Monday, 30 June 2008

Ibu oh Ibu!


Dalam surah al-Israk: 23, Allah berfirman yang bermaksud,

" Dan Tuhanmu memerintahkan supaya jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu-bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya lanjut usia dalam pemeliharaanmu, janganlah kamu mengatakan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia."

Nabi pula pernah ditanya oleh seorang pemuda.

" Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling perlu untuk saya berbuat baik? ”.
Rasulullah bersabda, " Ibumu "
Kata pemuda itu, " Lagi? "
Jawab baginda, " Selepas itu, ibumu "
" Selepas itu? " tanya pemuda itu lagi.
" Ibumu ", kata Nabi.
Pemuda itu bertanya lagi, " Selepas itu? "
" Bapamu ” , balas Rasulullah.
(HR Bukhari dan Muslim)

Hanya selepas Nabi menjawab 3 kali ibumu, barulah disebut bapamu. Ini menujukkan menghormati ibu itu adalah wajib selagi mana dia tidak menyalahi perintah Allah.

Ibu sendiri-Ibu mertua, Ibu tiri-Ibu angkat

Antara empat di atas manakah ibu yang paling baik? Kalau ditanya pada anak-anak yang normal sudah pasti jawapannya ibu sendiri. Namun pada hakikatnya jawapan yang standard ini tidaklah sentiasa benar. Dalam keadaan yang tertentu mana-mana ibu di atas boleh menjadi ibu yang paling baik.

Ada seorang kawan saya menceritakan mengenai ibunya yang membuat dia berada dalam keadaan serba salah. Dia tersepit di antara ibunya yang tidak berpuas hati dengannya dan suami yang tidak suka dengan sikap ibunya. Ibunya merasakan tidak cukup bantuan kewangan bulanan yang disumbangkan oleh mereka berdua walaupun kawan saya itu nampak apa yang mereka beri itu cukup bagi tujuan memenuhi perkara asas dalam kehidupan. Mereka tidak mampu untuk memberi lebih kerana mereka juga kena menyumbang kepada kaluarga suaminya. Dia memuji Ibu mertuanya yang sangat prihatin dengan keadaan mereka. Sebelum ibu mertuanya menerima sebarang sumbangan daripada mereka dia akan bertanya samada mereka sekeluarga mempunyai belanja yang mencukupi.

Apa yang dipersoalkan oleh suaminya ialah sikap ibunya yang suka menceritakan keburukan mereka berdua yang seolah-olah mengabaikan tanggung-jawab mereka, kepada sanak saudara yang datang menziarahinya. Lebih menyedihkan lagi ibunya cuba membandingkan dirinya dengan kakaknya, yang lebih bermewah dengan ibunya. Ini kerana kakaknya mempunyai suami yang lebih lumayan pendapatannya dan berasal dari keluarga yang kaya. Keadaannya bak kata pepatah, marah anak sindir menantu.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Takutlah akan Allah dan berlaku adillah terhadap anak-anakmu"
(Hadis riwayat al-Bukhari & Muslim)

Anak-anak adalah amanah dari Allah yang diberi kepada ibu-bapa untuk dijaga, dipelihara serta dididik dengan membimbing mereka ke arah kehidupan yang sejahtera di dunia dan akhirat. Bimbingan ini seharusnya berterusan walaupun selepas mereka berumahtangga.

Ibu-bapa dituntut agar berlaku adil terhadap anak-anak kerana sikap membeza-bezakan anak boleh menjadi faktor yang merosakkan jiwa dan peribadi mereka. Keadaan ini boleh menimbulkan perasaan hasad dengki di kalangan anak-anak yang seterusnya menyebabkan mereka saling bergaduh serta hilang rasa kasih sayang sesama sendiri.

