Bulan April 2009 genap setahun lamanya saya 'memblog'. Ketika mula membangunkan blog saya bertekad untuk menulis sekurang-kurangnya satu artikel dalam sebulan. Ini bertujuan untuk memastikan blog saya itu terus 'hidup'. Untuk memulakan sesuatu projek memang mudah tetapi untuk "maintain" , menjadi satu masalah kepada kebanyakan manusia. Ia memerlukan komitmen dan disiplin diri.
Namun apabila saya melihat kepada "archives" yang dipaparkan pada "sidebar", saya dapati ada satu bulan (November) yang tidak ada sebarang "post". Jadi saya cuba mengingati kembali kenapa saya 'termiss' bulan itu. Bila dingati semula itulah masanya rumah saya dipecah masuk di mana kami telah kehilangan dua buah laptop dan dua biji talipon. Selama sebulan kami tidak mempunyai komputer dan 'broadband' kami terbiar tidak terguna walaupun berbayar. Saya sangat menyesali akan kehilangan laptop peribadi saya itu kerana ia adalah pembelian hasil daripada titik peluh saya bekerja sebagai "cleaner" semasa saya menemani suami buat Phd di UK. Ada 'sentimental value' pada laptop itu. Sehingga sekarang masih belum terganti laptop yang hilang itu.
Berbalik kepada keadaan kami yang tidak boleh 'berinternet' selama lebih kurang sebulan itu, anak bongsu saya bagaikan 'mati kutu' . Dia merengek-rengek sepanjang bulan itu dengan pertanyaan, "Bila nak beli komputer baru..... rugi jer internet tak boleh guna", katanya. Ada satu tahap di mana dia mogok tidak mahu becakap dengan kami kerana tidak melayani permintaannya. Untuk 'menyejukkannya', suami terpaksa membawa dia ke pejabatnya pada satu hujung minggu agar dia boleh menggunakan komputer pejabat sambil suami buat kerja pejabatnya yang tidak pernah habis.
Apabila ditanya nak buat apa melayari internet, mungkin ada kerja sekolah atau lain-lain. " Saja!" , jawabnya ringkas. Melihatkan keadaannya sepanjang tidak boleh 'berinternet' itu saya berkata -kata dalam hati, "Teruknya budak ini, macam orang ketagih!" . Itulah kesannya internet pada generasi anak-anak ini. Anak saya baru berumur 11 tahun pada masa itu, tetapi dia telah diperkenalkan kepada komputer sejak kecil lagi dan mengenali dunia internet pula sejak berumur 5 tahun. Tambahan pula dia mula menjejak kaki ke sekolah semasa di UK, dan di sana penggunaan komputer serta internet sangat meluas di sekolah-sekolah.
Apa-apa juga dalam kehidupan ini jika dibuat secara berlebihan akan membahayakan diri, memberi kesan yang negatif dan tidak produktif.
Lihatlah pada hadis-hadis Nabi yang memesan kepada kita supaya bersikap sederhana dalam urusan hidup kita.