Wednesday, 18 September 2019

Rose City of Petra Jordan

 Petra Jordan - 24 Jun 2018

Lawatan ke sini dibuat ketika transit di Amman selama 17 jam dalam perjalanan ke pulau Cyprus. Penerbangan kami dari Bangkok tiba di QAIA pada jam 5.15 am waktu Jordan. Sebelum memulakan perjalanan ini suami telah membuat temujanji dengan bapa kepada salah seorang pelajar Phdnya yang tinggal di Amman Jordan, Dr Jamaal. Beliau telah menawarkan dirinya untuk membawa kami ke Petra.

Pagi-pagi lagi Dr Jamaal dan seorang  anak remajanya telah menjemput kami di airport dan membawa kami terus ke Petra. Boleh dikatakan lawatan ke Petra ini ditanggung semua oleh Dr Jamaal. Alhamdulillah! .... rezeki dari seorang anak murid yang membalas jasa seorang guru😊. Memang menjadi budaya orang Arab menghormati 'Tok Guru' dengan memberi hadiah sekali sekala. Kami tinggalkan airport lebih kurang pukul 7.00 am.

Tempatnya agak jauh juga, 2 jam lebih perjalanan dengan kereta. Cuaca pula sangat panas kerana sekarang musim panas. Sebelum masuk Dr Jamaal menjamu kami sarapan yang dibekalkan oleh isterinya dari rumah, di kawasan letak kereta, di tengah panas😎. Lebih kurang jam 10.00 am kami beli tiket dan terus masuk.
Pintu masuk .... tengahari 24 Jun 2018
.... dinasihatkan pakai topi untuk melindungi dari panas
Tempat letak keretanya jauh juga dari pintu masuk
Jom Masuk !
Menceritakan pasal bongkah batu Jin yang banyak terdapat di Petra
Salah satu bongkah atau blok Jin ... di Bab as-Siq
Gambar dari google .... tak terambil pula gambarnya
 (Sumber foto: wikimedia)
Ni pula menceritakan pasal 'The siq' - jalan masuk ke kota purba Petra
The Siq (canyon/ngarai) .. sepanjang 1.2 km
... laluan masuk utama ke kota Petra
Bersama Dr Jamaal di as-Siq
Secara teknikal laluan as-Siq (السيق‎) ini bukanlah sebuah ngarai atau canyon yang sebenarnya
(sebuah ngarai dibentuk oleh air), tetapi adalah sebuah bongkah yang terbelah dan terpisah disebabkan kuasa tektonik. Selepas itu baharulah ia menjadi licin kerana hakisan air. Dinding yang mengapit as-Siq ini berdiri setinggi antara 91-182 meter.

Ini saluran air yang dipotong ke dalam dinding
untuk membekal air ke Petra
Lihat saluran air di tepi saya
Petra (dari pekataan Arab Ù±Ù„ْبَتْرَاء‎) adalah sebuah kota purba dengan teknologi tinggi, terletak di selatan Jordan. Di kalangan penduduknya ia dikenali sebagai Raqmu. Ia terkenal dengan senibina memotong batu dan sistem saluran airnya. Petra juga digelar Rose City atau Kota Mawar kerana warna batu yang dibentuk menjadi kota ini. Petra adalah sebuah kota nekropolis yang terdapat kuil-kuil dan makam-makam yang ditebuk pada dinding batuan gunung-ganang yang berwarna merah jambu dan batu pasir berwarna oren.

Sejak 1985 ia telah disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dan menggapnya sebagai satu yang sangat berharga. Petra juga dipilih oleh British Broadcasting Corporation (BBC) sebagai satu daripada "40 tempat yang anda mesti lihat sebelum mati"😀.

Bersama Dr Jamaal
Berbagai bentuk rupa bongkah batu yang terdapat di kota ini

Al- Khazneh (The Treasury)
Al- Khazneh ini satu struktur yang sangat terkenal di Petra yang terletak di penghujung laluan as-Siq. Ia dipercayai adalah tempat makam raja Nabatean yang bernama Aretas ke-4. Pada tahun 2007 ia telah dipilih sebagai salah satu daripada '7 Wonders of the World' yang baharu. Petra ini juga menjadi lokasi pengambaran filem yang digemari oleh pengeluar-pengeluar filem. Salah satunya ialah filem kesukaan suami saya iaitu Indiana Jones and the Last Crusade, sebuah filem aksi-kembara Amerika tahun 1989 . Dalam filem ini memang nampaklah as-Siq dan al-Khazneh ini. Oleh kerana itulah suami saya sangat teruja bila berjaya sampai ke sini😄