Sewajarnya ibu-bapa menyamakan layanan antara anak-anak tanpa mengira lelaki atau perempuan, bijak atau bodoh, cantik atau tidak, sempurna atau cacat, kaya atau miskin, kerana semua perkara dari segi pakaian, makanan, pemberian, kasih sayang dan sebagainya adalah hak mereka yang mesti dipenuhi dan diberi sama rata. Hubungan antara ibu-bapa dan anak adalah hubungan yang bersifat kewajipan dan tanggungjawab. Bukan hubungan kasih sayang semata-mata yang mana banyak mendorong  ibu-bapa bersikap tidak adil terhadap anak-anak.

Sesungguhnya ibu-bapa yang adil akan diberi ganjaran syurga di akhirat kelak sebagaimana yang disebut Rasulullah SAW dalam hadis yang bermaksud:
Sesiapa yang mempunyai anak perempuan, kemudian tidak dihinakan dan tidak mengutamakan anak lelaki dari anak per" empuan, nescaya dia dimasukkan Allah ke dalam syurga."
(Hadis diriwayat Abu Daud & Hakim)

Doa seorang ibu juga adalah penting bagi anak-anak untuk mencapai kehidupan yang sejahtera dunia dan akhirat. Sabda Nabi SAW yang bermaksud:
"Doa orang tua untuk anaknya bagaikan doa nabi untuk umatnya."
(Hadis riwayat ad-Dailami)

Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud:
 “Tiga jenis doa yang pasti akan dikabulkan tanpa diragui lagi; doa orang yang sedang musafir dan doa orang tua ke atas anaknya.”
(Hadis hasan al-Tirmizi)

 Berdasarkan hadis ini, beruntunglah mereka yang ibu bapanya mendoakan kebaikan kepadanya. Rugilah mereka yang menyebabkan ibu-bapa murka sehingga mendoakan sesuatu yang buruk.

Doakanlah kesemua anak-anak kita. Kalau ada 10 orang anak, doakan untuk kesemuanya. Walaupun perangai anak-anak ada yang baik dan ada yang buruk, janganlah lupa mendoakan mereka. 

Sentiasa doakan yang terbaik untuk anak-anak kita. Jika marahkan anak-anak, berhati-hati dengan ayat yang keluar dari mulut kita. Apa yang kita katakan adalah doa. Jangan tersalah doa...kasihanilah anak-anak.

Wednesday, 25 June 2008

Menangani kenaikan kos sara hidup

SEKOLAH cuti, IPT cuti, para ibu sibuk melayani gelagat anak-anak yang berada "fulltime" di rumah. Kebanyakan masa habis digunakan untuk mengurus makan dan minum serta kain-baju mereka. Tidak ketinggalan juga mengemas rumah yang bersepah lebih daripada biasa. Namun dalam kesibukan itu saya sempat mengikuti perkembangan isu semasa yang menjadi tajuk hangat dalam setiap perbualan di "kedai kopi"; kenaikan harga petrol dan disel.

Bagi kita orang biasa ini memang tidak berkuasa hendak menukar apa-apa pada harga yang telah ditetapkan. Apa yang kita boleh buat ialah mengurangkan di sana-sini perbelanjaan harian kita agar kenaikan kos itu tidak terlalu dirasakan. Ini sudah tentu untuk mereka yang mampu berbuat demikian. Bagaimana pula bagi mereka yang sememangnya sudah lama berjimat cermat?

Bagi mengatasi masalah ini saya dan suami telah mengambil beberapa langkah berjimat cermat.

1. Meminta suami mengguna kereta yang lebih kecil enjennya (dpd 2000cc ke 600cc). Kereta yang kecil itu memakan minyak lebih sedikit daripada motor. Sudah tentu ini menjimatkan banyak belanja. Sebelum ini saya sudah meminta suami supaya berbuat demikian tetapi berbagai alasan yang diberi. Kami juga bercadang jika kami berdua saja yang menaiki kereta untuk ke mana-mana destinasi yang tidak berapa jauh agar menggunakan kereta yang kecil itu.

