Tuesday, 14 September 2021

Bercuti di Desaru - Pontian

Ini merupakan percutian pertama kami setelah habis PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) yang pertama, yang telah dibuat pada (20-22) Ogos 2020. Sudah agak lama jugalah kami tidak pergi bercuti. Oleh kerana itu sebaik sahaja selesai PKP, terus merancang untuk pergi bercuti.

Ada  beberapa faktor yang menyebabkan kami lama tidak dapat pergi bercuti. Pertama kerana saya telah menjalani pembedahan lutut (TKR) pada pertengahan Januari tahun lepas dan ia telah membataskan  pergerakan saya selama hampir setengah tahun. Kemudian seluruh negara diletakkan di bawah PKP, yang menyebabkan kita tidak boleh merentas sempadan negeri. dan juga daerah. 

 Kami tinggal di negeri Johor. Pada kali ini kami memutuskan untuk bercuti di dalam negeri sahaja. Walaupun kami sudah lama tinggal di Johor, tetapi masih ada banyak lagi tempat yang kami belum sampai. Orang kata, "kalau pergi melancong ke Johor Bahru, jangan lupa singgah ke Desaru yang terletak di daerah Kota Tinggi". Inilah destinasi utama percutian kami.

Sebut sahaja Desaru, pasti terbayang kewujudan pantai di tepian Laut China Selatan itu, yang menjadi tempat utama pengunjung bercuti untuk berehat dan meneroka pemandangan yang indah. Nikmat bersantai tidak lengkap jika terlepas peluang untuk menginap sambil meneroka pelbagai aktiviti menarik yang boleh dilakukan seisi keluarga di kawasan sekitarnya dan menjadikan ia pilihan sebagai destinasi yang menggamit memori.
Desaru Fruit Farm .... salah satu aktiviti menarik yang diikuti
Dari Parit Raja ke Tanjung Balau melalui Pontian ...
tetapi melencong ke Tanjung Piai terlebih dahulu
Kalau turun ke Johor jangan lupa juga singgah di Tanjung Piai Kukup. Ada apa  di sini? Bagi pencinta alam seperti kami, ia adalah destinasi yang wajib dikunjungi kerana titik kedudukannya yang istimewa dalam peta dunia. Tanjung Piai merupakan kawasan tarikan pelancongan terkenal di Malaysia kerana ia merupakan tanah paling selatan di benua Asia. Jika kita seorang pecinta alam, kita boleh datang melawat dua Taman Negara yang terdapat di Pontian iaitu Taman Negara Tanjung Piai dan Taman Negara Pulau Kukup.

Tanjung Piai terletak dalam mukim Kukup, Daerah Pontian, Johor. Jadi post kali ini akan menceritakan sedikit kisah Pontian, tempat yang pertama kami singgah dalam perjalanan ke selatan ini. 

Pontian ialah salah satu daerah di Johor, Malaysia. Ibu daerah Pontian ialah Pontian Kechil. Kebanyakan kawasan di sini adalah terdiri daripada paya bakau. Menangkap ikan masih merupakan aktiviti utama penduduk di daerah ini. Ianya di tadbir oleh Majlis Daerah Pontian.Pontian diduduki oleh kaum Melayu yang berketurunan suku Melayu, Bugis dan Jawa. Melayu dan Bugis di kawasan pesisiran manakala Jawa di kawasan pedalaman.

Mengikut fakta sejarah perkataan Pontian dikatakan berasal dari kata ‘Perhentian’. Perhentian yang dimaksudkan itu ialah Sungai Pontian Besar iaitu tempat berteduh dari gelora Selat Melaka bagi kebanyakan para pelayar yang hendak ke Singapura atau ke Melaka ketika itu. Ada yang menyebutnya sebagai tempat perhentian para lanun untuk menunggu mangsa yang melintasi kawasan tersebut. Walau bagaimanapun, kuala Sungai Pontian Besar adalah tempat perhentian nelayan memunggah tangkapannya, sementara Pontian Kechil menjadi bandar utama bagi daerah Pontian.