Kawasan yang berdekatan dengan al-Khazneh
Boleh beli cenderamata di sini atau di pintu masuk
Sebenarnya kota Petra ini sangat luas. Ada banyak lagi struktur dan kawasan yang boleh dilawati tetapi kami hanya sanggup sampai depan al-Khazneh ini sahaja. Itu pun sewaktu jalan balik, saya sudah tidak sanggup berjalan .... terpaksa naik kereta kuda.
Sebelum masuk elok baca maklumat ini ... 
tetapi kami selepas keluar baru terjumpa
Ada maklumat mengenai penggunaan  kereta kuda ini. Namun begitu, maklumat yang diberi berkaitan dengan harga kereta kuda tidak berlaku seperti yang tercatat. Jadikanlah ia sebagai panduan sahaja.

Sejarah Petra

Kota ini dibangun oleh Raja Aretas IV pada abad ke-6 S.M. dan dihuni oleh suku Nabatea, iaitu suku pedalaman yang memiliki kemahiran yang luar biasa dan kekayaan yang melimpah. Mereka  menggunakan bahasa Aramaic untuk berkomunikasi.

Pada abad ke 6-4 sebelum Masehi  kaum kuno Arab Nabatea, adalah puak semi-nomad yang menduduki bahagian barat-utara semenanjung Arab. Mereka memasuki kawasan Petra di lembah Jordan ini secara beransur-ansur sebelum menguasainya dari kaum Edomite, yang berkuasa ketika itu. Kaum Edomite adalah dari keturunan Esau (Aysu‎, عيس), anak sulong Nabi Ishak AS, iaitu saudara kembar Nabi Yakub. Esau juga digelar Edom yang bermaksud merah. Jalur kaum Edomite ini juga merupakan keturunan Nabi Ayyub AS dan Nabi Zulkifli AS. Dalam Injil dikatakan kaum Edomite ini bermusuh dengan Bani Israel walaupun mereka dari keturunan yang sama. Permusuhan ini berasal dari pergaduhan keluarga, antara Nabi Yakub (juga digelar Israel) dengan abangnya Esau. Ini hanyalah cerita dari kitab Injil yang besar kemungkinan tidak benar!

 Petra menjadi pusat pemerintahan mereka kerana selain sebagai sebuah kota yang kukuh juga sebagai kawasan yang mendapat bekalan air yang baik dari Wadi Musa, yang berada tidak jauh dari sini. Kawasan yang subur dan tanah pamah yang penting untuk ternakan. Petra juga terletak berhampiran dengan laluan khafilah-khafilah dagang, seperti Laluan Sutera yang terkenal pada masa itu.

Di puncak kegemilangnnya, mereka telah membuka dan mengawal laluan perniagaan di antara China, India, Timor Jauh, Mesir, barat Syria, Greece dan Rom. Mereka juga menambah penguasaan di selatan sehingga ke kawasan yang kini dikenali sebagai Mada'in Saleh atau al-Hijr di Arab Saudi. Dianggarkan jumlah pendudukya di waktu itu seramai 20,000 - 30,000 orang.

Wilayah bangsa Nabatea mencakup Al-Hijr sebagai kota terbesar kedua setelah Petra. Al-Hijr diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO sejak 2008, dan disebut Al-Hijr merupakan peninggalan peradaban Nabatea dari abad ke-1 SM sampai abad ke-1 M.
Kaum Nabatea menetap di utara Jordan,
 gurun Naqab di Palestin dan utara Arab Saudi
Selain dari berkemahiran dalam membuat bengunan dengan cara memahat batu-batan, suku Nabatea juga dianugerahi kemahiran dalam membuat sistem pengairan yang mengagumkan, dengan teknologi hidrolik untuk mengangkat air dan menyalurkan air bersih ke penduduk kota. Mereka membina terusan, empangan dan takungan air. Mereka juga pakar dalam membina tangki air bawah tanah sebagai persediaan menghadapi kekeringan air. Dengan cara ini mereka tidak akan keputusan air demi kelangsungan kota ini dan pembangunan sektor pertaniannya.

Namun, di sebalik kemahiran dan kekayaan yang dianugerahkan kepada mereka, kaum Nabatean merasa sombong untuk mengakui kewujudan Allah SWT dan memilih untuk menyembah berhala lainnya, seperti Manat dan Hubal. Akhirnya pada tahun 106 M, Rom menguasai Petra sehingga jalur perdagangan suku Nabatean menjadi lemah. Pada tahun 700 M, sistem hidrolik dan beberapa bangunan utama yang menjadi nadi kehidupan manusia ketika itu hancur-lebur, sehingga Petra pernah hilang dari sejarah selama beratus-ratus tahun, sehingga dijumpai semula oleh dunia luar pada 1812.

