Wednesday, 6 August 2008

Apakah IFC (Inter Faith Commission)


Pagi tadi semasa membaca emel terjumpa artikel yang sangat menarik dan penting untuk kita ketahui, yang bertajuk seperti di atas. Artikel ini disediakan oleh seorang sahabat saya yang juga seorang peguam. Oeh kerana ianya satu maklumat yang penting yang patut disedari oleh semua orang Islam, saya ingin menyimpannya sebagai koleksi saya.

Apakah
Interfaith Commission (IFC)?

  • adalah sebuah suruhanjaya yang dicadangkan penubuhannya seperti sebuah badan berkanun yang mempunyai kuasa undang-undang

  • IFC boleh mengubah ajaran sesetengah agama IFC yang nama asalnya ialah IRC – Inter Religious Council akibat desakan penganut agama lain.

  • Badan ini berfungsi mirip sebuah mahkamah dan segala keputusannya adalah muktamad ke atas agama yang disabit.

  • Ia berfungsi seperti SUHAKAM yang menerima dan melayan aduan-aduan berkaitan dengan agama.

APAKAH MATLAMAT PENUBUHAN IFC ?
Matlamat IFC ialah :-
  • meminda beberapa ajaran asas Islam yang akan merosakkan aqidah orang Islam dan berpihak kepada kepentingan orang-orang bukan Islam.
AGENDA TERSEMBUNYI PENUBUHAN IFC

• IFC akan melangkaui kuasa Institusi Agama Islam

• IFC akan “bypass” Mahkamah Syariah dan mahu Mahkamah Civil tentukan perkara berkaitan dengan Islam

• Penubuhan IFC adalah suatu campurtangan dalam “Intra-Muslim Affairs (NOT the Inter-Religious Affairs)”

• IFC secara perlahan akan menyekat perkembangan Islam dan meletakkan institusi Islam dibawahnya

Siapakah yang mencadangkan penubuhan IFC ini?

Digagaskan oleh Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, and Sikh

(Malaysian Consultive Counsil of Buddhism, Christinity, Hinduism, and Sikhism)

APAKAH TUNTUTAN MEREKA?

1. Seorang anak yang dilahirkan oleh Ibubapa Islam tidak seharusnya terus jadi Islam.

2. Orang bukan Islam yang telah memeluk agama Islam hendaklah diberi kebebasan untuk kembali kepada agama asal mereka dan tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang.

3. Sebarang kes pertukaran agama orang Islam kepada bukan Islam tidak sepatutnya dikendalikan oleh Mahkamah Syariah tetapi dikendalikan oleh Mahkamah Sivil.

4. Tidak perlu dicatatkan di dalam kad pengenalan seseorang Muslim bahawa ia beragama Islam


5. Orang bukan Islam tidak perlu dikehendaki menganut Islam sekiranya ingin berkahwin dengan orang IslamOrang Islam hendaklah dibenarkan keluar daripada Islam (murtad) sekiranya ingin berkahwin dengan orang bukan Islam tanpa boleh dikenakan apa-apa tindakan undang-undang

6. Seseorang atau pasangan suami isteri yang menukar agamanya dengan memeluk Islam tidak patut diberikan hak jagaan anak

7. Orang-orang bukan Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan seorang yang memeluk Islam hendaklah diberikan hak menuntut harta pesakanya selepas kematiannya

8. Kerajaan hendaklah menyediakan dana yang mencukupi untuk membina dan menyelenggara rumah-rumah ibadat orang bukan Islam sebagaimana kerajaan menyediakan dana yang serupa untuk masjid. Kerajaan juga perlu membenarkan pembinaan rumah-rumah ibadat orang bukan Islam tanpa perlu adanya peraturan-peraturan tertentu

9. Orang-orang bukan Islam hendaklah dibenarkan dan tidak boleh dihalang daripada menggunakan perkataan-perkataan suci Islam dalam percakapan dan sebagainya

10. Bibel dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia sepatutnya dibenarkan untuk diedarkan kepada umum secara terbuka