2. Mengurangkan penggunaan barangan letrik seperti cerek letrik. Ini kerana tarif letrik juga telah dinaikkan baru-baru ini. Pastikan semua lampu dan kipas yang tidak diperlukan ditutup.

3. Kurang makan di luar. ( Kalau dulu seminggu sekali makan di luar tetapi sekarang rasanya 3 minggu atau sebulan sekali, kecuali terpaksa )

4. Berbelanja pada barang yang kurang berjenama tetapi ada kualiti. Sesetengah barang dapur sangat berbeza harganya dari satu jenama ke satu jenama.

5. Elakkan pembaziran dalam makanan. Mana-mana makanan yang tidak habis elok disimpan dalam peti ais dan diguna semula, samada dipanas semula atau diubahsuai dan dijadikan menu yang baru.

6. Akhir sekali kurangkan kuantiti apa juga bahan yang kami gunakan jikalau boleh, seperti penggunaan air, sabun, syampu dan lain-lain.

Apa-apa pun dalam setiap sen yang kita belanja daripada rezki yang Allah beri, hendaklah kita ikhlaskan kerana Allah. Apabila ini berlaku barulah kita diberkati oleh Allah. Keberkatan yang Allah anugerahkan , membuat kita berasa sentiasa cukup dengan apa yang kita ada. Kita tidak akan keputusan wang untuk berbelanja walaupun dengan pendapatan yang kecil InsyaAllah. Semestinya amalan berjimat cermat itu tidak diabaikan.

Lagi satu amalan rohiyyah yang memurahkan rezeki kita ialah solat sunat Dhuha. Dalam kitab "An-Nurain" ada disebut, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

" Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan."

Perhatikan doa yang diamalkan selepas selesai mengerjakan solat sunat Dhuha.

Maksudnya : ” Ya Allah, bahawasanya waktu Dhuha itu waktu DhuhaMu,kecantikan itu ialah kecantikanMu, keindahan itu keindahanMu, kekuatan itu kekuatanMu, kekuasaan itu kekuasaanMu dan perlindungan itu perlindungan Mu. Ya Allah jika rezekiku masih diatas langit, turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika ia (dari yang) haram maka sucikanlah, jika masih jauh dekatkanlah, berkat waktu Dhuha, Keagungan, Keindahan, Kekuatan dan Kekuasaan Mu, limpahkanlah kepada hamba-hamba Mu yang saleh .”


Friday, 23 May 2008

Halal Dan Haram Dalam Makanan

SEJAK dahulukala umat manusia berbeza-beza dalam menilai masalah makanan dan minuman mereka, ada yang boleh dan ada juga yang tidak boleh. Lebih-lebih dalam masalah makanan yang berupa binatang. Adapun masalah makanan dan minuman yang berupa tumbuh-tumbuhan, tidak banyak diperselisihkan. Dan Islam sendiri tidak mengharamkan hal tersebut, kecuali setelah menjadi arak, baik yang dibuat dari anggur, korma, gandum ataupun bahan-bahan lainnya, selama benda-benda tersebut sudah mencapai kadar memabukkan.

Begitu juga Islam mengharamkan semua benda yang dapat menghilangkan kesedaran dan melemahkan urat serta yang membahayakan tubuh. Adapun soal makanan berupa binatang, inilah yang terus diperselisihkan dengan hebat oleh agama-agama dan golongan yang peka.

Menyembelih dan Makan Binatang Dalam Pandangan Agama Hindu

Ada segolongan, misalnya Golongan Brahmana (Hindu) dan Filsuf yang mengharamkan dirinya menyembelih dan memakan binatang. Mereka cukup hidup dengan memakan makanan dari tumbuh-tumbuhan. Golongan ini berpendapat, bahawa menyembelih binatang termasuk suatu keganasan manusia terhadap binatang hidup. Manusia tidak berhak untuk menghalang binatang daripada hidup.
Namun kita juga tahu dari hasil pengamatan kita terhadap alam ini, bahawa diciptanya binatang-binatang itu tanpa ada suatu tujuan, sebab binatang tidak mempunyai akal dan kehendak. Bahkan secara nalurinya binatang-binatang itu dicipta untuk memenuhi (khidmat) keperluan manusia. Oleh kerana itu bukan sesuatu yang pelik kalau manusia dapat memanfaatkan dagingnya dengan cara menyembelih, sebagaimana halnya dia juga dapat memanfaatkan tenaganya dengan cara yang lazim.