 Pengajaran

Sejarah kaum Nabatean ini menunjukkan pada kita bahawa tingginya teknologi dan melimpahnya kekayaan suatu kaum tidak menjamin keberlangsungan hidup kaum itu sendiri.

Kaum Tsamud merupakan pendahulu bangsa Nabatea dalam konteks kemampuan memahat dinding batu. Dengan makna lain, Kaum Tsamud jauh lebih tua dibandingkan bangsa Nabatea.

'Mada'in Saleh'' atau  kota Nabi Saleh,  pernah dihuni oleh kaum Tsamud, iaitu kaum Nabi Saleh. Kaum ini dipercayai hidup pada tahun 715 SM. Namun patut diperhatikan, zaman Nabi Saleh lebih tua dibandingkan Nabi Ibrahim dan nabi-nabi lain seperti Nabi Ismail, Nabi Ishaq, Nabi Yakub, Nabi Musa, dan Nabi Isa. Nabi Ibrahim hidup pada peradaban Mesopotamia, ketika pemerintahan Raja Namud, sekitar tahun 2275 SM- 1943 SM. Sementara, peradaban Nabatea pada abad ke-1 M sekitar masa hidup Nabi Isa AS.

Kemungkinan besar bahagian luar dinding batu telah dipahat berkali-kali dengan bersilih-gantinya peradaban, sehingga pahatan yang kelihatan terkini merupakan yang termuda usianya.
Dalam al-Quran (al-Hijr 15:80-84) diceritakan tentang kehancuran kaum Tsamud disebabkan kesombongan mereka.

"Kerana mereka bagitu bangga dengan tamadun dan harta mereka dengan rumah serta bangunan yang mereka dirikan dari tebukan gunung batu batan yang mereka nyatakan begitu kukuh dan berasa selamat daripada apa juga bencana. Mereka memalingkan muka mereka dari suruhan Nabi yang diutuskan. Kerana sikap sombong mereka, Allah SWT mengegarkan negeri mereka dengan gegaran yang amat dahsyat, tiada apa yang dapat menolong mereka, bangunan kukuh tidak ada ertinya, maka Allah SWT datangkan bencana itu dipagi hari sehingga lenyaplah kaum tersebut"

Allah SWT juga pernah mengingatkan kaum Nabi Shaleh, Tsamud melalui firman-Nya yang bermaksud:

“Dan ingatlah olehmu di waktu Tuhan menjadikan kamu pengganti-pengganti (yang berkuasa) sesudah kaum ‘Aad dan memberikan tempat bagimu di bumi. Kamu dirikan istana-istana di tanah-tanahnya yang datar dan kamu pahat gunung-gunungnya untuk dijadikan rumah; maka ingatlah nikmat-nikmat Allah dan janganlah kamu merajalela di muka bumi membuat kerosakan.” 
(Q.S. Al-A’raaf 7:74)

Semoga kita dapat merenungi setiap kejadian di muka bumi sebagai suatu pelajaran berharga yang dapat membantu kita menjadi manusia yang selalu bersyukur, tawaduk, dan ingat kepada  keagungan Allah SWT.

*********************************************************************************

Urutan 25 Nabi mengikut tahun

1. Nabi Adam - 5872-4942 B.C - Earth ( Wiki Data ) - Contra Dengan Penemuan penemuan tengkorak pra sejarah berumur ribuan tahun sebelum masehi.
2. Nabi Idris - 4533-4188 B.C - Babil Irak
3. Nabi Nuh - 3993-3043 B.C - Selatan Irak modern
4. Nabi Hud - 2450-2320 B.C - Timur Hadhramaut, Yaman
5. Nabi Shaleh - 2150-2080 B.C - Hijaz dan Syam
6. Nabi Ibrahim - 1997-1822 B.C - Irak
7. Nabi Ismail - 1911-1779 B.C - Qabilah Yaman, Mekkah
8. Nabi Luth - 1950-1870 B.C - Sadum, Syam, Palestina
9. Nabi Ishaq - 1761-1638 B.C - Al-Khalil Palestina
10.Nabi Yakub - 1837-1690 B.C - Bani Israil di Syam
11.Nabi Yusuf - 1745-1635 B.C - Mesir
12.Nabi Syu'aib - 1600 - 1500 B.C - Madyan
13.Nabi Ayub - 1540-1420 B.C - Haran, Syam
14.Nabi Zulkifli - 1500-1425 B.C - Damaskus
15.Nabi Musa - 1527-1408 B.C - Yordania modern
16.Nabi Harun - 1531-1408 B.C - Sina, Mesir
17.Nabi Daud - 1010 - 970 B.C - Israel
18.Nabi Sulaiman - 975-935 B.C - Baitul Maqdis-Palestina
19.Nabi Ilyas - 910-850 B.C - Israel, Syam
20.Nabi Ilyasa - 885-795 B.C - Israel, Syam, Palestina
21.Nabi Yunus - 820-750 B.C - Irak
22.Nabi Zakaria - 100-20 B.C - Palestina
23.Nabi Yahya - 31-1 B.C - Israel, Palestina
24.Nabi Isa - 1-32 B.C - Israel, Palestina
25.Nabi Muhamad SAW - 20 Apr 570/571 - 8 Juni 632 - Arab

