaldu atau sop serta kuah kacang.

Sate Matang menunjukkan daerah asal sate ini, iaitu Matang Geulumpang Dua, sebuah pekan kecil di Kabupaten Bireuen yang terletak sekitar 12 kilometer dari arah timur pusat Kota Bireuen.



Sate Matang.......
dimakan bersama nasi, kuah kaldu/sop dan kuah kacang
Lagi bil 'besar'......Rp 319,000
Warung Sate Matang D'Wan
Dalam pukul 8.30 malam kami selesai makan dan terus pulang ke hotel untuk berihat secukupnya sebagai persediaan untuk lawatan esoknya.

 Kita jumpa esok.....yuk!


Related posts:

Hujung Dunia - KM 0 (Zero) Sabang

Wednesday, 22 October 2014

Hujung Dunia - KM 0 (Zero) Sabang

 Pada Jun lepas saya bersama suami dan 4 orang anak berjaulah ke Aceh Indonesia. Percutian ini telah dirancang sejak Januari lagi, mengambil peluang tawaran tambang murah oleh Air Asia. Sepertimana biasa percutian ini juga sempena musim cuti sekolah. Kami ke sana dari 2 Jun hingga 7 Jun. Kebetulan tahun 2014 ialah tahun ke 10 selepas peristiwa tsunami 2004 yang melanda Aceh.

Pada 4 Jun iaitu hari yang ketiga kami berada di Aceh, kami telah pergi ke Pulau Weh atau lebih dikenali sebagai Sabang bagi penduduk tempatan. Tujuan kami ke sini kerana pulau ini tidak jauh dari Banda Aceh dan ia salah sebuah pulau yang terindah di dunia. Berkunjung ke Aceh tidak lengkap rasanya tanpa singgah di Sabang kerana di sini juga terletaknya salah satu daripada beberapa Km-0 yang terdapat di Indonesia.  Km-0 Sabang menjadi titik permulaan bagi Indonesia dari Barat ke Timor.

Jika di Malaysia kita ada lagu patriotik yang menyebut keluasan negara Malaysia, seperti di bawah;

Dari Perlis sampailah ke Sabah
Kita sudah merdeka
Negara makmur rakyat mewah
Kita sudah berjaya


Di Indonesia juga ada lagu rakyat yang menceritakan keluasan negara Indonesia;

Dari Sabang sampai Merauke
Berjajar pulau-pulau
Sambung memnyambung menjadi satu
Itulah Indonesia
Indonesia tanah airku
Aku berjanji padamu
Menjunjung tanah airku
Tanah airku Indonesia


Orang Indonesia juga ada slogan yang juga menyebut Sabang;

“Indonesia itu teridiri dari Sabang sampai Merauke, dari Miyangas sampai Pulau Rote”.

Jadinya Sabang ini menjadi sebutan dan terkenal di kalangan orang Indonesia. Orang Indonesia sendiri pun ada yang belum pernah sampai ke sini. Tempat ini lebih mudah dikunjungi pelancong Malaysia kerana kedudukannya yang lebih hampir dengan Malaysia, berbanding dengan mereka yang berada di sebelah timor Indonesia. Inilah sebabnya mengapa dikatakan tidak sah ke Aceh kalau tidak pergi ke Sabang.

Flight dari KL ke Banda Aceh hanya sejam setengah tetapi dari Merauke 13 jam
KM-0 Sabang ini kebetulan letaknya di hujung paling barat Indonesia.yang kita sebut tanah hujung atau " end of land ". Saya dan suami memang suka melawat tempat yang seperti ini kerana ia membuat kita terasa seolah-olah berada di hujung dunia. Kalau dikira, KM-0 ini adalah tanah hujung yang ke-4 kami lawati, Tiga yang lain ialah:
 1. Land's End Cornwall UK,
 2. Europa Point, Gibraltar
 3. Tip of Borneo, Sabah