Daerah Pontian sangat sinonim dengan buah nanas. Johor merupakan pengeluar terbesar nanas di dunia. Bagi pecinta Sejarah mereka boleh singgah di Muzium Bugis dan Muzium Nanas. Muzium Bugis memaparkan susur galur sejarah Bugis di negara ini seperti adat istiadat, makanan, pakaian, artifak asli dan banyak lagi. Turut termasuk dalam senarai tempat yang harus dilawati di Pontian adalah pekan Kukup. Pekan Kukup merupakan perkampungan nelayan di atas air yang sinonim dengan makanan laut segar, kerepek, keropok lekor dan hasil kraftangan. 
Rencam Pontian ... tanda mercu replika nanas dan dataran Pontian
 yang juga dikenali sebagai Taman Tepi Laut Pontian
Ada beberapa kali kami lalu daerah pontian ini tetapi tidak pernah singgah di sini. Inilah kali pertama kami datang ke dataran ini untuk bergambar sebagai kenang-kenangan. Lokasi "I Love Pontian" menjadi spot kegemaran pengunjung bergambar di sini. Di hujung taman adalah Laman Di Raja dengan monumen mahkota. Taman ini agak luas juga. Kami tidak pergi ke Laman Di Raja itu .... hanya melihatnya dari jauh. Kami tidak boleh berlama-lama di sini kerana ingin sampai ke Tanjung Piai seawal mungkin supaya cuaca tidak terlalu panas ketika di sana nanti. 
Dataran ini berada di pekan Pontian Kechil
.... kedudukannya menganjur ke laut
Taman Rekreasi ini sangat sesuai untuk menikmati pemandangan laut yang indah di Selat Melaka bersama anak-anak dan keluarga. Ada kawasan berumput terbuka untuk anak-anak berlari-lari dan juga kawasan yg dilapisi dengan bata yang saling berkait serta kawasan lapang yang berjubin, sangat sesuai untuk kanak-kanak berbasikal, berskuter atau berkasut roda. Taman ini juga sesuai bagi mereka yang ingin berjoging, berbasikal, bersiar-siar, melihat matahari terbenam, atau duduk bersantai sambil menikmati bayu laut petang yang nyaman.
Di hujung jalan ini adalah Laman Di Raja
di mana terletaknya Gerbang Mahkota
Salah satu kawasan lapang yang terdapat di dataran
Camera man (anak bongsu kami) nak bergambar sekali๐Ÿ˜
Dataran Pontian yang juga di kenali sebagai Taman Tepi laut Pontian
Taman ini cantik dan bersih. Semoga ia terus kekal begini, kerana kebiasaannya pihak berkuasa hanya menjaga di awal-awal pembinaan sahaja. Setelah masa berlalu, apabila berlaku kerosakan, ia tidak diambil perhatian.

Alhamdulillah sempat melawat sebentar dataran yang cantik ini. Insya Allah jika ada kesempatan kami akan kembali melawatnya untuk masa yang lebih lama lagi. Jom ke Tanjung Piai Kukup pula.


Related  Posts:

Cuti di Desaru - Tanjung Piai

Bercuti di Desaru - Sungai Rengit & Tanjung Pengelih

Bercuti di Desaru - Desaru Fruit Farm


Bercuti di Desaru - UPDATE

Monday, 6 September 2021

Sifat-sifat Pendidik yang Berjaya

Memang tidak ada manusia yang sempurna melainkan Rasulullah SAW. Namun sebagai orang tua kita harus berusaha memiliki sifat-sifat terpuji agar boleh  dijadikan tauladan bagi anak-anaknya. Semakin elok  sifat-sifat orang yang bergelar sebagai pendidik, semakin hampir tahap keberhasilannya dalam mendidik anak-anak. Berikut ini adalah sifat-sifat yang perlu ada pada seorang pendidik.
1. Penyabar dan tidak pemarah

Dua sifat ini, yakni penyabar dan tidak pemarah, menurut Rasulullah SAW adalah yang dicintai oleh Allah swt.  (HR Muslim dari Ibnu Abbas ). Berkenaan dengan sifat ini ada sebuah kejadian menarik yang diceritakan oleh Abdullah ibnu Thahir.