Sumber :http://linidakwah.blogspot.com

Related Posts:

Gua Ashabul Kahfi  
Matahari lewat terbenam kerana Yusyak
Petra vs Mada'in Saleh - Nabatean vs Thamud

Matahari lewat terbenam kerana Yusyak

 Lawatan ke sini dibuat ketika transit di Amman selama 17 jam dalam perjalanan ke pulau Cyprus. Penerbangan kami dari Bangkok tiba di QAIA pada jam 5.15 am waktu Jordan. Sebelum memulakan perjalanan ini suami telah membuat temujanji dengan bapa kepada salah seorang pelajar Phdnya yang tinggal di Amman Jordan, Dr Jamaal. Beliau telah menawarkan dirinya untuk membawa kami ke Petra.

Selepas lawatan ke Petra, Dr Jamaal membawa kami balik ke rumahnya di Amman. Di sinilah kami solat, makan dan berihat sebelum bertolak ke airport.

Makam Nabi Yusyak bin Nun (يوشع بن نون)

Sebelum dihantar ke airport Dr Jamaal membawa kami pergi menziarah makam  Nabi Yusyak (Joshua- bahasa Ibrani) bin Nun terlebih dahulu.  Makam ini terletak  di sebelah barat laut kota as-Salt, sekitar 25 km arah barat dari kota Amman. Ia berada di atas sebuah bukit yang dikenali oleh penduduk Salt sebagai Bukit Yusyak, yang tingginya 1130 meter di atas permukaan laut.

Walaupun nama Yusyak bin Nun tidak disebut secara langsung di dalam al-Quran, tetapi al-Quran ada menyebutnya bersama dengan kisah Nabi Musa AS di dalam surah al-Maidah dan al-Kahfi.

Dari surah al-Kahfi,

“Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada pemuda yang bersamanya: ‘Aku tidak akan berhenti (berjalan) sebelum sampai ke pertemuan dua buah lautan; atau aku akan berjalan sampai bertahun-tahun." (QS. 18:60)
Maka tatkala mereka berjalan lebih jauh, berkatalah Musa kepada pemuda yang bersamanya: "Bawalah kemari makanan kita, sesungguhnya kita telah merasa letih karena perjalanan kita ini." (QS. 18:62) 
  
Mengikut ahli tafsir;

Pemuda yang menjadi teman nabi Musa di sini adalah Yusyak bin Nun.

Dari surah al-Maidah ayat 23,

Berkatalah dua orang di antara orang-orang yang takut (kepada Allah) yang Allah telah memberi nikmat atas keduanya: “Serbulah mereka dengan melalui pintu gerbang (kota) itu, maka bila kamu memasukinya niscaya kamu akan menang. Dan hanya kepada Allah hendaknya kamu bertawakkal, jika kamu benar-benar orang yang beriman”.

Mengikut ahli tafsir;

Ada dua orang yang beriman dalam kalangan Bani Israil itu yang berani bercakap. Seorangnya bernama Yusyak ibnu Nun dan seorang lagi bernama Kalib ibnu Yufana. Mereka takut dengan Allah, iaitu takut tidak mengikut perintah Allah apabila Allah telah keluarkan perintah untuk masuk ke dalam kota dan berperang. Allah beri kepada keduanya nikmat kenabian kerana Yusha itu akan menjadi Nabi selepas ketiadaan Nabi Musa atau boleh juga bermaksud, nikmat tidak membuat dosa.

Dari Hadis;

Rasulullah pernah bersabda, “Sesungguhnya matahari itu tidak pernah tertahan tidak terbenam hanya kerana seorang manusia kecuali untuk Yusyak. iaitu pada malam-malam dia berjalan ke Baitul Maqdis (untuk jihad).’” (HR: Ahmad).