Kita pun mengetahui dari sunnatullah (ketentuan Allah) terhadap makhluknya ini, iaitu: golongan rendah biasa berkorban untuk golongan atas. Misalnya daun-daunan yang masih hijau boleh dipotong/dipetik buat makanan binatang, dan binatang disembelih untuk makanan manusia dan, bahkan, seseorang berperang dan terbunuh untuk kepentingan orang ramai. Begitulah seterusnya.

Haruslah diingat, bahawa dengan melarang manusia dari menyembelih binatang, tidak juga dapat melindungi binatang tersebut dari bahaya maut dan binasa. Kalau tidak bergaduh antara satu sama lain, dia juga akan mati dengan sendirinya; dan kadang-kadang mati dalam keadaan demikian itu lebih sakit daripada ketajaman pisau.

Binatang yang Diharamkan Dalam Pandangan Yahudi dan Nasrani

Dalam pandangan agama Yahudi dan Nasrani (kitab), Allah mengharamkan kepada orang-orang Yahudi beberapa binatang laut dan darat. Penjelasannya dapat dilihat dalam Taurat (Perjanjian Lama) fasal 11 ayat 1 dan seterusnya.

Dan oleh al-Ouran disebutkan sebahagian binatang yang diharamkan buat orang-orang Yahudi itu serta alasan diharamkannya, iaitu seperti yang disebutkan di atas, bahawa diharamkannya binatang tersebut adalah sebagai hukuman berhubung kezaliman dan kesalahan yang mereka lakukan. Firman Allah yang bermaksud,

“Dan kepada orang-orang Yahudi kami haramkan semua binatang yang berkuku, dan dari sapi dan kambing kami haramkan lemak-lemaknya, kecuali (lemak) yang terdapat di punggungnya, atau yang terdapat dalam perut, atau yang tercampur dengan tulang. Yang demikian itu kami (sengaja) hukum mereka. Dan sesungguhnya Kami adalah (di pihak) yang benar.” (al-An'am: 146)

Demikianlah keadaan orang-orang Yahudi. Sedangkan orang-orang Nasrani sesuai dengan ketentuannya harus mengikuti orang-orang Yahudi. Kerana itu Injil menegaskan, bahawa Isa a.s. datang bukan untuk mengubah hukum Taurat (Namus) tetapi untuk menyempurnakannya.

Namun pada kenyataannya, mereka telah mengubah hukum Taurat itu. Apa yang diharamkan dalam Taurat telah dihapus oleh orang-orang Nasrani ,tanpa dihapus oleh Injilnya. Mereka mahu mengikuti Paul yang dipandang suci itu dalam masalah halalnya semua makanan dan minuman, kecuali yang memang disembelih untuk berhala kalau dengan tegas itu dikatakan kepada orang Kristian: "Bahawa binatang tersebut disembelih untuk berhala."
Paul memberikan alasan, bahawa semua yang suci halal untuk orang yang suci, dan semua yang masuk dalam mulut tidak dapat menajiskan mulut, yang dapat menajiskan mulut ialah apa yang keluar dari mulut.
Mereka juga telah menghalalkan babi, sekalipun dengan tegas babi itu diharamkan oleh Taurat sampai hari ini.