“ Pada suatu hari,"  kata Abdullah bercerita, "Saya bersama Al-Makmun (seorang khalifah Bani Abbasiyah), lalu memanggil pelayannya, “Ghulam”! tidak dijawab, “Ghulam”! kedua kalinya pun tidak dijawab, lalu dipanggil yang ketiga kalinya barulah seorang pelayan lelaki muda keluar sambil berkata, "Apakah seorang pelayan tidak berhak makan dan minum? Bukankah saya baru saja melayani anda, kenapa dipanggil-panggil lagi?" Mendengar bicara pelayannya itu Al-Makmun lama tertunduk. Saya curiga jangan-jangan Al-Makmun akan menyuruh saya untuk memenggal leher pelayannya itu. Kemudian ia mengangkat kepalanya dan memandang saya, “ Wahai Abdullah", ujarnya, “Jika ada majikan yang baik, justeru pelayannya yang buruk, tetapi saya tidak mau berperilaku buruk untuk memperbaiki perilaku pembantu saya.”

2. Lemah-lembut dan menghindari kekerasan

Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“ Allah itu Maha Lemah-lembut, cinta kelemah-lembutan. Diberikan kepada kelembutan apa yang tidak diberikan kepada kekerasan dan kepada selainnya “ (HR Muslim dari Aisyah)

Sabda yang lain yang bermaksud:
” Tidaklah kelemah-lembutan itu terdapat pada sesuatu melainkan akan membuatnya indah, dan ketiadaannya dari sesuatu akan menyebabkannya menjadi buruk” (HR
. Muslim)

Sifat demikian juga ditunjukkan oleh para salafus soleh dalam bermuamalah. Di antaranya adalah kejadian yang pernah dialami oleh budak lelaki (pelayan) Imam Zainal ‘Abidin (cicit Sayidina Ali).   Pada suatu hari budak itu menuangkan air minum ke gelas minumnya Imam Zainal Abidin dari teko yang terbuat dari porselin. Tiba-tiba teko itu jatuh dan mengenai kaki sang Imam hingga berdarah. Cepat-cepat pelayan itu berkata,

“ Wahai Tuan, Allah telah berfirman, “ Dan mereka itu adalah orang-orang yang mampu menahan kemarahan “

Mendengar itu beliau berkata, “Ya, saya tahan kemarahan saya.”

“ Dan ( juga ) pemaaf kepada manusia.” Kata budak itu membaca sambungan firman Allah tadi.

” Ya, saya pun telah memaafkan kamu.” Kata Imam Zainal ‘Abidin.

Dan Allah mencintai orang-orang yang berbuat kebajikan.”  Sambung budak itu menyempurnakan bunyi firman Allah tersebut.

”Sudah, kamu saya merdekakan kerana Allah.” Kata Imam Zainal ‘Abidin.

3. Hatinya penuh Rasa kasih Sayang

Sulaiman Malik Ibnu Al Huwairits pernah tinggal ( untuk berguru ) bersama Rasulullah SAW, bersama teman-teman sebayanya selama dua puluh malam. "Kami dapati beliau sebagai seorang yang sangat penyayang dan pengasih,” cerita Al Huwairits. “ Setelah beliau melihat bahawa kami sudah rindu kepada keluarga, beliau bertanya tentang siapa saja orang-orang yang kami tinggalkan di rumah. Kami pun memberitahukannya. Lalu, kami diperintahkan agar pulang."  Beliau menasihati,

“Pulanglah kepada keluarga kamu, tinggallah bersama mereka, ajari mereka, berbuat baiklah kepada mereka, dan solatlah kamu seperti ini di waktu demikian, solatlah begini di saat demikian! Jika tiba waktu solat, salah seorang harus azan dan yang paling tua menjadi imam.” (Muttafaq’alaih)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“ Sesungguhnya setiap pohon itu berbuah. Buah hati adalah anak. Allah tidak akan menyayangi orang yang tidak sayang kepada anaknya. Demi Dzat yang jiwaku ada ditangan-Nya, tidak akan masuk syurga kecuali orang yang bersifat penyayang.”