Didakwa  sebagai makam Nabi Yusyak bin Nun
... ukuran makamnya sangat panjang!
Sebenarnya ada beberapa tempat lain di dunia ini yang didakwa sebagai makam Nabi Yusyak. Antaranya di Turki, Israil dan Iraq. Makam yang di Jordan ini sangat panjang ukurannya. Mengikut cerita penjaganya ia dibina sedemikian kerana lokasi makam yang sebenarnya tidak dapat ditentukan di sebelah mana ia berada.

Merebut Kanaan (sejarah)

Firman Allah SWT yang bermaksud,

(Nabi Musa berkata lagi): "Wahai kaumku, masuklah ke Tanah Suci (Palestin) yang telah diperintahkan oleh Allah untuk kamu (memasukinya); dan janganlah kamu berbalik undur ke belakang, (kalau kamu undur) maka kamu kelak menjadi orang-orang yang rugi (di dunia dan di akhirat)". 
(Al-Maaidah 5:21)

Mereka menjawab: "Wahai Musa bahawasanya di negeri itu ada kaum yang gagah perkasa, dan sesungguhnya kami tidak akan memasukinya sehingga mereka keluar daripadanya; kemudian jika mereka keluar daripadanya, maka sesungguhnya kami akan masuk (ke negeri itu)". 
Al-Maaidah 5:22)

Nabi Musa AS menyedari bahawa selagi hati kaumnya masih tertarik pada kecintaan hidup di dunia, mereka tidak akan mungkin mampu menduduki Jurusalem. Keadaan ini pernah disebut oleh Rasulullah SAW tatkala beliau menerangkan mengapa Bani Israil tertunda memasuki Baitulmaqdis. Rasulullah bersabda yang bermaksud;

"Tidak akan ada seorang pun penyembah berhala yang boleh memasuki Baitul Maqdis (Jurusalem)."

Firman Allah SWT yang bermaksud,

Allah berfirman: "Sesungguhnya negeri itu diharamkan kepada mereka memasukinya - selama empat puluh tahun, mereka akan merayau-rayau dengan bingungnya (di sepanjang masa yang tersebut) di padang pasir (Sinai); maka janganlah engkau berdukacita terhadap kaum yang fasik itu".
(Al-Maaidah 5:26) |

Disebabkan keengganan mereka untuk berjihad ini, Bani Israil telah dihukum dengan menjalani kehidupan yang terumbang-ambing di padang pasir selama 40 tahun. Jarak masa 40 tahun ini memberi kesempatan yang cukup untuk melahirkan sebuah generasi baharu Bani Israil. Generasi inilah yang dipersiapkan oleh Nabi Yusyak untuk misi merebut Juruselam, tanah yang dijanjikan kepada mereka.

Nabi Musa wafat sebelum sempat membebaskan Baitulmaqdis dari pasukan Jababirah yang orang-orangnya berbadan besar dan perkasa. Nabi Yusyak meneruskan jihad Nabi Musa.

Nabi Yusyak seorang pemimpin perang yang gagah dan berani. Dia hadir di tengah kehidupan Bani Israil setelah Musa wafat. Dia adalah panglima pertama membebaskan Baitulmaqdis atau Jurusalem dari kaum musyrik. Nabi Yusyak lebih memberi perhatian terhadap kualiti pasukan perangnya. Beliau telah mengasingkan tenteranya dari mereka yang hatinya terikat dengan urusan dunia.

Nabi Muhammad SAW telah bersabda yang bermaksud:

“Salah seorang Nabi telah berperang. Dia berkata kepada kaumnya, "Jangan mengikutiku orang yang menikahi wanita sementara dia hendak membina rumah tangga dengannya namun belum sempat, dan tidak juga mereka yang membina rumah tapi belum siap atapnya, dan tidak pula mereka yang membeli kambing atau unta betina bunting sementara dia menunggu kelahirannya." Lalu Nabi itu menuju ke sebuah perkampungan ketika hampir waktu Asar. Maka dia berkata kepada matahari, "Sesungguhnya kamu diperintahkan dan aku pun diperintahkan. Ya Allah, tahanlah matahari untuk kami."  Maka Allah menahan matahari sehingga mereka menang."
[Sahih Muslim 19/4327]

Yusyak AS mengeluarkan orang-orang yang berhati sibuk dari pasukannya, iaitu orang-orang yang badannya di medan perang tetapi fikirannya bersama isteri yang belum disentuhnya atau rumah yang belum diselesaikan atau ternakan yang ditunggu kelahirannya.