11. Pelajaran agama bukan Islam untuk penganut agama itu hendaklah diajar di semua sekolah

12. Program-program berunsur Islam dalam bahasa ibunda sesuatu kaum hendaklah ditiadakan. Program dakwah agama lain selain Islam pula hendaklah dibenarkan untuk disiarkan dalam bahasa ibunda masing-masing

13. Orang-orang bukan Islam yang membayar zakat tidak sepatutnya dikecualikan daripada membayar cukai pendapatan dan wang hasil zakat sepatutnya digunakan juga untuk keperluan orang-orang bukan Islam

14. Sepatutnya Islam tidak disebut sebagai pilihan pertama masyarakat Malaysia seperti dalam soal pakaian menutup aurat kepada pelajar sekolah

APAKAH BAHAYANYA PENUBUHAN IFC TERHADAP ISLAM?

1. Membuka ruang seluas-luasnya untuk orang bukan Islam mencampuri hal ehwal agama Islam

2. Menjadikan undang-undang Allah mesti tunduk kepada norma-norma antarabangsa yang dicipta oleh manusia yang menjejaskan aqidah

3. Orang Islam bebas melakukan apa sahaja

4. Orang Islam bebas untuk murtad

5. IFC berhak menentukan status agama seseorang

Thursday, 10 July 2008

Anak oh Anak!

PADA suatu malam saya masuk ke dalam blog anak saya. Dalam salah satu tulisannya dia merungut terpaksa membantu maknya (saya) membuat kek, walaupun pada malam itu dia berasa kurang sihat. Badannya terasa sengal-sengal dan sakit-sakit. Apabila terbaca akan keluhan anak saya itu, maka teringatlah saya ketika masa muda dulu.

Selama 18 tahun saya tinggal dengan orang tua ......sekali pun tidak pernah berpisah. Seingat saya dari kecil lagi saya telah membantu emak dengan kerja-kerja rumah. Ibu saya seorang yang garang terhadap anak-anaknya. Oleh kerana itulah saya jaranng membantah sebarang suruhannya. Oleh kerana itu jugalah saya tidak kekok dengan kerja-kerja rumah seperti memasak, membasuh dan mengemas apabila sudah berumah-tangga. Saya sangat bersyukur di atas tunjuk ajar emak yg banyak membantu dalam kehidupan sehingga kini walaupun semasa kecil saya melihatnya sebagai satu deraan.

Saya berpisah dengan ibu ketika menyambung pelajaran di UK. Itulah pertama kali berpisah dengan jarak yang begitu jauh sekali. Saya hanya akan pulang waktu cuti panjang setahun sekali. Jadi setiap kali saya berpeluang bersama emak saya semasa cuti, saya akan membantunya membuat sebanyak mungkin kerja rumah yang lazim dibuatnya setiap hari. Ada ketikanya saya juga berasa tak sihat seperti yang dirasai oleh anak saya. Namun disebabkan rasa kasihan pada emak yang tidak pernah ”cuti” daripada kerja-kerja rumah, saya terus juga membantu apa yang terdaya. Tidak sampai hati rasanya membiarkan dia bekerja seorang diri sedang saya duduk berihat.

 Kini emak dan bapa saya sudah lama meninggal dunia. Kadang-kadang apabila melihat kawan-kawan yang masih mempunyai ibu-bapa , terasa rindu juga kepada mereka. Kalaulah mereka masih hidup dapatlah saya berjasa lebih lama lagi kepada mereka. Kepada anak-anak yang masih mempunyai ibu-bapa, cubalah balas jasa mereka sebaik mungkin. Ketika mereka masih hidup kita terlupa bahawa mereka akan meninggalkan kita suatu hari nanti. Apabila mereka sudah tiada barulah terasa rugi kita tidak berpeluang berbakti kepada mereka lagi. Oleh kerana itu rebutlah peluang keemasan ini sementara boleh. Jadilah anak yang soleh dan solehah. Berdoalah untuk kebaikan mereka ketika masih hidup dan juga selepas kematian mereka.