Seorang sahabat berkata, “wahai Rasulullah, setiap kita mampu menyayangi.”
Rasulullah saw. Menjawab ;

“ Kasih sayang itu bukan ( terbatas ) seorang menyayangi kawannya, namun kasih sayang untuk semua manusia “ (HR Ath Thabrani)


4. Memilih yang termudah di antara dua perkara selagi tidak berdosa

‘Aisyah berkata,

Tidaklah dihadapkan kepada Rasulullah antara dua pilihan melainkan akan dipilihnya perkara yang paling mudah selama hal itu tidak berdosa. Jika itu dosa maka beliaulah orang yang paling jauh meninggalkannya. Dan, beliau tidak mendendam sama sekali terhadap dirinya kecuali jika dirinya melanggar larangan Allah. Maka beliau akan menghukum dirinya sendiri kerana Allah
 (Muttafaq’alaih)

5. Fleksibel

Bukan fleksibiliti yang bererti lemah dan kendor sama sekali, melainkan sikap fleksibel dan mudah yang tetap berada dalam batas  syariah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Mahukah kuberitahukan terhadap siapakah api neraka itu diharamkan atau siapakah yang diharamkan dari neraka?”

Beliau bersabda:

ุญُุฑِّู…َ ุนَู„َู‰ ุงู„ู†َّุงุฑِ ูƒُู„ُّ ู‡َูŠِّู†ٍ ู„َูŠِّู†ٍ ุณَู‡ْู„ٍ ู‚َุฑِูŠุจٍ ู…ِู†َ ุงู„ู†َّุงุณِ

“Diharamkan atas api neraka, setiap orang yang rendah hati, lemah lembut (fleksibel), mudah, serta dekat dengan manusia” (HR Ahmad).

6. Tidak Emosional ( Suka Marah )

Dalam pendidikan, sifat pemarah dan emosional harus dijauhi. Sifat demikian bahkan menjadi faktor kegagalan dalam pendidikan anak, maka ketika ada orang yang meminta Nabi agar diberi pesan secara khusus, tiga kali beliau memintanya agar tidak suka marah.

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:

“ Orang kuat itu bukan kerana kekuatannya dalam berkelahi, tetapi kerana kemampuannya mengendalikan diri ketika sedang marah “ ( Muttafaq’alaih)

7. Tidak ekstrim dan berlebih-lebihan

Ekstrim dan berlebih-lebihan adalah sikap tercela. Jika harus marahpun ada tempatnya dan tidak sampai menyebabkan tindakan keluar dari kebenaran. Rasullullah saw, sebagaimana layaknya manusia lain, juga pernah marah. Namun, jika marah pun kerana kebenaran. Kalimat yang terucap pun tidak pernah keluar dari kebenaran.

Ada seorang laki-laki mengadu kepada Nabi bahawa dirinya akan datang terlambat ketika solat subuh lantaran si fulan jadi imam itu suka memanjangkan salatnya. Ketika berpidato, semasa menyentuh masalah itu, beliau marah sekali hingga tidak seperti biasanya.

Kemudian Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud:

Wahai sekalian manusia! Ada di antara kamu yang menyebabkan orang lari ( dari Islam ) maka siapa saja yang menjadi imam, hendaklah mempersingkatkan solatnya. Kerana di belakang kamu ada orang tua, anak kecil dan orang yang ada keperluan [Muttafaq’alaihi ]

8. Ada ketidakseimbangan waktu dalam memberi nasihat

Sering kali banyak bercakap itu tidak membuahkan hasil. Sebab itulah Imam Ibnu Hanifah berpesan kepada muridnya,

Janganlah kamu mengajarkan fiqh kamu kepada orang yang sudah tidak berminat!”