Dalam kitab Sulaiman al-Asyqari yang menulis tentang kisah para orang saleh, ada menceritakan mengenai pasukan Yusyak berangkat ke Kanaan yang hendak ditaklukinya. Dia memasuki kota itu pada waktu asar hari Jumaat. Ini bermakna kesempatan untuk menawan kota itu sangat terhad. Dia harus menghentikan perang sebaik matahari terbenam, kerana telah memasuki hari Sabtu dan perang di hari Sabtu hukumnya haram bagi Bani Israil. Dia harus mengundur dari kota itu sebelum menyerangnya kembali dan situasi ini akan memberi peluang kepada penduduk kota untuk memperkuatkan semula pasukannya, memperbaiki benteng-bentengnya dan menambah kekuatan senjatanya.

Yusyak menghadap matahari dan berkata kepadanya; "Kamu diperintahkan, aku juga diperintahkan". Kemudian Yusyak berdoa kepada Allah; "Ya Allah, tahanlah ia untuk kami". Allah mengabulkan permintaannya dan menunda terbenamnya matahari hingga kemenangannya diraih.

Keyakinan Yusyak begitu besar sehingga dia percaya Allah akan menolongnya. Allah mampu memanjangkan siang sehingga kemenangan dapat dicapai sebelum terbenamnya matahari. Allah yang mengatur perjalanan siang dan malam dan putaran bumi dan matahari, maka melewatkan siang sehingga Yusyak memperolehi kemenangan bukanlah suatu yang mustahil atau susah bagiNya.

Masjid Yusyak bin Nun ... berdekatan dengan makamnya
.... struktur di sebelah kanan itu adalah masjid lama
Bahagian depan masjid
Bahagian dalam masjid
Halaman masjid
Kawasan berdekatan masjid
Kawasan makam dan masjid ini berada
di atas tanah tinggi
Jika cuaca baik boleh dilihat Baitulmaqdis dari sini

Palestin: Janji Tuhan kepada bangsa Yahudi ?

Benarkah bumi Palestin adalah tanah yang telah dijanjikan Allah kepada keturunan Nabi Ibrahim? Kaum Bani Israil mendakwa mereka berhak kembali ke Palestin dan menuntut balik tanah yang telah dijanjikan itu. Ikuti hujah-hujah yang menyangkal dakwaan  oleh kaum Bani Israil ini dalam pautan di bawah.

Petikan dari  https://palestinkini.info/?p=403 ( artikel oleh Dr Maszlee Malek)

..... Ketiga, jika pun memang bumi itu dijanjikan kepada kaum Yahudi. Mereka telah pun menduduki bumi tersebut (sebahagian dan bukan kesemuanya) dan telah kehilangannya sebanyak dua kali (kali pertama sewaktu mereka diserang oleh Nebuchadnezar pada tahun 586 S.M dan dibawa berhijrah ke Babylon, dan yang keduanya pada tahun 70 M yang telah menyaksikan Yahudi terakhir meninggalkan bumi Palestin pada tahun 1932M). Maknanya janji itu hanya laku untuk kali pertama sahaja dan bukan untuk kali kedua dan ketiga.

.... Hujah mereka, kaum Yahudi diriwayatkan di dalam Old Testament telah mendiami dan berkuasa di bumi Palestin. Maka mereka juga berhak untuk kembali mendiami bumi tersebut kerana ?historical? dan ?sentimental? value yang terdapat pada bumi itu kepada bangsa Yahudi. Maka usaha-usaha untuk mengembalikan mereka juga merupakan satu usaha yang bersifat ?ketuhanan? dan bertepatan dengan kandungan ?Old Testment? dan ianya adalah usaha mengulangi kegemilangan zaman para nabi.

Hujah seumpama ini telah ditolak oleh golongan Yahudi Ortodoks yang berpegang dengan ajaran sebenar Yahudi seperti golongan Naturei Karta yang bermazhab Hesedim. Menurut mereka, aqidah sebenar kaum Yahudi mengatakan bahawa selepas mereka diusir dari bumi Palestin di zaman Nebuchadnezar, mereka tidak boleh lagi pulang ke bumi tersebut sehinggalah datangnya Messiah di akhir zaman yang akan membawa mereka pulang dan memimpin mereka. Selagi Messiah ini tidak muncul, kaum Yahudi HARAM pulang ke bumi tersebut. Ini jugalah merupakan inti ajaran Talmud (Meshna Tora) yang merupakan kitab penafsiran kepada Old Testament mereka
.