Menurut Pandangan Orang Arab Jahiliah

Orang-orang Arab jahiliah mengharamkan sebahagian binatang kerana kotor, dan sebahagiannya diharamkan kerana ada hubungannya dengan masalah peribadatan (ta'abbud), kerana untuk bertaqarrub kepada berhala dan kerana mengikuti anggapan-anggapan yang salah (waham).
Tetapi di sebalik itu, mereka banyak juga menghalalkan beberapa binatang yang kotor (khabaits), seperti bangkai dan darah yang mengalir.
Makanan Yang Haram Dalam Islam

Allah berfirman yang bermaksud,

“Allah hanya mengharamkan kepada kamu bangkai, darah ,daging babi dan binatang yang disembelih bukan kerana Allah….” (al-Baqarah :173)

Jenis-jenis bangkai:

1. Binatang yang mati kerana dicekik

2. Binatang yang mati kerana dipukul

3. Binatang yang jatuh dari tempat yang tinggi, seperti ke dalam perigi, sehingga mati

4. Binatang yang bergaduh antara satu sama lain sehingga mati

5. Binatang yang disergap oleh binatang buas dengan dimakan sebahagian dagingnya

sehingga mati

Namun belalang, ikan dan kehidupan laut yang sepertinya dikecualikan dari kategori bangkai. Sabda Nabi SAW yang bermaksud,

“ Laut itu airnya suci dan bangkainya halal.”
( Riwayat Ahmad dan ahli sunnah)

Darah yang mengalir:

Limpa, walaupun adalah merupakan darah tetapi tidak diharamkan kerana ia bukan darah mengalir yang diharamkan.

Orang-orang jahiliah dahulu kalau lapar, diambilnya sesuatu yang tajam dari tulang ataupun lainya, lantas ditusukkannya kepada unta atau binatang dan darahnya yang mengalir itu dikumpulkan lalu diminum.

Dipetik dari buku Halal Dan Haram Dalam Islam

Saturday, 17 May 2008

Kenapa Air Laut Masin Tetapi Air Hujan Tawar

Pada hujung minggu lepas saya menyertai satu bengkel tulisan. Salah satu aktiviti yang dijalankan ialah menghasilkan satu artikel pasal HUJAN. Kami dikehendaki menulis berpandukan tips-tips yang diberi. Berbagai-bagailah stail penulisan yang dihasilkan. Tajuk artikel juga adalah mengikut citarasa sendiri.

Inilah hasil tulisan saya yang bertajuk seperti di atas.

SALAH seorang dairipada anak saya pernah bertanya, “ Kenapa air laut ni masin ek?“. Rupanya dia tertelan air laut ketika sedang mandi . Umurnya masih kecil pada masa itu.


Mengapa pula anak saya ingin bertanya soalan seperti itu, berdetik hati kecil saya. Memang benar jikalau diperhatikan air hujan yang turun apabila dirasa tawar sahaja rasanya. Allah itu Maha Besar , air yang diturunkan dari langit walaupun rasanya tawar tetapi apabila jatuh ke bumi rasanya boleh berubah-ubah. Jika ia menjadi air laut maka masinlah rasanya. Jika terkumpul di paya rasanya menjadi payau pula tetapi jika turun di bukit , jadilah ia seperti air mineral yang dibotolkan.



Hujan adalah antara nikmat-nikmat Allah yang banyak yang di perlukan oleh tubuh manusia seperti udara untuk pernafasan, makan dan minum , tempat tinggal, pakaian, tumbuh-tumbuhan, binatang-binatang dan lain-lain nikmat yang tidak terhitung jumlahnya. Proses pembentukan air hujan dari wap air yang ringan lalu dibawa oleh awan mendung yang berarak ke sana ke mari dan akhirnya diturunkan sebagai hujan yang menyiram bumi sangatlah menakjubkan. Firman Allah yang bermaksud

Furqan [48]……dan Kami menurunkan dari langit: Air yang bersih suci,
 Furqan [49] Untuk Kami hidupkan dengan air itu bumi yang mati, serta memberi minum air itu kepada sebahagian dari makhluk-makhluk Kami, khasnya binatang ternak yang banyak dan manusia yang ramai. 