Ibnu Mas’ud ra. hanya memberi nasihat kepada para sahabat setiap hari khamis.

Maka ada seorang yang berkata kepada beliau,” Wahai Abu Abdur Rahman, alangkah baiknya jika anda memberi nasihat kepada kami setiap hari.”

Beliau menjawab,

Saya enggan begitu kerana saya tidak ingin membuat kamu merasa bosan dan saya memberi ketidakseimbangan (imbalance) waktu dalam memberi nasihat sebagaimana Rasulullah lakukan terhadap kami dahulu kerana kuatir kami bosan.”(Muttafa’alaih)

Sumber :  Kitab Manhaj Tarbiyah Nabawiyah Lith Thifli

Coretan:

Dari koleksi emel Masjid Annahl Group


Saturday, 4 September 2021

Kembara Tanah Tinggi (2) - Bukit Fraser

Bukit Fraser terletak dalam mukim Tras di Daerah Raub Pahang. Ia merupakan kawasan pelancongan pergunungan yang menarik kerana suhunya sejuk antara 17 ke 24 darjah celcius. Puncak tertinggi Bukit Fraser ialah 1,310 meter dari aras laut. Ia memiliki keistimewaan tersendiri dari segi kepelbagaian flora dan fauna di samping keunikan bangunan yang berkonsepkan senibina gaya Inggeris. Inilah sebab mengapa ia mendapat jolokan "The Little England of Malaysia". 

Berada di pekan kecil Bukit Fraser sungguh menenangkan hati dan perasaan. Sebelum kami ke sini, kami telah pergi ke Cameron Highlands pada hari Jumaat dan Sabtu. Suasana di sana sangatlah berbeza dari sini. Kebetulan pula kami berada di sini pada hari Isnin, di mana pelancong tempatan tiada langsung. Saya terfikir .... alangkah indahnya kalau saya dapat berada lebih lama di sini dalam suasana senyaman ini. Mungkin selepas suami sudah pencen nanti boleh datang bersantai lagi ke sini untuk beberapa hari insya Allah.

Petikan daripada sirKembara Tanah Tinggi  pertama.

Pada kembara kali ini kami telah memulakan perjalanan ke Genting Highlands. pada 7 Oktober dan seterusnya ke sini pada 9 Oktober 2020. Kami memang telah merancang untuk bermalam di Bukit Fraser kerana ketika lawatan pertama kami hanya sempat singgah sebentar sahaja di sini. Kami tiba di sini ketika hari sudah hampir gelap dan telah menginap di Shahzan Inn, sebuah hotel bajet mesra Islam.
Alhamdulillah .... cita-cita untuk bermalam di bukit telah tercapai walaupun hanya semalam. 
Gambar lukisan "Shahzan Inn" di dinding ruang tamu hotel
Ini di lobi hotel .... gambar-gambar di awal tahun 50-an
dan burung-burung yg terdapat di Bukit Fraser sebagai hiasan dinding
Shahzan Inn ... di sebelahnya ada kedai
yang menjual cenderahati
Kami cuba pergi semula ke tempat yang kami tidak masuk pada lawatan pertama seperti Allan's Water dan air terjun Sg Jeriau, tetapi tidak berjaya juga masuk. Kebetulan lawatan ini dibuat pada hujung minggu yang sememangnya tempat seperti ini akan menjadi tumpuan orang ramai. Kami tidak mahu masuk ke mana-mana tempat yang bersesak supaya mudah megamalkan SOP. Air terjun pula ditutup kawasannya, mungkin disebabkan wabak covid-19  walaupun notis memberitahu kerja-kerja penaikan taraf sedang berlangsung.
Ingat nak cubalah buat aktiviti dalam tasik ini tetapi
dari jauh nampak macam ramai sangat pengunjung
Hanya sampai di pintu pagar Taman Eko Rimba Jeriau .....
Kali pertama pergi ke air Terjun Jeriau, kami tidak sampai pun di sini. Ketika itu  jalan masuk ke kawasan ini, iaitu di satu selekoh yang berhampiran dengan sekolah kebangsaan, telah ditutup untuk kerja-kerja pembaikan. Insya Allah akan cuba datang lagi di masa akan datang .... semoga tiada halangan lagi๐Ÿ˜