Related Posts:

Gua Ashabul Kahfi  
Rose City of Petra Jordan

Wednesday, 21 August 2019

Transit Tour - Dubai

Ini iklan di airport Amman Jordan
Bagi sesetengah perjalanan udara yang jauh, ia memerlukan kita untuk membuat 'transit' sebelum sampai ke destinasi yang dituju. Transit adalah perhentian sementara samada untuk menukar pesawat atau masih pesawat yang sama, tetapi menurunkan sebahagian penumpang dan mengambil penumpang yang baharu, sebelum meneruskan perjalanan ke tempat yang dituju.

Ada kalanya transit ini mengambil masa yang sangat lama sehingga kita sempat keluar dari airport dan berjalan-jalan sebelum menyambung perjalanan. Kebiasaannya transit yang melebihi 6 jam
sahaja yang dibenarkan keluar dan diberi visa percuma. Itu pun kena lihat kesesuaian masanya kerana jika masa menunggu itu sebahagian besarnya berada pada sebelah malam, agak sukar kita hendak keluar.

Waktu transit inilah yang digunakan oleh agen pelancongan menawarkan 'Transit Tour' kepada para penumpang yang dalam transit. Sesetengah lapangan terbang menawarkan lawatan (tour) dan lain-lain hiburan  seperti pawagam, muzium, persembahan muzik, dan taman tropika di lapangan terbang. Semua ini boleh didapati secara percuma, dan tiada visa diperlukan kerana kita dianggap sebagai penumpang "dalam transit". Pastikan semua dokumen perjalanan ada bersama dengan kjta.

Ada 7 buah lapangan terbang yang memberi lawatan dan aktiviti percuma. Boleh rujuk di sini.

Sebenarnya  masa transit ini boleh dijadikan satu pengalaman melancong secara berjimat kerana ia merupakan satu aktiviti sampingan, mengambil peluang keberadaan kita di tempat tersebut. Kalau kita rajin, kita boleh mencari penerbangan yang ada transit yang lama untuk membolehkan kita 'keluar' sebentar untuk tujuan melancong. Kita juga boleh merancang dan mengatur penerbangan agar dapat berhenti beberapa hari dengan penambahan kos yang sedikit atau kadang-kadang tiada lansung.

Ada beberapa kali saya dan suami menggunakan cara ini untuk melancong semasa transit. Kali pertama ialah semasa perjalanan balik dari Morocco dan transit di Dubai, kemudian transit di Jordan sewaktu pergi dan balik dari Cyprus. Alhamdulillah kami berjaya melawat Burj Khalifa di Dubai, Petra dan al Kahfi di Jordan.

1. Burj Khalifa - 3 April 2017
Kami tiba di Dubai dari Marrakech tengah malam. Kami perlu menunggu selama 18 jam lagi untuk penerbangan ke KL. Kami berkira-kira, jika keluar dari airport selepas subuh kami masih ada lebih kurang 10 jam untuk berjalan-jalan di Dubai. Kami hanya teringin menaiki Burj Khalifa. Jadi sebelum bertolak ke Dubai kami telah membeli tiket naik, dari sebuah agen pelancongan secara online. Alhamdulillah kami berjaya menaikinya ... sangat teruja.😊
Tiket untuk 3 Apr 2017 pukul 11 pagi
2 tiket masuk yang sama tetapi berbeza maklumat dan design
Ketinggian Burj Khalifa 828m ...
...... bangunan tertinggi di dunia sejak 2009
Rekabentuk Burj Khalifa diilhamkan daripada Senibina Islam yang terdapat di rantau ini, seperti senibina pada Masjid Besar Samarra di Iraq, iaitu sebuah masjid dari kurun ke-9. Ia mempunyai 163 tingkat dan sejumlah 57 lif serta 8 eskalator. Pada asalnya Burj Khalifa dikenali sebagai Burj Dubai. Ia dimajukan oleh syarikat hartanah terkenal, Emaar pada 2004 dan siap pada 2009. Ketika Dubai berdepan krisis kewangan global, kerajaan Abu Dhabi di bawah pemerintahan Sheikh Khalifa kemudian memberi bantuan pinjaman kewangan kepada Dubai bagi pembinaan Burj Dubai. Sebagai menghargai bantuan itu, ia kemudian dinamakan Burj Khalifa bagi mengenang jasa Sheikh Khalifa.

Ada banyak cara untuk pergi ke Burj Khalifa dari Dubai Airport. Salah satu caranya ialah dengan menaiki metro. Burj Khalifa terletak di sebuah kawasan yang dipanggil 'Dubai Downtown' dan dekat dengan Dubai Mall. Kami hanya lalu sahaja di Dubai Mall tetapi tidak menyinggah, walaupun terdapat banyak 'attraction' di sini. Masa tidak menizinkan kami untuk 'berlama-lama' di sini.