 Kebiasaannya tanah hujung, sebahagian besar kawasannya dikelilingi laut sejauh mata memandang dan mempunyai pemandangan yang indah. Begitu juga di KM-0 ini yang disempadani oleh Laut Andaman. Ia masih dirimbuni tumbuhan-tumbuhan hutan ciptaan Allah yang begitu menyegarkan tetapi sayang, tempat ini tidak diurus dengan baik dan kemudahan yang ada seperti tugu diconteng dan dirosakkan. Ia kelihatan seperti kawasan terbiar. Namun ia bepotensi menjadi tempat rekreasi yang menarik bagi warga Sabang dan juga pelancong luar. Allah yang Maha Besar dan Maha Berkuasa telah mencipta alam ini untuk kita nikmatinya bersama dan mengajak kita memikir-mikirkan tentang kejadiannya,

Firman Allah,


Bermulanya pengiraan jarak dari barat ke timor Indonesia
Laut Andaman terbentang luas....
Tugu KM-0 .......masih dikelilingi hutan
Tugu ....
Bahagian atas tugu


Prasasti yang memberi maklumat pasal tugu habis diconteng
Hahaha........sebelum balik, dapatkan ole-olenya dulu!

Jejak Aceh - 10 Tahun Pasca Tsunami (Day 2 - part 1)

Jejak Aceh - Pantai Lampuuk- Masjid Rahmatullah Lhoknga

Jejak Aceh - 10 Tahun Pasca Tsunami (Day 2 - part 2)

Jejak Aceh - 10 Tahun Pasca Tsunami (Day 2 - Part 3)

Jejak Aceh - 10 Tahun Pasca Tsunami (Day 3)

Jejak Aceh - Perpustakaan Kuno Tanoh Abee

Jejak Aceh - 10 tahun Pasca Tsunami ( Day 4 )

Jejak Aceh - 10 tahun Pasca Tsunami ( Day 5 )

Jejak Aceh - 10 tahun Pasca Tsunami ( Day 6 )

Wednesday, 8 October 2014

Cuti-cuti Sabah - Kota Kinabalu

14 Dec 2012



Selepas berputar-putar sebentar melihat pekan Tuaran, akhirnya kami bertolak balik ke KK dan terus cek-in di hotel Citytel yang telah kami buat tempahan semasa di Kudat. Kami tidak mahu kejadian seperti di Kundasang berulang lagi, kerana KK juga menjadi tempat tumpuan pelancong di musim cuti sekolah. Kali ini kami akan tinggal selama 2 malam di KK kerana suami ada tugas resmi pada hari Sabtu dan Ahad. Penerbangan pulang pada petang Ahad.

Selama berada di KK kami  tidak banyak berjalan-jalan kerana suami bertugas. Selepas cek-in di hotel kami berihat sebentar. Pada sebelah malamnya sambil mencari tempat untuk menjamu selera kami ke Perdana Park di Tanjung Aru. Taman ini dibuka dari 6 pagi hingga 10 malam dan menjadi tumpuan wargakota KK menjalankan aktiviti santai dan beriadah. Pada sebelah malamnya taman ini ada membuat persembahan air pancut berirama atau musical fountain. Ianya dikatakan lebih kurang sama dengan air pancut KLCC, mengikut kata mereka yang sudah melihatnya. Saya sendiri belum berkesempatan melihat air pancut berirama KLCC.
KK at nite


Perdana Park at nite

2 happy boys in Perdana Park
......waiting for the show to start

At last....the show begins



Warna, bentuk dan saiz air pancut bertukar-tukar
mengikut irama dan rentak lagu yang dimainkan.....sangat menghiburkan


Niat di hati selepas menonton persembahan air pancut, kami akan menjamu selera di kedai-kedai makan yang terdapat di situ. Namun ianya tidak menjadi kenyataan kerana harga yang mahal dan tidak punya  banyak pilihan. Akhirnya kami balik ke bandar dan makan malam di sana sahaja.