 Akhirnya kami hanya merayau-rayau di beberapa tempat yang tidak ramai orang pergi, sambil mengambil gambar sebagai kenang-kenangan.
Pada lawatan pertama kami singgah solat zohor di masjid ini ...
tetapi kali ini hanya bergambar di luar sahaja
Bersiar-siar di Taman Lady Guillemard .... berhampiran dengan hotel
Ini  semua di halaman  Aida Daniya Restoran & English Teahouse .....
pokok dan jem strawberi ada dijual di restoran ini ....
dan juga lain-lain produk dari strawberi
Bergambar dengan penanda 0 KM (kilometer sifar)
telah menjadi kegemaran kami๐Ÿ˜ƒ
Sebelum balik melepak di sini sambil makan-makan
.... ada banyak gerai menjual makanan di bahu jalan
๐Ÿ˜€roundabout comel ... mudah memandu di sini
Alhamdulillah ... syukur  kepada  Allah SWT di atas kesempatan dan kelapangan masa yang diberi hingga kami berjaya bermalam di atas bukit ini. Begitulah berakhirnya pengembaraan kami kali ini.


Monday, 23 August 2021

Kembara Tanah Tinggi (2) - Colmar Tropicale Bukit Tinggi

Pada pagi hari ke-3 di Genting Highlands, kami telah melawat Colmar Tropicale di Bukit Tinggi. Kami telah berada di Genting sejak 7 Oktober 2020 dan lawatan ini dibuat pada 9 Okt, dalam perjalanan ke Bukit Fraser, destinasi percutian kami seterusnya.

Colmar Tropical Berjaya Hills ialah resort penginapan bersejarah di Bukit Tinggi, Pahang. Ia adalah resort yang unik kerana dibina bertemakan perkampungan asli Colmar dari kurun ke-12.  Suasana di sini membuatkan pelancong seolah-olah seperti bercuti di negara Perancis, kerana rekaan bangunan-bangunan hotel di sini  mendapat ilhamnya dari Colmar Village Alsace, sebuah perkampungan Perancis yang terkenal dengan jalan batu buntar dan bangunan peninggalan zaman Renaissance. Tidak hairanlah tempat menarik di Bukit Tinggi ini menjadi destinasi yang popular di kalangan pelancong.
Kawasan sebelum masuk resort ..... pintu gerbang, air pancut dan
bangunan tempat letak kereta
Plak pada air pancut yang menyebut ia sebagai
cenderamata dari pejabat daerah Alsace,
bandar Colmar dan daerah selatan Alsace
Tempat letak kereta resort ini agak jauh daripada kedudukan hotel, menyebabkan kami tidak jadi menginap di sini. Ketika melawat hari itu, suami turunkan saya berdekatan dengan air pancut supaya saya tidak perlu berjalan jauh sangat sebab bekas pembedahan di lutut saya masih belum pulih sepenuhnya. Dari sini ke tempat letak kereta  mungkin lebih kurang 200 meter jauhnya.
Colmar Tropicale dikelilingi hutan belantara
Ia terletak 2,600 kaki (790 m) di atas paras laut dan dikelilingi sekitar 80 ekar hutan belantara asli. Tempat ini dibangunkan mengikut rekabentuk bangunan, susun-atur dan suasana perkampungan sebenar di Colmar, Perancis. Namun senibinanya diterapkan beberapa elemen perkampungan yang terdapat di Riquewihr, Turckheim dan Kaysersberg ( semua pekan atau kampung ini berada dalam wilayah Alsace). Keunikan ini pasti mengagumkan hati sesiapa sahaja yang pertama kali berkunjung ke Colmar Tropicale Berjaya Hills ini.
Suasana seperti berada di luar negara
Kami tidak menginap di sini, hanya datang melawat, menjamu selera, serta bergambar di lokasi menarik sebagai kenang-kenangan. Colmar Tropicale adalah lebih dari sekadar sebuah hotel. Pengunjung tidak semestinya menginap di sini untuk menikmati suasana ala Perancis ini. Bagi mereka yang merancang untuk balik hari, dikenakan sedikit bayaran untuk melawat kawasan ini. 
Harga Tiket: Dewasa (RM16) | Kanak-kanak (RM8)