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda:
 "Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara : sedekah jariah, atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya."
(Hadith Sahih - Riwayat Muslim dan lain-lainnya)

Apakah lagi yang boleh seorang anak lakukan selain berdoa untuk ibu-bapa yang sudah meninggal? Banyak. Carilah amalan-amalan yang boleh menambah pahala mereka dan jauhilah perkara-perkara maksiat supaya mereka tidak terseksa di alam kubur .Anak yang soleh akan selalu berbuat kebaikan di dunia. Menurut keterangan hadis ini, kebaikan yang diperbuat oleh anak soleh pahalanya sampai kepada orang tua yang mendidiknya yang telah meninggal dunia tanpa mengurangkan nilai atau pahala yang diterima oleh anak-anak tadi. Doa anak yang soleh kepada orang tuanya mustajab di sisi Allah SWT.

Kita boleh bersedekah bagi pihak mereka seperti yang diberitahu oleh Rasulullah saw yang bermaksud:
Dari Aisyah r.a. (menceritakan),
"Bahawa ada seorang lelaki menemui Nabi .s.a.w. dan menanyakan : "Ya Rasulullah! Sesungguhnya ibu saya meninggal dengan tiba-tiba dan dia tiada berwasiat. Saya menduga kalau dia boleh berbicara tentu dia akan bersedekah. Apakah dia akan memperoleh pahala, kalau saya menggantikannya?" Nabi menjawab : "Ya (memperolehi pahala)".
                                            Hadis sahih riwayat Muslim

Kita boleh membayar balik hutang mereka yang belum sempat dibayar, berpuasa utk menggantikan puasa mereka yang tertinggal dan juga buat haji bagi ibu-bapa yang tidak berkemampuan semasa hidupnya.

Namun bagi mereka yang masih mempunyai ibu atau bapa, layanilah mereka dengan sebaik mungkin. Beringatlah selalu sebelum kita kehilangan mereka buat selama-lamanya;
Apakah kita sudah pernah berjasa padanya?
Apakah kita sudah membalas jasa-jasa mereka?
Apakah kita pernah menggembirakan mereka?
Apakah kita sudah meminta maaf pada mereka?
Atau Kita hanya mengecewakan mereka pada setiap masa?

Dalam masyarakat hari ini kita sering terdengar kisah ibu-bapa yang sudah lanjut usia mereka ditinggalkan oleh anak-anaknya hidup bersendirian dalam keadaan yang uzur.

“Dan Kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua orang tuanya, ibunya telah mengandungkannya dengan keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya selama dua tahun, bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua orang tuamu, hanya kepada Aku kembalimu”
(Luqman, 31: 14)

Sanggup kah kita perlakukan ibubapa kita sebegitu rupa? Ibu yang telah mengandungkan kita dengan keadaan lemah dan menyusukan selama 2 tahun. Tegarkah kita? Fikir kembali. Sabda Nabi saw yang bermaksud:
“Dua kejahatan yang disegerakan balasan di dunia adalah zina dan menderhaka kepada dua ibu bapa.”
(Hadis riwayat at-Tirmizi)
Sabda Rasulullah s.a.w lagi yang bermaksud :“Keredhaan Allah s.w.t terletak pada redha kedua ibubapa”
(Riwayat Muslim)
Ingatlah tanpa mereka, kita tidak akan hadir di muka bumi Allah ini.

Monday, 30 June 2008

Ibu oh Ibu!


Dalam surah al-Israk: 23, Allah berfirman yang bermaksud,

" Dan Tuhanmu memerintahkan supaya jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu-bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya lanjut usia dalam pemeliharaanmu, janganlah kamu mengatakan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia."

Nabi pula pernah ditanya oleh seorang pemuda.

" Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling perlu untuk saya berbuat baik? ”.
Rasulullah bersabda, " Ibumu "
Kata pemuda itu, " Lagi? "
Jawab baginda, " Selepas itu, ibumu "
" Selepas itu? " tanya pemuda itu lagi.
" Ibumu ", kata Nabi.
Pemuda itu bertanya lagi, " Selepas itu? "
" Bapamu ” , balas Rasulullah.
(HR Bukhari dan Muslim)

Hanya selepas Nabi menjawab 3 kali ibumu, barulah disebut bapamu. Ini menujukkan menghormati ibu itu adalah wajib selagi mana dia tidak menyalahi perintah Allah.