Naik metro terus dari airport ke Dubai Mall / Burj Khalifa
Kami membeli kad nol untuk menaiki metro. Nol ( نول ) adalah bahasa arab yang bermaksud tambang. Jenis kad yang sesuai untuk kegunaan pelancong adalah kad nol merah. Kad ini memudahkan kita bergerak kerana selain dari menaiki metro, ia juga boleh digunakan untuk menaiki bas dan tram.
Kad nol merah ... sebelah belakang
Kad nol merah untuk 1 hari .... sebelah depan
Ini jejantas untuk pejalan kaki yang
 menghubungkan stesen metro dan Dubai Mall / Burj Khalifa
Ini pemandangan dari jejantas
Akhirnya tiba juga di Burj Khalifa 😌.... alhamdulillah .... lega!
Was here ... pagi 3 April 2017
Ruang menunggu  untuk naik ke 'observation deck'
Selain mencatat rekod sebagai bangunan tertinggi di dunia, Burj khalifa juga mempunyai jarak jalanan lif yang terjauh (504 m) dan mempunyai kelajuan lif di kedudukan ke-3 dalam senarai yang terpantas di dunia dengan kelajuan maksima 36 km/h. Bangunan ini juga pernah menjadi lokasi pengambaran untuk filem aksi terkenal Amerika pada 2011; filem Mission Impossible - Ghost Protocol. Suami saya sangat teruja berjaya sampai ke sini kerana dia suka menonton filem ini berulang kali.
At  The Top ...  tempat yang ingin dituju
Jom naik!

Dek peninjau  'At The Top' berada di tingkat ke-124 pada ketinggian 452 m. Naik lif laju ke aras ini mengambil masa lebih kurang seminit sahaja ... sangat hebat!
Tanda di dinding yang memberitahu ketinggian  observation deck ini



Antara beberapa pemandangan menarik
 yang dapat dilihat dari atas observation deck
Ini observation deck yang dikelilingi kaca
untuk memudahkan kita melihat keluar
2. Dubai Fountain
Di kota Dubai ini banyak tempat yang termasuk dalam ketegori 'ter....' di dunia. Dubai Mall adalah pusat membeli-belah yang terbesar di dunia dan di mall ini juga terletaknya Dubai Aquarium, antara yang terbesar di dunia. Di kaki bangunan Burj Khalifa pula terdapat Dubai Fountain, pancuran air bermuzik (musical fountain)yang terbesar di dunia.

Kenangan bersama Burj Khalifa ...
tengahari 3 Apr 2017
Air pancutnya ditutup pula hari ini
Tengok dalam video sahajalah ......


3. Souk Al Bahar
Souk al Bahar .... juga terletak di sini
.... sebuah pasar tradisional tetapi ditempatkan dalam suasana moden

Souk Al Bahar, which means ‘market of the sailor’ in Arabic, is a modernised experience on the traditional Arabian markets.

Found in the heart of Downtown Dubai is this unique Arabesque hub for shopping, entertainment and dining. It is accessible through the beautiful walkway of The Dubai Mall, overlooking the Dubai Fountain with the Burj Khalifa towering above.

But the most recognisable feature about Souk Al Bahar is the architecture – plentiful in natural stone corridors, restrained lighting and Arabian decor.



4. Jumeirah Grand Mosque
Kami juga sempat melawat sebuah masjid yang terletak di daerah Jumeirah. Ia dibina pada tahun 1976 menggunakan batu putih berukir dan dipengaruhi gaya senibina Fatimid dari Afrika Utara. Masjid ini dikatakan menjadi ikon Dubai yang paling banyak diambil gambarnya.
Was here .... petang 3 Apr 2017
Jumeirah Grand Mosque

Batu putih berukir yang sangat indah
Senibina yang indah
2 menara masjid ini sangat menonjol ..
Kubah di tengah diapit oleh 4 kubah yang lebih kecil

Bahagian dalam masjid
 Masjid ini terbuka untuk umum, dan menyediakan tour beserta dengan tour guide pada sebelah pagi. Namun pada waktu (petang) kami pergi melawatnya. penjaga masjid tidak membenarkan saya masuk kerana saya perempuan😒. Hanya suami sahaja yang dibenarkan masuk .... 😡marah jugalah saya pada hari itu. Selepas aktiviti ini kami terus ke airport.
Balik ke stesen metro naik bas .... tempat menunggu
 yang sangat selesa bertutup dan ada penyaman udara

Related post:








Transit Tour - Jordan