Bumi yang basah menghidupkan tumbuhan-tumbuhan yang subur untuk segala kehidupan di muka bumi. Cuba bayangkan kehidupan kita tanpa adanya air hujan. Bagaimana agaknya kita menjalani kehidupan di atas muka bumi ini ?

Maka jika kita mengkaji hakikat kejadian hujan berdasarkan sumber al-Quran dan as-sunah kita akan dapati bahawa hujan adalah sebagai ciptaan  yang mempunyai tujuan yang tersendiri.

Peranan Hujan
Berpandukan pada ayat-ayat al-Quran yang ada menyebut tentang hujan, dapatlah dirumuskan di sini beberapa peranan hujan dalam kehidupan manusia di atas mukabumi ini.

1. Hujan sebagai rahmat kepada manusia. Firman Allah SWT yang bermaksud:

Dan Dialah yang menurunkan hujan setelah mereka berputus asa dan Dia pula menyebarkan rahmat-Nya merata-rata dan (ingatlah) Dialah pengawal (yang melimpahkan ihsan-Nya), lagi Yang Maha Terpuji..
(as Syura:28)

2. Hujan juga berperanan menyirami tumbuhan dan menyingkir kekotoran. Ini dijelaskan oleh Allah s.w.t di dalam firmannya bermaksud:

 Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa. hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi).
 (al-Baqarah:265).

3.Hujan sebagai ujian kepada manusia. Ini disebut oleh Allah SWT di dalam firmannya yang bermaksud:

 Dan tidaklah kamu berdosa meletakkan senjata masing-masing, jika kamu dihalangi sesuatu yang menyusahkan disebabkan hujan atau kamu sakit. Dan hendaklah kamu mengambil langkah berjaga-jaga. Sesungguhnya Allah telah menyediakan bagi orang -orang kafir itu azab seksa yang amat menghina.
 (an-Nisa':102).

4.Hujan juga berperanan untuk memenuhi keperluan manusia. Kemarau yang berpanjangan akan menyebabkan kita menjadi lemah manakala tanaman akan mati dan sungai akan kering pada ketika itu manusia amat mengharap supaya dikurniakan hujan untuk memenuhi keperluannya di samping memberi kekuatan yang baru. Firman Allah SWT yang bermaksud:

Dan wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepada-Nya, supaya Dia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada dan janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa!
(Hud:52)

5. Hujan yang berperanan sebagai tentera Allah, memperlihatkan kekuasaan Allah SWT sebagaimana firmanNya  yang bermaksud:

 Atau (bandingannya) seperti (orang-orang yang ditimpa) hujan lebat dari langit, bersama dengan gelap-gelita dan guruh serta kilat; mereka menyumbat jarinya ke dalam telinga masing-masing daripada mendengar suara petir, kerana mereka takut mati. (Masakan mereka boleh terlepas), sedang (pengetahuan dan kekuasaan) Allah meliputi orang-orang yang kafir itu.
(al-Baqarah)
 Ayat ini menerangkan keadaan hujan yang lebat mampu memperlihatkan kekuasaan Allah SWT sehingga menyebabkan manusia memikirkan tentang kekuasaan Allah SWT.

6. Hujan turut berperanan sebagai pemberi rezeki kepada manusia. Allah SWT berfirman yang bermaksud :

Dan diturunkan-Nya air hujan dari langit, lalu dikeluarkan-Nya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa'
(al-Baqarah:22)

Justeru kita sebagai umat Islam perlulah bersyukur di atas anugerah yang tidak terhingga ini. Kita menanti kedatangan musim hujan dengan doa dan harapan semoga hujan yang diturunkan ini akan mendatangkan keberkatan dan menambah rezeki dalam memperbaiki kehidupan kita.

Wednesday, 7 May 2008

Tumbuhan Berbicara


Dalam satu penyelidikan ilmiah yang dilaporkan oleh sebuah majalah sains terkenal, Journal of plant Molecular Biologist, menyatakan bahwa sekumpulan saintis yang mengadakan penyelidikan mendapati ada suara halus yang keluar dari sebahagian tumbuhan yang tidak boleh didengar oleh telinga biasa. Suara tersebut berjaya disimpan dan dirakam dengan sebuah alat perakam tercanggih yang pernah ada.