Ibu sendiri-Ibu mertua, Ibu tiri-Ibu angkat

Antara empat di atas manakah ibu yang paling baik? Kalau ditanya pada anak-anak yang normal sudah pasti jawapannya ibu sendiri. Namun pada hakikatnya jawapan yang standard ini tidaklah sentiasa benar. Dalam keadaan yang tertentu mana-mana ibu di atas boleh menjadi ibu yang paling baik.

Ada seorang kawan saya menceritakan mengenai ibunya yang membuat dia berada dalam keadaan serba salah. Dia tersepit di antara ibunya yang tidak berpuas hati dengannya dan suami yang tidak suka dengan sikap ibunya. Ibunya merasakan tidak cukup bantuan kewangan bulanan yang disumbangkan oleh mereka berdua walaupun kawan saya itu nampak apa yang mereka beri itu cukup bagi tujuan memenuhi perkara asas dalam kehidupan. Mereka tidak mampu untuk memberi lebih kerana mereka juga kena menyumbang kepada kaluarga suaminya. Dia memuji Ibu mertuanya yang sangat prihatin dengan keadaan mereka. Sebelum ibu mertuanya menerima sebarang sumbangan daripada mereka dia akan bertanya samada mereka sekeluarga mempunyai belanja yang mencukupi.

Apa yang dipersoalkan oleh suaminya ialah sikap ibunya yang suka menceritakan keburukan mereka berdua yang seolah-olah mengabaikan tanggung-jawab mereka, kepada sanak saudara yang datang menziarahinya. Lebih menyedihkan lagi ibunya cuba membandingkan dirinya dengan kakaknya, yang lebih bermewah dengan ibunya. Ini kerana kakaknya mempunyai suami yang lebih lumayan pendapatannya dan berasal dari keluarga yang kaya. Keadaannya bak kata pepatah, marah anak sindir menantu.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Takutlah akan Allah dan berlaku adillah terhadap anak-anakmu"
(Hadis riwayat al-Bukhari & Muslim)

Anak-anak adalah amanah dari Allah yang diberi kepada ibu-bapa untuk dijaga, dipelihara serta dididik dengan membimbing mereka ke arah kehidupan yang sejahtera di dunia dan akhirat. Bimbingan ini seharusnya berterusan walaupun selepas mereka berumahtangga.

Ibu-bapa dituntut agar berlaku adil terhadap anak-anak kerana sikap membeza-bezakan anak boleh menjadi faktor yang merosakkan jiwa dan peribadi mereka. Keadaan ini boleh menimbulkan perasaan hasad dengki di kalangan anak-anak yang seterusnya menyebabkan mereka saling bergaduh serta hilang rasa kasih sayang sesama sendiri.

Sewajarnya ibu-bapa menyamakan layanan antara anak-anak tanpa mengira lelaki atau perempuan, bijak atau bodoh, cantik atau tidak, sempurna atau cacat, kaya atau miskin, kerana semua perkara dari segi pakaian, makanan, pemberian, kasih sayang dan sebagainya adalah hak mereka yang mesti dipenuhi dan diberi sama rata. Hubungan antara ibu-bapa dan anak adalah hubungan yang bersifat kewajipan dan tanggungjawab. Bukan hubungan kasih sayang semata-mata yang mana banyak mendorong  ibu-bapa bersikap tidak adil terhadap anak-anak.

Sesungguhnya ibu-bapa yang adil akan diberi ganjaran syurga di akhirat kelak sebagaimana yang disebut Rasulullah SAW dalam hadis yang bermaksud:
Sesiapa yang mempunyai anak perempuan, kemudian tidak dihinakan dan tidak mengutamakan anak lelaki dari anak per" empuan, nescaya dia dimasukkan Allah ke dalam syurga."
(Hadis diriwayat Abu Daud & Hakim)

Doa seorang ibu juga adalah penting bagi anak-anak untuk mencapai kehidupan yang sejahtera dunia dan akhirat. Sabda Nabi SAW yang bermaksud:
"Doa orang tua untuk anaknya bagaikan doa nabi untuk umatnya."
(Hadis riwayat ad-Dailami)

Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud:
 “Tiga jenis doa yang pasti akan dikabulkan tanpa diragui lagi; doa orang yang sedang musafir dan doa orang tua ke atas anaknya.”
(Hadis hasan al-Tirmizi)

 Berdasarkan hadis ini, beruntunglah mereka yang ibu bapanya mendoakan kebaikan kepadanya. Rugilah mereka yang menyebabkan ibu-bapa murka sehingga mendoakan sesuatu yang buruk.