15 Dec 2012

Hari ini kami tidak ke mana-mana. Pada sebelah siangnya saya dan anak-anak keluar waktu tengahari untuk mencari tempat makan di kawasan berdekatan dengan hotel. Kami ke pusat membeli-belah berhampiran yang ada "food court". Setelah selesai makan kami menjamu mata pula di sana. Walau bagaimanapun  di sebelah malam suami membawa kami makan malam di satu lokasi yang terkenal di KK, yang menjadi tumpuan wargakota KK dan juga pelancong tempatan atau luar negara. Orang Sabah menggelarnya Pasar Malam Filipina. Berhampiran situ juga ada Pasar Kraftangan Kota Kinabalu atau Pasar Filipina.
Pasar Kraftangan yang juga digelar Pasar Filipina
Uniknya Pasar Malam KK  ini ialah hidangan makanan laut bakarnya yang begitu banyak sekali dari pelbagai jenis. Cara dihidangkan pun santai saja....tidak perlu bersopan makan di sini. Makan di gerai ini berkonsepkan 'self service'. Ambil sendiri apa yg kita mahu dan hidang sendiri. Tempat duduk pun berkongi dengan pelanggan lain. Paling istimewa makanan lautnya segar dan sedap sekali. Harganya berpatutan walaupun  ada yang mengatakan ianya lebih  murah berbanding yang di Semenanjung.


Yummy....makanan laut segar yang dibakar sungguh menyelerakan
Kepak ayam bakar juga ada dijual bagi mereka yang tidak gemar makanan laut
Rumpai laut yang dijadikan sebagai ulam
Makan di meja panjang ....
 ikan dan sotong bakar bercicah air asam dan berulam rumpai laut
 bersama nasi putih dan air kosong ......very simple kan?
Suasana dalam gerai makan ..... 
meja panjang yang dikongsi bersama pelanggan lain
16 Dec 2012

Hari ini saya dan anak-anak ke Pulau Mamutik untuk melakukan aktiviti snorkeling. Hari ini juga penerbangan balik kami. Jadi pagi-pagi lagi kami sudah berada di jeti Jessolton Point KK, Kami perlu menaiki bot yang paling awal kerana kami kena balik semula ke KK sebelum 1 tengahari. Jadi dapatlah kami berada di sana untuk beberapa jam.

Tax jeti yang dikenakan pada semua pengguna...sebanyak RM7.20 seorang

Yuran ini juga perlu dibayar oleh setiap pengunjung 
ke mana-mana pulau yang disebut dalam resit
Jeti Pulau Mamutik...........foto Mr Google
Pulau Mamutik hanya 15-20 minit dari KK dengan bot laju.Pulau ini bersama Pulau Gaya, Pulau Sapi, Pulau Sulug dan Pulau Manukan berada dalam Tungku Abdul Abdul Rahman Marin Park. Di antara 5 buah pulau ini, Pulau Mamutik yang paling kecil. Tambang bot lajunya lebih kurang RM23 pergi balik untuk dewasa dan untuk ke sebuah pulau sahaja. Ada harga yang berbeza jika ingin ke beberapa buah pulau.sekali gus.

Di jeti sini juga kita boleh menyewa life jacket dan peralatan snorkeling untuk digunakan semasa aktiviti snorkeling di pulau nanti



Ketika di sini, kami bergambar menggunakan kamera kalis air milik anak saya. Sehingga kini gambar-gambar dalam kamera tersebut belum dipindahkan kerana foldernya. tidak dijumpai. Anak-anak ingin mengambil gambar dalam air ketika melakukan aktiviti snorkeling.

Pulau Mamutik....gambar ihsan Mr Google
Tidak dinafikan kecantikan air dan pantainya
Pukul 12 tengahari kami sudah bersiap menunggu bot di jeti untuk pulang ke KK, tetapi bot kami lambat sampai dari waktu yang dijadualkan. Kami mula rasa gelisah memikrkan kami ada penerbangan petang itu. Alhamdulillah bot tiba juga akhirnya dan kami sampai di jeti KK hampir pukul 1 tengahari. Selepas makan tengahari dan berkemas-kemas, kami pun bertolak ke lapangan terbang dalam pukul 2 petang.

The end of our journey and holiday, Cuti-cuti Sabah........satu percutian yang memuaskan bersama keluarga yang tercinta.

Related Posts:


Cuti-cuti Sabah (7) - Kota Belud
Cuti-cuti Sabah (9) - Kudat