Para saintis itu telah meneliti fenomena yang mencengangkan ini selama 3 tahun. Mereka berjaya menganalisis denyutan atau detak suara tersebut sehingga menjadi isyarat-isyarat yang bersifat cahaya elektrik dengan sebuah alat yang bernama Oscilloscope. Akhirnya para saintis tersebut dapat melihat denyutan cahaya elektrik itu berulang lebih dari 1000 kali dalam satu detik.
Prof. William Brown yang mengetuai para pakar sains bagi mengkaji fenomena tersebut merumuskan, setelah selesai kajiannya, bahwasanya tidak ada penafsiran ilmiah atas fenomena tersebut, walaupun beliau telah menyerahkan hasil kajiannya kepada universiti- universiti serta pusat-pusat kajian di Amerika dan juga Eropah untuk diteliti , akan tetapi semuanya tidak sanggup menafsirkan fenomena itu bahkan semuanya tercengang tidak tahu apa yang harus dikomen.


Pada pembentangan terakhir, fenomena tersebut dihadapkan dan dikaji oleh para pakar dari Britan, dan diantara mereka ada seorang saintis muslim yang berasal dari India . Setelah 5 hari mengadakan penelitian dan kajian, para saintis Inggeris tersebut angkat tangan tanda mengalah. Tetapi sebaliknya saintis muslim tersebut mengatakan: “Kami umat Islam tahu tafsir dan makna dari fenomena ini, bahkan semenjak 1400 tahun yang lalu”.
Maka para saintis yang hadir pun tersentak dengan penyataan tersebut, dan meminta bersungguh-sungguh untuk ditunjukkan tafsir dan makna dari kejadian itu.
Saintis muslim itu pun terus memetik firman Allah yang bermaksud: 

”Dan tidak ada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, tetapi kamu sekalian tidak mengerti tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyantun lagi Maha Pengampun” (QS. Al-Israa’: 44)
Tidaklah suara denyutan itu melainkan lafadz jalalah (nama Allah Azza wa Jalla) sebagaimana dilihat dalam layer (Oscilloscope). SubhanalLaah, Maha Suci Allah! Ini adalah salah satu mukjizat dari sekian banyak mukjizat agama yang haq ini!! Segala sesuatu bertasbih menggunakan nama Allah Jalla wa ‘Ala. Akhirnya orang yang bertanggungjawab terhadap penyelidikan ini, yaitu Prof. William Brown menemui saintis muslim itu untuk membincangkan tentang agama yang dibawa oleh seorang Nabi yang ummi sebelum 1400 tahun lalu tentang fenomena ini. Maka saintis tersebut pun menerangkan kepadanya tentang Islam, setelah itu ia menghadiahkan alQur’an dan terjemahannya kepada professor tersebut.
Selang beberapa hari selepas itu, ketika professor William mengadakan ceramah di universiti Carnich Miloun, beliau mengatakan: “Dalam hidupku, aku belum pernah menemui fenomena seperti ini selama 30 tahun berkecimpung dalam pekerjaan ini, di mana tidak ada seorang pun dari para pengkaji yang melakukan kajian yang mampu menafsirkan makna sebenar dari fenomena ini. Begitu pula tidak pernah aku berjumpa kejadian alam yang satu-satunya tafsir yang boleh kita dapati adalah didalam alQur’an. Hal ini tidak memberikan pilihan lain buatku selain mengucapkan, “ Aku bersaksi bahwa tidak ada ilah yang haq melainkan Allah, dan bahwa Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya”.
P
rofessor ini telah mengumumkan Islam nya di hadapan para hadirin .

Dipetik dari Majalah QIBLATI edisi no. 11 tahun 2006/1427 H