Doakanlah kesemua anak-anak kita. Kalau ada 10 orang anak, doakan untuk kesemuanya. Walaupun perangai anak-anak ada yang baik dan ada yang buruk, janganlah lupa mendoakan mereka. 

Sentiasa doakan yang terbaik untuk anak-anak kita. Jika marahkan anak-anak, berhati-hati dengan ayat yang keluar dari mulut kita. Apa yang kita katakan adalah doa. Jangan tersalah doa...kasihanilah anak-anak.

Wednesday, 25 June 2008

Menangani kenaikan kos sara hidup

SEKOLAH cuti, IPT cuti, para ibu sibuk melayani gelagat anak-anak yang berada "fulltime" di rumah. Kebanyakan masa habis digunakan untuk mengurus makan dan minum serta kain-baju mereka. Tidak ketinggalan juga mengemas rumah yang bersepah lebih daripada biasa. Namun dalam kesibukan itu saya sempat mengikuti perkembangan isu semasa yang menjadi tajuk hangat dalam setiap perbualan di "kedai kopi"; kenaikan harga petrol dan disel.

Bagi kita orang biasa ini memang tidak berkuasa hendak menukar apa-apa pada harga yang telah ditetapkan. Apa yang kita boleh buat ialah mengurangkan di sana-sini perbelanjaan harian kita agar kenaikan kos itu tidak terlalu dirasakan. Ini sudah tentu untuk mereka yang mampu berbuat demikian. Bagaimana pula bagi mereka yang sememangnya sudah lama berjimat cermat?

Bagi mengatasi masalah ini saya dan suami telah mengambil beberapa langkah berjimat cermat.

1. Meminta suami mengguna kereta yang lebih kecil enjennya (dpd 2000cc ke 600cc). Kereta yang kecil itu memakan minyak lebih sedikit daripada motor. Sudah tentu ini menjimatkan banyak belanja. Sebelum ini saya sudah meminta suami supaya berbuat demikian tetapi berbagai alasan yang diberi. Kami juga bercadang jika kami berdua saja yang menaiki kereta untuk ke mana-mana destinasi yang tidak berapa jauh agar menggunakan kereta yang kecil itu.

2. Mengurangkan penggunaan barangan letrik seperti cerek letrik. Ini kerana tarif letrik juga telah dinaikkan baru-baru ini. Pastikan semua lampu dan kipas yang tidak diperlukan ditutup.

3. Kurang makan di luar. ( Kalau dulu seminggu sekali makan di luar tetapi sekarang rasanya 3 minggu atau sebulan sekali, kecuali terpaksa )

4. Berbelanja pada barang yang kurang berjenama tetapi ada kualiti. Sesetengah barang dapur sangat berbeza harganya dari satu jenama ke satu jenama.

5. Elakkan pembaziran dalam makanan. Mana-mana makanan yang tidak habis elok disimpan dalam peti ais dan diguna semula, samada dipanas semula atau diubahsuai dan dijadikan menu yang baru.

6. Akhir sekali kurangkan kuantiti apa juga bahan yang kami gunakan jikalau boleh, seperti penggunaan air, sabun, syampu dan lain-lain.

Apa-apa pun dalam setiap sen yang kita belanja daripada rezki yang Allah beri, hendaklah kita ikhlaskan kerana Allah. Apabila ini berlaku barulah kita diberkati oleh Allah. Keberkatan yang Allah anugerahkan , membuat kita berasa sentiasa cukup dengan apa yang kita ada. Kita tidak akan keputusan wang untuk berbelanja walaupun dengan pendapatan yang kecil InsyaAllah. Semestinya amalan berjimat cermat itu tidak diabaikan.