Mengikut maklumat dari internet terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan di sini  seperti rock climbing dan mountain biking. Pengunjung juga berpeluang untuk menyaksikan persembahan pelbagai jenis tarian termasuk tarian Perancis. Waktu persembahan adalah seperti berikut:
Selasa, Rabu, Khamis dan Ahad: 12.00pm, 4.00pm dan 9.30pm
Jumaat, Sabtu dan cuti umum: 12.00pm, 3.30pm, 7.30pm, 10.00pm

Kita juga boleh menajamu selera di kafe-kafe yang terdapat di sini, tetapi harga makanannya agak mahal. Antaranya:
La Cigogne: Hidangan tradisonal Perancis.
Le Blason: Masakan Melayu dan antarabangsa.
La Flamme: Sajian Itali seperti pasta, pizza dan lain-lain.
Le Paulet Roti: Menu utama adalah ayam panggang dan makanan sampingan yang lain.
La Boulangerie: Restoren Perancis yang menyajikan aneka roti dan minuman panas.
L’Orient: Restoren yang menyajikan makanan Asia
Deretan kafe-kafe .... kami hanya makan piza 
 Harga hotel di resort ini antara RM200 -RM250 semalam. Ada sebuah lagi resort di Bukit Tinggi ini, 
The Chateau Spa & Organic Wellness Resort yang juga menawarkan suasana penginapan gaya abad ke 12 zaman medieval tetapi bercitarasa moden dan perkhidmatan spa yang bertaraf dunia. Rekaan resort ini sungguh elegan membuatkan kita terasa seperti berada di negara Eropah. Harga bilik di sini pula antara RM400 - RM500 semalam.

Bagi mereka yang muda-muda ada banyak lagi aktiviti yang boleh dibuat di sini seperti melawat Taman Jepun yang berada tidak berapa jauh dari resort ini. Walaupun kami telah sampai ke tempat letak kereta taman ini, apabla melihat kecuraman dan ketinggian tangga untuk sampai ke sana, terus batalkan niat untuk melawatnya.๐Ÿ˜žTaman Arnabnya juga ditutup pada ketika itu.
Perjalanan hari ke-3 percutian kami
Dari sini kami teruskan perjalanan ke Bentong, tetapi sebelum ke sana kami melencong balik ke Kampung Janda Baik. Tujuan ke sini untuk melihat tapak Camp Site Sungai Kuali, yang menjadi tempat Hari Keluarga kami pada Januari 2021 akan datang. Kemudian baharulah kami terus ke Bentong dan Bukut Fraser.

Sungai Kuali Camp Site
Ketika melalui bandar Bentong kami singgah sebentar di sini untuk bergambar sebagai kenang-kenangan. Ini pertama kali kami sampai di Bentong.
Masjid Jamek Bentong & Dataran Bentong .... 4.50 ptg

Alhamdulillah .... akhirnya kami sampai di Bukit Fraser ketika hari sudah gelap. Insya Allah entri seterusnya percutian di Fraser Hill. Jumpa di sana!

Sunday, 22 August 2021