Lagi satu amalan rohiyyah yang memurahkan rezeki kita ialah solat sunat Dhuha. Dalam kitab "An-Nurain" ada disebut, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

" Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan."

Perhatikan doa yang diamalkan selepas selesai mengerjakan solat sunat Dhuha.

Maksudnya : ” Ya Allah, bahawasanya waktu Dhuha itu waktu DhuhaMu,kecantikan itu ialah kecantikanMu, keindahan itu keindahanMu, kekuatan itu kekuatanMu, kekuasaan itu kekuasaanMu dan perlindungan itu perlindungan Mu. Ya Allah jika rezekiku masih diatas langit, turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika ia (dari yang) haram maka sucikanlah, jika masih jauh dekatkanlah, berkat waktu Dhuha, Keagungan, Keindahan, Kekuatan dan Kekuasaan Mu, limpahkanlah kepada hamba-hamba Mu yang saleh .”


Friday, 23 May 2008

Halal Dan Haram Dalam Makanan

SEJAK dahulukala umat manusia berbeza-beza dalam menilai masalah makanan dan minuman mereka, ada yang boleh dan ada juga yang tidak boleh. Lebih-lebih dalam masalah makanan yang berupa binatang. Adapun masalah makanan dan minuman yang berupa tumbuh-tumbuhan, tidak banyak diperselisihkan. Dan Islam sendiri tidak mengharamkan hal tersebut, kecuali setelah menjadi arak, baik yang dibuat dari anggur, korma, gandum ataupun bahan-bahan lainnya, selama benda-benda tersebut sudah mencapai kadar memabukkan.

Begitu juga Islam mengharamkan semua benda yang dapat menghilangkan kesedaran dan melemahkan urat serta yang membahayakan tubuh. Adapun soal makanan berupa binatang, inilah yang terus diperselisihkan dengan hebat oleh agama-agama dan golongan yang peka.

Menyembelih dan Makan Binatang Dalam Pandangan Agama Hindu

Ada segolongan, misalnya Golongan Brahmana (Hindu) dan Filsuf yang mengharamkan dirinya menyembelih dan memakan binatang. Mereka cukup hidup dengan memakan makanan dari tumbuh-tumbuhan. Golongan ini berpendapat, bahawa menyembelih binatang termasuk suatu keganasan manusia terhadap binatang hidup. Manusia tidak berhak untuk menghalang binatang daripada hidup.
Namun kita juga tahu dari hasil pengamatan kita terhadap alam ini, bahawa diciptanya binatang-binatang itu tanpa ada suatu tujuan, sebab binatang tidak mempunyai akal dan kehendak. Bahkan secara nalurinya binatang-binatang itu dicipta untuk memenuhi (khidmat) keperluan manusia. Oleh kerana itu bukan sesuatu yang pelik kalau manusia dapat memanfaatkan dagingnya dengan cara menyembelih, sebagaimana halnya dia juga dapat memanfaatkan tenaganya dengan cara yang lazim.

Kita pun mengetahui dari sunnatullah (ketentuan Allah) terhadap makhluknya ini, iaitu: golongan rendah biasa berkorban untuk golongan atas. Misalnya daun-daunan yang masih hijau boleh dipotong/dipetik buat makanan binatang, dan binatang disembelih untuk makanan manusia dan, bahkan, seseorang berperang dan terbunuh untuk kepentingan orang ramai. Begitulah seterusnya.

Haruslah diingat, bahawa dengan melarang manusia dari menyembelih binatang, tidak juga dapat melindungi binatang tersebut dari bahaya maut dan binasa. Kalau tidak bergaduh antara satu sama lain, dia juga akan mati dengan sendirinya; dan kadang-kadang mati dalam keadaan demikian itu lebih sakit daripada ketajaman pisau.

Binatang yang Diharamkan Dalam Pandangan Yahudi dan Nasrani

Dalam pandangan agama Yahudi dan Nasrani (kitab), Allah mengharamkan kepada orang-orang Yahudi beberapa binatang laut dan darat. Penjelasannya dapat dilihat dalam Taurat (Perjanjian Lama) fasal 11 ayat 1 dan seterusnya.

Dan oleh al-Ouran disebutkan sebahagian binatang yang diharamkan buat orang-orang Yahudi itu serta alasan diharamkannya, iaitu seperti yang disebutkan di atas, bahawa diharamkannya binatang tersebut adalah sebagai hukuman berhubung kezaliman dan kesalahan yang mereka lakukan. Firman Allah yang bermaksud,

“Dan kepada orang-orang Yahudi kami haramkan semua binatang yang berkuku, dan dari sapi dan kambing kami haramkan lemak-lemaknya, kecuali (lemak) yang terdapat di punggungnya, atau yang terdapat dalam perut, atau yang tercampur dengan tulang. Yang demikian itu kami (sengaja) hukum mereka. Dan sesungguhnya Kami adalah (di pihak) yang benar.” (al-An'am: 146)

Demikianlah keadaan orang-orang Yahudi. Sedangkan orang-orang Nasrani sesuai dengan ketentuannya harus mengikuti orang-orang Yahudi. Kerana itu Injil menegaskan, bahawa Isa a.s. datang bukan untuk mengubah hukum Taurat (Namus) tetapi untuk menyempurnakannya.

Namun pada kenyataannya, mereka telah mengubah hukum Taurat itu. Apa yang diharamkan dalam Taurat telah dihapus oleh orang-orang Nasrani ,tanpa dihapus oleh Injilnya. Mereka mahu mengikuti Paul yang dipandang suci itu dalam masalah halalnya semua makanan dan minuman, kecuali yang memang disembelih untuk berhala kalau dengan tegas itu dikatakan kepada orang Kristian: "Bahawa binatang tersebut disembelih untuk berhala."
Paul memberikan alasan, bahawa semua yang suci halal untuk orang yang suci, dan semua yang masuk dalam mulut tidak dapat menajiskan mulut, yang dapat menajiskan mulut ialah apa yang keluar dari mulut.
Mereka juga telah menghalalkan babi, sekalipun dengan tegas babi itu diharamkan oleh Taurat sampai hari ini.

Menurut Pandangan Orang Arab Jahiliah

Orang-orang Arab jahiliah mengharamkan sebahagian binatang kerana kotor, dan sebahagiannya diharamkan kerana ada hubungannya dengan masalah peribadatan (ta'abbud), kerana untuk bertaqarrub kepada berhala dan kerana mengikuti anggapan-anggapan yang salah (waham).
Tetapi di sebalik itu, mereka banyak juga menghalalkan beberapa binatang yang kotor (khabaits), seperti bangkai dan darah yang mengalir.
Makanan Yang Haram Dalam Islam

Allah berfirman yang bermaksud,

“Allah hanya mengharamkan kepada kamu bangkai, darah ,daging babi dan binatang yang disembelih bukan kerana Allah….” (al-Baqarah :173)

Jenis-jenis bangkai:

1. Binatang yang mati kerana dicekik

2. Binatang yang mati kerana dipukul

3. Binatang yang jatuh dari tempat yang tinggi, seperti ke dalam perigi, sehingga mati

4. Binatang yang bergaduh antara satu sama lain sehingga mati

5. Binatang yang disergap oleh binatang buas dengan dimakan sebahagian dagingnya

sehingga mati

Namun belalang, ikan dan kehidupan laut yang sepertinya dikecualikan dari kategori bangkai. Sabda Nabi SAW yang bermaksud,

“ Laut itu airnya suci dan bangkainya halal.”
( Riwayat Ahmad dan ahli sunnah)

Darah yang mengalir:

Limpa, walaupun adalah merupakan darah tetapi tidak diharamkan kerana ia bukan darah mengalir yang diharamkan.

Orang-orang jahiliah dahulu kalau lapar, diambilnya sesuatu yang tajam dari tulang ataupun lainya, lantas ditusukkannya kepada unta atau binatang dan darahnya yang mengalir itu dikumpulkan lalu diminum.

Dipetik dari buku Halal Dan Haram Dalam Islam